facebook google twitter tumblr instagram linkedin
  • Home
  • Travel
  • Life Style
    • Category
    • Category
    • Category
  • About
  • Contact
  • Download

Inspirasi Syahadah

Everyday is a miracle :)


Ogos 2008-Bulan Kempen Keselamatan Mahasiswi Peringkat Kampus Universiti Malaya

SEJAK kebelakangan ini, kes-kes menyayat hati yang menimpa kaum wanita berlaku dan kian meningkat saban hari sedikit sebanyak telah memberi gambaran negatif tentang pembangunan. Ini kerana, sikap segelintir masyarakat yang terlalu ghairah mengejar pembangunan menyebabkan keselamatan masyarakat terutamanya wanita tidak terjamin malah lebih terancam. Walaupun ada Akta-Akta yang melindungi wanita dari keganasan, ia masih tidak mencukupi bagi menjadikan wanita merasa sejahtera dari norma kehidupan seharian masyarakat sekarang seperti insiden keganasan rumahtangga, rogol, rogol-bunuh, jenayah ragut dan gangguan seksual (sexual harassment).
Hal ini disokong oleh kajian dan analisis yang dibuat menunjukkan peningkatan jumlah purata wanita dirogol di Malaysia setiap hari ialah hampir enam orang pada kebelakangan ini berbanding empat orang setiap hari pada tahun tahun 2003 (menurut setiausaha Parlimen Kementerian wanita, keluarga dan masyarakat). Akan tetapi hanya kira-kira 25% kes rogol sahaja dilaporkan. Ini bermakna jumlah sebenar bilangan kes rogol adalah lebih tinggi. Oleh itu, Masyarakat dan pihak yang bertanggungjawab perlulah mengenalpasti punca masalah sehingga ke akar umbi serta mengambil tindakan penyelesaian yang holistik dengan segera bagi menyelesaikan masalah ini.
Pelbagai faktor dan punca yang menyumbang kepada masalah yang serius ini. Misalnya kesan daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ramai, kurangnya penerapan dan pelaksanaan nilai-nilai murni agama dalam diri individu masyarakat dan institusi keluarga. Institusi keluarga seperti yang sedia maklum memainkan peranan sangat penting bagi melahirkan generasi bermoral dan bertamadun. Pembangunan teknologi hari ini perlulah seiring dengan pembangunan modal insan yang dapat menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Walaubagaimana pun, saya amat berbangga dan bersyukur kerana masih ada lagi masyarakat kita hari ini yang sedar dan prihatin akan keselamatan masyarakat khususnya wanita. Antaranya saya sangat memuji tindakan pihak HEWI (Hal Ehwal Wanita dan Mahasiswi) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya yang menjalankan kerjasama dengan pihak Keselamatan Universiti Malaya dalam mengadakan Kempen Keselamatan Mahasiswi peringkat kampus. Begitu juga dengan siri-siri usaha oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan juga badan-badan khusus dalam membela golongan wanita.
