MENUJU KESYAHIDAN

by - February 06, 2011

PROJEK INTELEKTUAL ASSOFF 2006
RESENSI BUKU
(mengimbau kenangan lama yang bisa menyuntik semangat baru
dan mengeluarkan bahan2 simpanan lama yang berguna
dari My Poket Doralin Acer 2930 untuk manfaat semua =)

"MATI SYAHID"
 AS-SYAHID AYATOLLAH MUTAHHARI




ISLAMIC MEDIA & COMMUNICATIONS

KUALA LUMPUR (1983)



Disediakan oleh :

Syahadatul Hafizah binti Abdullah (Dakwah)
(mysyahadah@gmail.com)
(http://mysyahadah.blogspot.com/)
 Akademi Pengajian Islam
2006


KATA PENGANTAR

Buku ini membicarakan tentang perkara yang melingkungi frasa ‘mati syahid’. Dalam Bahasa Inggeris disebut martyr, dan dalam Bahasa Arab disebut syaheed. Sesungguhnya mati syahid merupakan satu cita-cita yang agung. Ia tidak boleh dibahaskan dari sudut ilmiah dan jauh sama sekali untuk dilihat dari sudut kajian saintifik kerana ia berkaitan dengan perkara ‘ruh’.

MATI SYAHID
KESUCIAN SEORANG YANG MATI SYAHID
Mati Syahid merupakan kalimah yang begitu kukuh dalam perbendaharaan Islam. Ia mempunyai nilai yang amat suci dan kudus sekali. Seorang insan yang hidup berusaha memahami Islam akan melihat kalimah ini memiliki kecemerlangan cahaya Ilahi. Ia hanya akan dicapai oleh meraka yang mencapai tahap al-syahadah. Iaitu orang yang berusaha dan berkorban untuk mencapai matlamat Islam yang tinggi dan berjuang untuk melaksanakan nilai-nilai kemanusiaan yang nyata.

KEDUDUKAN SEORANG SYAHID
Syuhada’ terus hidup dan mendapat kenikmatan di sisi Allah (Ali-Imran:169) seseorang yang mati sayahid berkedudukan tertinggi dan sempurna sepanjang sejarah hidup seseorang manusia. Keadaan ini boleh dibandingkan dengan golongan yang keluar pada jalan menuntut ilmu pengetahuan untuk mengenal Allah dan agamaNya. Boleh juga dikaitkan perbandingan tersebut dengan orang yang berusaha untuk meninggikan kedudukan ekonomi keluarganya dan mengukuhkan ekonomi masyarakatnya.

HAK SEORANG SYAHID
       Tidak ada satu golongan pun di kalangan umat manusia yang mempunyai hak dan tanggungjawab sebagaimana seorang syahid. Ini kerana golongan manusia yang menabur khidmat di tengah masyarakat mendapat sumbangan yang besar dari peranan para syuhada’. Sedangkan para syuhada’ menjadi lambang kepada semua golongan dan semua perkhidmatan kemanusiaan. Seorang yang mati syahid ibarat lilin atau dian yang membakar dirinya dan lenyap untuk menerangi jalan yang dilalui oleh orang lain. Oleh itu para syuhada’ merupakan dian-dian kemanusiaan yang menerangi jalan-jalan kebenaran yang panjang. Dengan dian-dian yang membakar ini perjalanan perjuangan manusia akan sampai kepada matlamatnya.

JASAD SEORANG SYAHID
       Hukum Islam dalam menguruskan jenazah orang biasa dan  orang yang mati syahid adalah berbeza. Hukum-hukum menyelenggarakan jenazah tidak dilaksanakan terhadap jasad seorang syahid melainkan disembahyangkan dan terus dikebumikan, dengan darah dan pakaiannya semasa ia gugur. Pengecualian ini mempunyai makna yang sungguh mendalam dan ini menunjukkan roh seorang syahid telah mencapai ke tahap yang sedemikian tinggi dan suci murni.

FAKTOR YANG MEMBAWA KEKUDUSAN DAN KEMURNIAN
       Kesucian ini tidak dikaitkan dengan kematian semata-mata. Ini kerana terdapat dua rukun kematian syahid. Pertama ialah mempunyai kesucian matlamat iaitu mati pada jalan Allah. Keduanya, seseorang yang mencapai tahap kesyahidan di dalam memperjuangkan ilmu Allah. Terdapat juga dua penghalaan dalam kesyahidan; iaitu seseorang yang gugur syahid kerana mencapai cita-cita kudus manakala pembunuhnya pula memiliki keinginan yang jahat dan keji dalam pembunuhan yang dilakukannya itu.

JIHAD, ATAU BEBANAN YANG DIPIKUL OLEH SYAHID
        Amalan dan kegiatan yang membawa kepada kesyahidan iaitu kematian yang penuh keinsafan di atas jalan yang suci lagi kudus dirujuk dalam perbendaharaan Islam sebagai Jihad. Tiga istilah yang saling berkaitan yang sering disebut dalam Al-Qur’an pula adalah iman, hijrah dan kesyahidan. Kesan-kesan negatif yang akan menimpa orang yang meninggalkan tanggungjawab jihad adalah antaranya, kehinaan dan terbuang, kesulitan dan kesengsaraan, pergolakan batin dan jiwa yang sungguh hebat, kehilangan penglihatan yang benar lagi sahih, kehilangan pusat kepimpinan, dan tidak dapat menimbulkan keinsafan dan kesedaran Islam kepada orang lain. Seorang insan muslim hendaklah hidup bergelumang dengan jihad secara amali atau sekurang-kurangnya mempunyai cita-cita untuk berjihad.
  
