SAYA ANAK MALAYSIA!

by - February 12, 2011


Ini sebuah kisah yang mahu saya kongsikan dengan anda. Cerita ini, kisah ini, tulisan ini; tidak ramai yang dapat membacanya. Kisah ini sesungguhnya dari jiwa saya.
Saya dilahirkan pada Januari 1984. Dua puluh empat tahun yang lalu di sebuah kampung di utara tanah air. Sepanjang tempoh ini, pelbagai suka duka telah saya tempuhi. Pelbagai peristiwa dunia telah saya saksikan. Saya cukup percaya tentunya anda juga.
Seingatnya, saat saya mula kenal ABC, saya sungguh teruja untuk membaca sebarang bentuk tulisan. Sungguh! Mak ayah saya menjadi sangat pelik dengan kelakuan saya ini. Hatta majalah Dewan Masyarakat  dan suratkhabar Berita Harian pun turut saya baca sedangkan tika itu, kanak-kanak baya saya ini masih enak-enak membaca kartun Doraemon dan bermain ‘bola bayang’.
Menginjak ke tahun enam, guru dan keluarga saya sibuk membincangkan mengenai KLCC! Sungguh saya teruja untuk menjejakkan kaki ke sana lantas menggapai awan Kuala Lumpur. Ah.. Kuala Lumpur terasa menggapai.. Ya! Akan kujejakkan kakiku ke sana suatu masa nanti!
Menginjak ke sekolah menengah, dimensi minda saya mula terbuka dengan lebih luas. Rupanya masih banyak peristiwa di dunia ini! Bukan semuanya indah. Di kala mata saya bundar menahan kantuk membaca ayat demi ayat untuk Peperiksaan Menangah Rendah, saya tidak akan pernah lupa dengan hingar dan pijarnya dunia dengan peristiwa Perang berdarah Kosovo, perang Bosnia yang mencengkam dan juga maraknya api Palestin yang tidak pernah kunjung padam.. Dan syukur, dalam peperiksaan PMR, saya berhasil mendapatkan A bagi semua mata pelajaran yang diambil. Dan di kala saya lelah tidur berselimutkan nota-nota peperiksaan SPM, sekali lagi pada tahun 2001, saya malahan dunia ini seisinya dikejutkan dengan peristiwa serangan WTC.
Justeru, diri ini terasa amat bertuah untuk berada di sebuah negara bernama Malaysia. Seharusnya anda juga wajib berasa begitu. Manakan tidak, negara ini aman dan sejahtera. Kita dapat melalui hari-hari kehidupan dengan baik tanpa sebarang konflik yang tidaklah terlalu mencengkam. Cuba saudara saudari tutup mata dan bayangkan sejenak, seandainya negara kita seperti negara-negara yang disebutkan di atas. Mungkin waktu ini kita hidup dalam ketakutan, dalam pelarian, dalam pembuangan.. di celah-celah runtuhan bangunan usang, atau dalam lubang-lubang yang panas meruap.. dengan wajah ibu, ayah dan saudara mara yang terasa makin menjauh.. atau mungkinkah pada saat ini kepala dan tangan kaki kita sudah lama terpisah dari badan??
Namun itulah... naluri manusia. Sesungguhnya “Mencintai Negara Adalah Separuh dari Iman”. Manusia mana yang tidak cintakan negara sendiri?? Ibaratnya “Hujan emas di negeri orang, hujan batu malah hujan peluru segala di negeri sendiri..justeru lebih baik di negeri sendiri.." Walau hangat dan pijar berdebu serta dentuman ada di mana-mana, tentu 1000x lebih baik dari negeri asing.
Teringat saya pada peristiwa yang begitu mengejutkan dunia khususnya di lingkaran Asia Tenggara. Tsunami! 26 Disember 2004. Ketika itu saya masih belajar di sini. Ya! Di varsiti kesayangan kita ini.. Saya juga seperti anda, seorang graduan Universiti Malaya. Pada awal tahun 2005, saya sempat melawat ke sana. Seorang pensyarah yang rapat dengan saya mengajak saya ke sana untuk membuat sadikit kajian dan liputan. Betapa bertuahnya saya! Saya ingin merasa sendiri. Akan hanyirnya udara Acheh.. dan lebih dari itu, sungguh saya ingin berdiri di hadapan satu binaan yang menjadi bukti kekuasaan Allah.. Masjid Baiturrahman yang teguh berdiri di tengah amukan Tsunami.
Di sana, saya bertemu dengan makcik dan pakcik yang sebaya dengan ibu serta bapa saya. Sungguh mengharukan menatap wajah sugul mereka. Namun hairannya, mereka membina semula rumah-rumah mereka di kawasan gersang itu. Saya bertanya mereka. “Makcik, kenapa membina semula rumah di sini? Tak takutkah Tsunami datang kembali?” Seorang ibu itu menjawab “Ya, takut juga. Tetapi rumah ini, tanah ini, bumi ini, tempat saya dilahirkan. Saya bisa berpindah tetapi manakan sama? Lagipun, dua anak saya dan suami saya mati di sini dalam tsunami. Kalau datang lagi, apa boleh buat...”
Itulah makna sejati pada cintakan negara. Saya amat merasa bertanggungjwab untuk Malaysia. Membaiki Malaysia ke arah yang lebih baik, malahan yang terbaik! Justeru, baru-baru ini, ketika saya mengambil keputusan untuk menyambung Master, saya memohon hanya di dalam negara. Tidak sanggup rasanya berlama-lamaan di negara orang. Kalau sekadar melawat dan melancong tidak mengapa. Saya ingin lihat, alami malah terlibat sendiri dalam perkembangan Malaysia baru, di depan mata saya sendiri. Malaysia baru yang aman dan sejahtera dalam keberkatan, yang mementingkan kebajikan rakyat, dan adil serta bermaruah.

Pilihan raya ke-12, kali pertama saya mengundi. Justeru, saya akan memilih yang terbaik buat masa depan negara. Masa depan yang dicorakkan di tangan generasi baru!

Itulah juga seruan saya buat mahasiswa semua.


 Share This Post =)

You May Also Like

0 Comments