Namun sebagai pelajar perempuan, saya tetap merasa sedih, bimbang dan kadang-kadang ketakutan juga melanda apabila ancaman terhadap wanita berlaku di sekeliling. Juga merasakan kebimbangan yang mencengkam apabila ibu-ibu juga merasa takut untuk bekerja kerana anak-anak di rumah sudah tidak selamat lagi. Jika ini berterusan bagaimana niat murni seorang wanita yang begitu ingin membantu keluarga dan menyumbang kepada kemajuan negara terlaksana? Keadaan serba takut dan mencemaskan berada di mana-mana saja. Sungguh tidak selesa.
Semua persoalan yang berlegar-legar ini kembali ke dalam diri. Di mana nilai murni seorang insan bernama manusia? Jawapannya, nilai murni seorang insan berada dalam diri dan akan terpancar jika kita kembali kepada ajaran agama Allah S.W.T. Kedudukan wanita dalam Islam sangat istimewa. Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyak. Taraf kemuliaan dan layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam melalui amalan dan larangan tertentu seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas dan sebagainya.. Amalan dan larangan ini mempunyai hikmah dan kebaikan kepada kaum wanita itu sendiri. Namun, sayangnya, masih ramai wanita tidak memahami hakikatnya yang mana mereka tertipu oleh nafsu sediri dan merasa terkongkong.
Dalam firman Allah SWT yang bermaksud " Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu" (al-Ahzab: 59). Ayat ini sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita dan memberitahu bahawa seluruh wanita bertanggungjawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing. Perjuangan membela nasib wanita pula mestilah didokong oleh semua kaum wanita yang merentasi sempadan bahasa, perkauman dan juga politik kepartian.
Marilah sama-sama kita renungkan, sesungguhnya segala suruhan dan larangan Tuhan ke atas wanita secara langsung untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat. Ini jelas bahawa, Allah SWT sangat kasih dan memuliakan kaum hawa iaitu wanita. Sebagaimana di dalam hadis-hadis Rasulullah menyebut " Syurga di bawah telapak kaki ibu". "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia dan tidak akan menghina akan perempuan melainkan orang yang hina"( Hadis riwayat Ibnu Asakir). " Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak"
Sebagai seorang wanita saya begitu berharap ada tindakan-tindakan yang dapat membendung dan mencegah kesedihan wanita sepanjang hayatnya. Wanita sekarang perlu meneruskan kehidupan dengan jaminan keselamatan dalam kehidupan sehariannya tidak diganggu. Keselamatan bukan setakat dicegah dengan undang-undang malah kerjasama dan prihatin masyarakat juga adalah perlu dalam menangani masalah ini.
Janganlah masyarakat hanya gempar apabila sudah berlaku suatu tragedi yang menyayat hati. Adalah lebih baik mencegah dan mengelak daripada menanggung penderitaan akibat apa yang sudah berlaku. Ertinya, janganlah hanya meletak tanggungjawab menjaga keselamatan wanita di atas bahu wanita semata-mata. Semua pihak haruslah bekerjasama, demi masa depan yang lebih sejahtera.

