‘Universiti Asmara’ dedah gejala seks penuntut IPT

by - January 25, 2008


 
Ibu bapa jauh di kampung
membuatkan penuntut, pelajar bebas bergaul hingga terjebak dalam gejala sosial

PANTAI Dalam dan Kampung Kerinchi, antara penempatan yang menjadi tumpuan penduduk Melayu di Kuala Lumpur. Hasil pembangunan pesat, kedua-dua kawasan ini dipenuhi rumah pangsa dan kondominium yang sebahagian daripadanya disewa oleh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).Mereka tinggal menyewa beramai-ramai dan berkongsi kenderaan ke kuliah. Oleh kerana ibu bapa jauh di kampung, mereka bebas bergaul hingga ada yang terbabas kepada gejala sosial dan moral.Masih ingat lagi insiden berasmara di tangga rumah pangsa? Di situlah kejadian ini berlaku. Malah, bukan kes itu saja, banyak lagi kes penuntut universiti berasmara di kawasan itu dilaporkan sebelum ini.Topik Universiti Asmara ini dibincangkan dalam Keluarga Di 9 (KD9) pada Rabu lalu bersama pengacara Benjy dan tetamu termasuk Pengetua Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan (Kewaja), Yahaya Mohamed dan Ketua Biro Ikhtisas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Nur Izura Udzir. Turut menjadi tamu ialah pemimpin pelajar, Mohd Zaid Mohd Idrus dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM).“Tak dapat tinggal di kolej atau asrama, mereka memilih untuk tinggal di Universiti Asmara!,” kata Benjy.

Kisah Zara (bukan nama sebenar) menyedarkan banyak pihak mengenai kelonggaran akhlak remaja walaupun mempunyai pencapaian akademik membanggakan.
Zara berasal dari negeri pantai timur dan mengikuti pengajian kejuruteraan, tetapi disebabkan cinta yang berkobar-kobar, sanggup menyerahkan maruah diri kepada lelaki yang dicintainya.
“Cinta kami dihalang oleh ibu bapa saya kerana mahu saya menghabiskan pengajian dahulu walaupun ibu bapa lelaki itu bersetuju saya berkahwin dengannya,” kata Zara kepada wartawan KD9, Sharifah Nur Syed Ali yang menemuinya di Rumah Kewaja.
Zara kini hamil lapan bulan hasil perhubungan intimnya dengan teman lelaki yang kini tidak dapat dihubungi lagi.
Zara berkata, mereka bebas bergaul kerana dia belajar di IPT yang jauh dari kampung halaman. Apabila ibu bapanya mengetahui nasib anak mereka, Zara dihantar ke Kewaja untuk melahirkan bayi yang kemudian akan diserahkan kepada keluarga angkat.

Di Kewaja, rumah perlindungan yang dikendalikan Yahaya dan isterinya, Ruzitah Baharum, Zara dan remaja lain yang hamil daripada perhubungan luar nikah dilatih menguruskan diri dan menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar serta meneruskan kehidupan selepas melahirkan anak.
Bagi Zara, pengajaran daripada episod pahit dalam hidupnya ini akan dijadikan pedoman pada masa depan.

Sementara itu, seorang lagi remaja senasib, Intan (bukan nama sebenar) hamil selepas sebulan berkenalan dengan seorang lelaki ketika dia menuntut di sebuah politeknik di utara tanah air.
“Sejak awal berkenalan lagi, dia memang banyak kali mencuba untuk melakukan hubungan seksual, tetapi saya tidak benarkan. Bagaimanapun, pada satu malam, saya tidak sedar dia memasukkan pil khayal ke dalam makanan saya.
“Dalam keadaan separuh sedar, saya mendapati dia membawa saya ke rumahnya dan apabila saya sedar keesokan harinya, semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Kewaja.
Yahaya berkata, sejak beroperasi pada 2003, lebih 100 penuntut wanita IPT yang hamil luar nikah datang mendapatkan perlindungan di Kewaja.
“Kemunculan remaja hamil luar nikah di rumah Kewaja boleh dikatakan ‘bermusim’. Apabila ada perayaan, misalnya, tahun baru seperti baru-baru ini, beberapa bulan akan datang datanglah mereka ini,” katanya.
Katanya, satu punca gejala ini ialah kejutan budaya penuntut yang datang dari luar bandar. Daripada persekitaran terkongkong, mereka yang mendapat kebebasan secara tiba-tiba apabila memasuki IPT dan tinggal beramai-ramai di rumah sewa, mudah dipengaruhi fenomena cinta kampus.
Apabila terlanjur, ramai yang memilih jalan mudah dengan menggugurkan anak secara haram atau membuang bayi.
Selain mendedahkan gejala ini, KD9 mengupas isu kekosongan jiwa remaja yang tiada pengisian positif ketika mereka menuntut di IPT.
Ini berbeza dengan era 80-an yang mana ramai anak muda dipacu oleh perjuangan dan ideologi menerusi pertubuhan dan persatuan.
“Anak muda kini seolah-olah tiada perjuangan, tiada haluan. Sebab itu ramai lebih suka merempit dan terbabit dengan gejala moral yang membimbangkan.
-adapted from Berita Harian-
__________________________________________________________
Saya kira dengan merujuk kepada kawasan Pantai Dalam dan Kampung Kerinci, memberi signal bahawa varsiti kesayangan saya turut sama terkena tempiasnya. Saya kira ini adalah satu sahutan dan cabaran kepada semua mahasiswa Uni Malaya bahawa kita bukanlah seperti apa yang dicanangkan. Buktikan kita cukup matang dan bijak dalam mengatur tindakan!
Ini saya kira satu cabaran khususnya kepada GERAKAN MAHASISWI dalam mengizzahkan kembali suasana khususnya UMAT ISLAM yang banyak leka dan telah jauh ditinggalkan.
LET THE UMMAH RISE AGAIN.
Salam Perjuangan Fisabilillah.

You May Also Like

0 Comments