"Salam Sejahtera" dari Syahadatul Hafizah binti Abdullah (Pengarah Kempen) sempena KEMPEN KESELAMATAN MAHASISWI 2008, Universiti Malaya.

"LOVE YOURSELF"



 Share This Post =)
February 12, 2011 No Comments

April 2008

Isu buang bayi nyatanya sekarang ini tumbuh kembali. Dahulu ia pernah hangat seketika, kembali senyap dan sekarang ini malahan semakin menjadi-jadi. Dengan semakin banyaknya penemuan bayi-bayi yang tidak berdosa; kebanyakan yang ditemui sudah pun hanya tinggal jasad yang sangat sadis untuk disaksikan, roh bayi-bayi ini sudah pun kembali menghadap Ilahi, untuk mengadu nasibnya di hadapan Yang Menciptakannya. Apalah daya bayi-bayi kecil ini yang seharusnya keluar sahaja menjengah dunia, sepatutnya dipeluk cium dan didakap oleh hangatnya kasih ibu dan ayah, namun disambut pula dengan litupan hanyirnya sampah sarap dan pedihnya gigitan semut merah.
Semalam cuma kita membaca berita mengenai dua mayat bayi ditemui di Pulau Pinang. Satu daripadanya seorang bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemui di depan pintu tandas wanita di Tingkat Satu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar). Dan seperti yang lazimnya berlaku, bayi ini sudah pun kaku tidak bernyawa. Begitu juga dengan penemuan mayat bayi perempuan, dengan keadaan masih berdarah; terapung di perangkap sampah di dalam kolam Indah Water Konsortium (IWK), berhampiran Pusat Perniagaan Asas Murni Taman Sukun. Jangan pula anda lupa pada berita sadis lagi sedih seputar hujung bulan lepas, mengenai dua mayat bayi yang dijumpai pada hari yang sama, dengan salah satunya berdekatan pasar.
 Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati sebanyak 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah 83 kes itu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin.
Kabinet Hal Ehwal Wanita dan Mahasiswi (HEWI) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) amat memandang serius kepada permasalahan ini, kerana ia berkaitan dengan isu wanita dan juga keluarga. Inilah masanya untuk duduk bersama, bermuhasabah dan membincangkan secara serius mengenai ketempangan akhlak dan moral yang semakin meruncing ini, dan seterusnya setiap dari kita wajar membuat tindakan lanjutan ke arahnya dengan kadar yang segera dan termampu.
Siapa dari kita dapat menyangkal mengenai kepentingan institusi keluarga itu sendiri. Imam Al-Ghazali berkata: "Anak-anak adalah amanah atas ibubapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik, maka menderitalah dia dan binasa." Justeru, penting sekali untuk diingatkan kepada ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak-anak dengan baik. Ini bukanlah soal membalas dendam (sekiranya sewaktu kecil dahulu kita tidak dibesarkan dalam keluarga yang sejahtera), namun ini adalah berkaitan dengan soal pilihan. Pilihan justeru ada di tangan kita. Pilihlah yang baik dan sejahtera untuk kehidupan kita dan generasi kita selepas ini. Manakah suluhan yang lebih baik dari cahaya dan panduan agama itu sendiri? Justeru, rujuklah kembali kepada penyelesaian agama dalam membangun sebuah keluarga yang sakinah.
Demikian juga dengan tanggungjawab pemerintah dan pihak berwajib. Janganlah kerana terlalu taksub dan teruja dengan situasi politik yang ada sekarang sehingga mengabaikan tugas asasi yang terpikul di bahu masing-masing. Agenda pembangunan ummah dan kebajikan adalah perkara nombor satu yang harus diutamakan. Pada hemat kami, tentulah yang paling dipertanggungjawabkan dan harus cakna mengenai isu ini adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang mana portfolio bidang tugasnya adalah khusus mengenai hal-hal seumpama ini. Malahan juga, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan juga persatuan-persatuan yang banyak terdapat di laman kampus juga harus menggalas tanggungjawab ini, untuk mendidik masyarakat dan juga mahasiswa mahasiswi mengenai bahayanya gejala-gejala sosial seumpama ini. Kami insaf dengan tanggungjawab kami, dan dengan itu, kami dari pihak kabinet HEWI PMIUM akan menyokong penuh dan membantu pada segala cadangan dan gerakerja yang baik oleh kerajaan dan pihak berwajib.
Lebih dari segala-galanya, kesedaran individu itu adalah yang paling utama. HEWI PMIUM menggesa semua pihak khususnya seluruh wanita rakyat Malaysia, tidak kira bangsa dan agama agar sama-sama beringat dan berjaga-jaga. Jangan lagi kita sebagai wanita rela dan mudah diperlakukan sewenang-wenangnya. Bukan sedikit kes yang timbul akibat sifat terlalu 'mudah percaya' kepada individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Kukuhkan diri dengan jati diri wanita yang baik dan terpelihara. Kembalilah kepada ajaran agama, nescaya semuanya akan bahagia dan sejahtera.

SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
HEWI PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA 2008



 Share This Post =)
February 12, 2011 No Comments
Isu mengenai ranking universiti-universiti di Malaysia tidak akan habis untuk diperbahaskan. Ini kerana, di samping kuantiti yang ada meliputi sama ada bilangan universiti yang diwujudkan di negara ini ataupun garaduan-graduan yang dilahirkan dari alam kampus, malahan penting sekali untuk dicermati bahawa aspek kualitatif merupakan satu sisi yang amat perlu diberikan perhatian dalam mana-mana hal sekalipun.

Justeru, baru-baru ini, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Rafiah Salim telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua peperiksaan Universiti Malaya bagi peringkat Sarjana Muda dan pasca siswazah akan dinilai panel dari universiti ternama luar negara. "Syarat kenaikan pangkat kepada taraf profesor juga tertakluk kepada penilaian antarabangsa," kata-kata ini diucapkan kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Canselor Universiti Malaya yang diadakan pada 7 April lepas.

Beliau menjelaskan lagi bahawa langkah itu bertujuan untuk memastikan kedudukan Universiti Malaya sebagai sebuah universiti yang ulung dipertingkatkan di peringkat antarabangsa sehingga setaraf dengan universiti-universiti ternama dunia. Selain itu, mengikut Datuk Rafiah lagi, panel itu bukan saja menilai kertas jawapan malah kertas soalan yang disediakan UM. Beliau berkata, Indeks Utama Prestasi (KPI) bagi kakitangan akademik UM akan dinilai berdasarkan prestasi masing-masing, termasuk mewajibkan penghasilan sekurang-kurangnya dua penerbitan akademik dalam setahun dalam jurnal akademik.

Ini merupakan antara langkah yang baik dan efisien dalam rangka usaha untuk memulihkan kembali imej universiti-universiti tempatan di mata dunia. Di peringkat Universiti Malaya sendiri, bonda Rafiah sendiri telahpun merangka dan memperkenalkan banyak perkara baru yang bermanfaat kepada universiti itu sendiri. Nyatalah, kami dapat melihat kesungguhan dan komitmen beliau yang amat padu dalam menangani hal ini.

Dengan borang aduan dan analisa khidmat pelanggan yang disediakan di setiap kaunter fakulti dan juga kaunter-kaunter perkhidmatan yang lain di Universiti Malaya, malahan juga dengan Sistem Penilaian Kursus dan Matapelajaran yang sudahpun ditingkatkan melalui dalam talian (online), kuliah matapelajaran Sains dan Matematik yang sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris, purata nilai gred yang sudahpun dinaikkan grafnya, membawalah kepada peningkatan laman web umum (umisisweb) yang dilihat semakin mesra pengguna dan sebagainya, maka semuanya dilihat sebagai beberapa siri usaha yang ternyata memang baik dan berkesan dalam meningkatkan mutu dan tahap profesionalisma di kalangan pentadbiran.

Kesimpulannya, saya mewakili warga Universiti Malaya dan keluarga besar PMIUM mengucapkan Selamat Maju Jaya dan terima kasih kepada bonda Rafiah yang mempunyai visi dan misi yang jauh dan luas dalam mengemudi halatuju universiti alaf baru.


SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
KETUA UNIT MEDIA DAN PENERBITAN
HAL EHWAL MAHASISWI (HEWI)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM) 2008


Share This Post =)
February 12, 2011 No Comments
ISU WANITA SOLAT BERJEMAAH DI MASJID



Bagi saya, isu mengenai wanita ke masjid sendiri sudah lama dibahaskan. Sebenarnya, sejak zaman Nubuwwah, kehadiran wanita dalam solat berjamaah di masjid bukanlah sesuatu yang asing. Wujud sahabiyah ada yang ikut menghadiri solat berjamaah di belakang para sahabat walaupun itu tidak wajib bagi mereka. 
Selain daripada itu, ada juga beberapa dalil daripada sunnah yang sahihah yang mana menunjukkan penyertaan wanita di dalam shalat berjamaah di masjid. Dua antaranya adalah hadith daripada Saidatina Aisyah radliyallahu 'anha, dan satu lagi adalah hadith daripada Abi Qatadah Al Anshari radliyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya aku berdiri untuk menunaikan shalat dan berkeinginan untuk memanjangkan shalat itu. Lalu aku mendengar tangisan bayi maka akupun memendekkan shalatku kerana khuatir (tidak suka) memberatkan ibunya." (HR. Bukhari 868, Abu Daud 789, Nasa'i 2/94‑95 dan Ibnu Majah 991)
Nah, inilah dia jawapannya. Tidak perlu dipanjangkan perbahasan kerana jalan manakah yang lebih benar dan lebih elok dari jalan sunnah dan sirah nabi? 
Namun begitu, satu hal yang membuatkan saya terpanggil untuk merespon isu ini, bahawa kenapakah sehingga kini isu ini masih perlu diperbahaskan. Kerna bagi saya, secara logiknya, untuk apa dipersoalkan mengenai wanita-wanita yang ingin ke masjid untuk menunaikan solat. Asal saja suaminya mengizinkan. Lebih afdhal jika si wanita tersebut ikut pergi bersama suaminya, mungkin pada waktu-waktu Subuh, Maghrib, Isya' dan sebagainya. Begitu juga seandainya anak-anak gadis turut mahu ke masjid bersama mahramnya.
Sedangkan, alangkah di mana wanita-wanita Islam sekarang ini? Ada yang berpergian ke pasar-pasar tanpa ditemani muhrim, ada juga yang duduk-duduk buang masa di tepi-tepi jalan ataupun bercanda mesra di tepi tasik bersama pasangan yang entah apa statusnya. Inilah dia fitnah yang sebenar! Ini suatu perkara yang selalu merungsingkan saya; tentang masa depan anak bangsa bernama wanita. Untuk apa dipersoalkan tentang para wanita yang ke masjid; yang mana pandangannya sudah tetap dan fokus ke ribaan Ilahi, yang mana dirinya sudahpun bersih dan suci. Malahan, golongan manakah lagi yang lebih kuat dan cekal hati dari sang wanita yang ke masjid untuk menghadap Ilahi sesempurna mungkin tanpa menghiraukan keringanan yang diberikan pada mereka, serta sifat malas yang bersarang di dada. Malah, bangga untuk saya berkata bahawa golongan wanita inilah yang lebih mulia dari lelaki yang mana pergi ke masjidnya cuma seminggu sekali (solat Jumaat), atau masih tidak mengenal apa itu solat di dalam hidupnya. 
Malahan, wanita-wanita inilah yang diperlukan ummah! Umum mengetahui, wanita berperanan dalam mendidik anak bangsa. Justeru, khidmat mereka ini diperlukan mungkin untuk mengajar kelas-kelas Al-Qur'an dan Pengajian Agama pada anak-anak di masjid.

SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
KETUA UNIT MEDIA DAN PENERBITAN
HAL EHWAL MAHASISWI (HEWI)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM) 2008


 Share This Post =)
February 12, 2011 No Comments

Ini sebuah kisah yang mahu saya kongsikan dengan anda. Cerita ini, kisah ini, tulisan ini; tidak ramai yang dapat membacanya. Kisah ini sesungguhnya dari jiwa saya.
Saya dilahirkan pada Januari 1984. Dua puluh empat tahun yang lalu di sebuah kampung di utara tanah air. Sepanjang tempoh ini, pelbagai suka duka telah saya tempuhi. Pelbagai peristiwa dunia telah saya saksikan. Saya cukup percaya tentunya anda juga.
Seingatnya, saat saya mula kenal ABC, saya sungguh teruja untuk membaca sebarang bentuk tulisan. Sungguh! Mak ayah saya menjadi sangat pelik dengan kelakuan saya ini. Hatta majalah Dewan Masyarakat  dan suratkhabar Berita Harian pun turut saya baca sedangkan tika itu, kanak-kanak baya saya ini masih enak-enak membaca kartun Doraemon dan bermain ‘bola bayang’.
Menginjak ke tahun enam, guru dan keluarga saya sibuk membincangkan mengenai KLCC! Sungguh saya teruja untuk menjejakkan kaki ke sana lantas menggapai awan Kuala Lumpur. Ah.. Kuala Lumpur terasa menggapai.. Ya! Akan kujejakkan kakiku ke sana suatu masa nanti!
Menginjak ke sekolah menengah, dimensi minda saya mula terbuka dengan lebih luas. Rupanya masih banyak peristiwa di dunia ini! Bukan semuanya indah. Di kala mata saya bundar menahan kantuk membaca ayat demi ayat untuk Peperiksaan Menangah Rendah, saya tidak akan pernah lupa dengan hingar dan pijarnya dunia dengan peristiwa Perang berdarah Kosovo, perang Bosnia yang mencengkam dan juga maraknya api Palestin yang tidak pernah kunjung padam.. Dan syukur, dalam peperiksaan PMR, saya berhasil mendapatkan A bagi semua mata pelajaran yang diambil. Dan di kala saya lelah tidur berselimutkan nota-nota peperiksaan SPM, sekali lagi pada tahun 2001, saya malahan dunia ini seisinya dikejutkan dengan peristiwa serangan WTC.
Justeru, diri ini terasa amat bertuah untuk berada di sebuah negara bernama Malaysia. Seharusnya anda juga wajib berasa begitu. Manakan tidak, negara ini aman dan sejahtera. Kita dapat melalui hari-hari kehidupan dengan baik tanpa sebarang konflik yang tidaklah terlalu mencengkam. Cuba saudara saudari tutup mata dan bayangkan sejenak, seandainya negara kita seperti negara-negara yang disebutkan di atas. Mungkin waktu ini kita hidup dalam ketakutan, dalam pelarian, dalam pembuangan.. di celah-celah runtuhan bangunan usang, atau dalam lubang-lubang yang panas meruap.. dengan wajah ibu, ayah dan saudara mara yang terasa makin menjauh.. atau mungkinkah pada saat ini kepala dan tangan kaki kita sudah lama terpisah dari badan??
Namun itulah... naluri manusia. Sesungguhnya “Mencintai Negara Adalah Separuh dari Iman”. Manusia mana yang tidak cintakan negara sendiri?? Ibaratnya “Hujan emas di negeri orang, hujan batu malah hujan peluru segala di negeri sendiri..justeru lebih baik di negeri sendiri.." Walau hangat dan pijar berdebu serta dentuman ada di mana-mana, tentu 1000x lebih baik dari negeri asing.
Teringat saya pada peristiwa yang begitu mengejutkan dunia khususnya di lingkaran Asia Tenggara. Tsunami! 26 Disember 2004. Ketika itu saya masih belajar di sini. Ya! Di varsiti kesayangan kita ini.. Saya juga seperti anda, seorang graduan Universiti Malaya. Pada awal tahun 2005, saya sempat melawat ke sana. Seorang pensyarah yang rapat dengan saya mengajak saya ke sana untuk membuat sadikit kajian dan liputan. Betapa bertuahnya saya! Saya ingin merasa sendiri. Akan hanyirnya udara Acheh.. dan lebih dari itu, sungguh saya ingin berdiri di hadapan satu binaan yang menjadi bukti kekuasaan Allah.. Masjid Baiturrahman yang teguh berdiri di tengah amukan Tsunami.
Di sana, saya bertemu dengan makcik dan pakcik yang sebaya dengan ibu serta bapa saya. Sungguh mengharukan menatap wajah sugul mereka. Namun hairannya, mereka membina semula rumah-rumah mereka di kawasan gersang itu. Saya bertanya mereka. “Makcik, kenapa membina semula rumah di sini? Tak takutkah Tsunami datang kembali?” Seorang ibu itu menjawab “Ya, takut juga. Tetapi rumah ini, tanah ini, bumi ini, tempat saya dilahirkan. Saya bisa berpindah tetapi manakan sama? Lagipun, dua anak saya dan suami saya mati di sini dalam tsunami. Kalau datang lagi, apa boleh buat...”
Itulah makna sejati pada cintakan negara. Saya amat merasa bertanggungjwab untuk Malaysia. Membaiki Malaysia ke arah yang lebih baik, malahan yang terbaik! Justeru, baru-baru ini, ketika saya mengambil keputusan untuk menyambung Master, saya memohon hanya di dalam negara. Tidak sanggup rasanya berlama-lamaan di negara orang. Kalau sekadar melawat dan melancong tidak mengapa. Saya ingin lihat, alami malah terlibat sendiri dalam perkembangan Malaysia baru, di depan mata saya sendiri. Malaysia baru yang aman dan sejahtera dalam keberkatan, yang mementingkan kebajikan rakyat, dan adil serta bermaruah.

Pilihan raya ke-12, kali pertama saya mengundi. Justeru, saya akan memilih yang terbaik buat masa depan negara. Masa depan yang dicorakkan di tangan generasi baru!

Itulah juga seruan saya buat mahasiswa semua.


 Share This Post =)
February 12, 2011 No Comments
     Khamis November 01, 2007

Semalam angkasawan kebanggan negara kita sudahpun pulang ke tanah air. Walaupun untuk sekejap sahaja, sebelum kembali semula ke Rusia, namun bahang dan inspirasinya terasa menjalar di seluruh bumi Malaysia. Kepulangannya untuk tugas yang satu. Setelah menyempurnakan tugasan sebagai angkasawan negara dan membawa misi dan harapan serta aspirasi negara, beliau kini pulang kembali untuk seketika sebagai menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang abang kepada adiknya.
       Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada angkasawan pertama Malaysia, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie b. Sheikh Mustapha atas kejayaannya menyempurnakan misi Malaysia ke angkasa dan selamat pulang kembali ke bumi. Sekalung ucapan takziah juga diberikan atas kehilangan adiknya, Allayarham Sheikh Mustafa Al-Masrie. Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada-Nya jua kita akan kembali.
        Terima kasih juga kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Jamaludin b Dato' Mohd Jarjis dan juga sesiapa yang terlibat atas belas ihsan dan rasa perikemanusiaan mereka membenarkan Dr. Sheikh Muszaphar untuk pulang seketika, dalam menyempurnakan tugas sebagai seorang insan yang bergelar anak dan juga abang. Walau sehebat dan segah manapun kita, sesungguhnya kita haruslah insaf bahawa kita hanyalah insan biasa yang harus redha dengan ketetapan Ilahi ke atas hambanya.
          Namun begitu, ada 'desas-desus kecil' dan 'cakap-cakap yang tidak enak untuk didengar' berkenaan dengan apa yang berlaku. Ada yang mengatakan bahawa ia sebagai tukaran nyawa, kerana sepatutnya Dr Sheikh Muszaphar yang mempunyai masalah kerana kapal Soyuz tersasar hingga lebih kurang 600 kilometer dari tapak pendaratan asal. Kemalangan yang menimpa adiknya berlaku dalam detik yang agak hampir dengan apa yang berlaku pada angkasawan kita. Ini merupakan satu pernyataan yang tidak bertamadun, dan lebih dari itu boleh membawa penyelewengan aqidah kepada kita sebagai umat Islam. Perkara ini tidak boleh diterima akal sama sekali. Semua haruslah sedar bahawa Allahlah yang mengatur hidup kita, dan akhir dari semua ini adalah jua kembali pada-Nya. Tiada perkara seumpama itu di dalam Islam. Dia berkuasa memberi kita kegembiraan dan kejayaan, dan Dia juga kadang-kadang memberi kita ujian dan cubaan, untuk memberi peringatan kepada kita dan juga sebagai tanda cinta-Nya kepada kita. Sesungguhnya mukmin yang mendapat ujian itu adalah insan yang dicintai oleh-Nya.
        Justeru, sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada Dr. Sheikh dan keluarga, dan juga ucapan takziah kepada keluarga Allayarham. Sesungguhnya Malaysia turut 'merasakan sesuatu' atas apa yang terjadi. Semoga terus tabah dan cekal dengan apa yang menimpa. Semoga rakyat Malaysia merasa insaf dengan apa yang telah disaksikan di depan mata sendiri tentang aturan dan kuasa Allah ke atas hamba-hambaNya yang lemah ini. Pastinya ia mempunyai rahmat dan hikmah yang tidak mampu diungkapkan oleh kita selaku manusia yang kerdil dan lemah.

Syahadatul Hafizah Abdullah,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Sumber: http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2007/11/1/KOLUM/Pendapat/Tahniah_dan_takziah_pada_keluarga_Angkasawan&sec=mstar_kolum


 Share This Post =)
February 12, 2011 No Comments




 Share This Post =)
February 12, 2011 No Comments
Newer Posts
Older Posts

About me



A simple me, Syahadah Hafeezah.
Co-Founder at
MYHEAVEN GROUP SDN. BHD.
Printing | Boutique

Follow Us

Labels

Arkib Syahadah bayi berbuka berpuasa Bingkisan_Mujahidah breastfeeding Buatmu Akhawat Fillah cinta cirit-birit DIARI HIDUP fidyah Free Wallpaper Gerbang Pendidikan Hadith Habibi hari lahir Hari-hari adalah Perjuangan Hari-Hari adalah Perjuangan.. Hebahan ibu Info Inspirational Motivational jannah Jurnal Kesyukuran Lagu Ini Me Myself and I MOTIVATION Muhasabah Cinta muslimah Nasihat Buat Puteri Nasyeed Parenting penyusuan perkahwinan perubatan qadha puasa Ramadhan sabar sakit perut Sembang Buku Sembang_Buku Sembang_Isu Seputar Kemahasiswaan suami Tafsir Hati Tasyji' tazkeerah.net Tazkirah tinta_kejora TIPS uzur Wacana_Fikrah walimah WALIMAH CINTA Walimah Sakinah WOMENS HEALTH

recent posts

Blog Archive

  • ▼  2018 (1)
    • ▼  November (1)
      • Blog My Love
  • ►  2016 (3)
    • ►  September (1)
    • ►  May (1)
    • ►  March (1)
  • ►  2014 (9)
    • ►  November (1)
    • ►  July (4)
    • ►  June (1)
    • ►  February (3)
  • ►  2013 (2)
    • ►  October (1)
    • ►  August (1)
  • ►  2012 (6)
    • ►  October (1)
    • ►  July (1)
    • ►  February (1)
    • ►  January (3)
  • ►  2011 (128)
    • ►  December (1)
    • ►  November (3)
    • ►  October (8)
    • ►  September (6)
    • ►  August (11)
    • ►  July (7)
    • ►  June (6)
    • ►  May (15)
    • ►  April (17)
    • ►  March (14)
    • ►  February (21)
    • ►  January (19)
  • ►  2010 (91)
    • ►  December (7)
    • ►  November (12)
    • ►  October (10)
    • ►  September (11)
    • ►  August (9)
    • ►  July (5)
    • ►  June (3)
    • ►  May (4)
    • ►  April (8)
    • ►  March (4)
    • ►  February (4)
    • ►  January (14)
  • ►  2009 (46)
    • ►  December (15)
    • ►  November (7)
    • ►  October (8)
    • ►  September (8)
    • ►  August (3)
    • ►  July (2)
    • ►  March (2)
    • ►  January (1)
  • ►  2008 (19)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (1)
    • ►  July (1)
    • ►  June (2)
    • ►  April (4)
    • ►  March (1)
    • ►  February (2)
    • ►  January (4)
  • ►  2007 (8)
    • ►  December (1)
    • ►  November (2)
    • ►  October (3)
    • ►  September (2)
FOLLOW ME @INSTAGRAM

Created with by ThemeXpose