DORONGAN MENUJU KESYAHIDAN
       Jika kita meneliti sirah, kita akan dapat melihat betapa para sahabat merindui kesyahidan di jalan Allah. Ini jelas ditunjukkan dalam beberapa contoh, seperti yang berlaku pada Saidina Ali, Umar bi Al-Jumuh, Khalid al-Walid dan sebagainya. Para sahabat sering meminta Nabi S.A.W mendoakan untuk mereka agar mereka mendapat syahid. Ini kerana mereka percaya sepenuhnya tanpa sebesar zarah pun berasa ragu tentang janji Allah pada mereka yang berjuang di jalanNya dan akhirnya syahid di jalanNya. Roh atau semangat yang mendesak kepada kesyahidan ini subur di dalam jiwa kelurga ahli al-bait (Rasulullah S.A.W) dan para pengikut mereka. Dengan itu mereka juga sering berdoa kepada Allah agar dikurniakan syahid.

KEDUDUKAN YANG SESUAI BAGI SEORANG SYAHID
       Kedudukan orang yang mati syahid sesuai dengan tarafnya di sisi Allah dan ia tidak diukur dengan kedudukan orang lain. Kedudukannya merupakan kedudukan tertinggi; kedudukan seseorang yang membawa kebaikan dan seseorang yang  rindu akan Tuhannya. Kedudukan seorang syahid lain dari yang lain. Kedudukan dan sudut pandangan seorang syahid penuh bercahaya. Seorang syahid merupakan seorang tokoh dan jaguh malah lebih tinggi dari kedudukan semua tokoh dan jaguh yang ada.
 
DARAH SEORANG YANG MATI SYAHID
       Darah seorang syahid tidaklah melimpah dan tumpah begitu sahaja di tengah-tengah medan jihad, akan tetapi ia beredar dalam darah-darah beribu-ribu dan berjuta-juta umat manusia. Rasulullah S.A.W bersabda bahawa tidak ada setitik darah pun yang paling disukai oleh Allah melaikan titisan darah yang mengalir pada jalan Allah. Kesyahidan mengalir dan menyerap ke dalam jasad ummat dengan darah baru.. para syuhada’ menggerakkan dan mempengaruhi kesedaran masyarakat khususnya masyarakat yang papa dan miskin dengan darah... iaitu darah yang baru dan hidup.
   
GUGURNYA SEORANG SYAHID
       Islam amat berhajat kepada wujudnya kesyahidan ini. Ini adalah disebabkan keperluan yang berterusan terhadap semangat yang membaharui keberanian dan jihad kepada kelahiran dan kebangkitan yang baru dan berkaitan dengannya.

KEKALNYA SEORANG SYAHID
       Seorang ulama terjun ke dalam masyarakat dengan imunya dan hasil ilmiahnya. Seorang perekacipta pula bergabung dengan masyarakatnya melalui ciptaan kreatifnya. Dengan itu, seorang syahid mengekalkan dirinya di dalam masyarakatnya melalui jalan penumpahan darahnya. Dengan kata lain, seorang syahid berusaha mencapai sifat kekal melalui landasan menyumbangkan hidupnya dan kewujudannya. Sabda Nabi S.A.W : Setiap sumbangan atau peranan dapat diatasi sehingga seseorang itu gugur pada jalan Allah, apabila seseorang itu gugur syahid pada jalan Allah, tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasinya.

PERTOLONGAN SESEORANG SYAHID
       Sebagaimana yang diriwayatkan di dalam athar bahawa Allah hanya menerima syafaat pada hari qiamat daripada tiga golongan: Golongan para Nabi a.s, golongan Ulama’ dan golongan Syuhada’.

MENANGISI PARA SYUHADA’
       Saidina Hamzah (bapa saudara nabi) telah berangkat ke Madinah seorang diri tanpa ditemani seorang pun dari keluarganya. Ketika beliau gugur syahid di medan Uhud bersama dengan para syuhada’ yang lain, kedengaran suara tangisan dari rumah-rumah para syuhada’ yang lain melainkan rumah Hamzah kesunyian. Maka sabda Rasulullah S.A.W, "Adapun bagi Hamzah tidak ada siapa yang sudi menangisinya." Kalimah ini tersebar dengan cepat ke seluruh Madinah lalu kaum wanita bersegera ke rumah Hamzah tidak kira golongan janda atau wanita tua. Peristiwa ini menunjukkan Islam bukanlah menggalakkan kita menangisi sebarang kematian tetapi menggesa kita menangisi terhadap gugurnya seorang syahid. Ini adalah disebabkan menangisi seseorang syahid adalah menyertai bersama apa yang dirasainya dan turut mengikuti perjalanan ruhnya.

FALSAFAH MENANGISI TERHADAP KESYAHIDAN SESEORANG SYAHID
       Terdapat perbahasan yang panjang tentang perkara ini. Namun, cukuplah dikatakan bahawa di dalam Islam, tangisan terhadap para syuhada’ telah mengekalkan dan memupuk semangat kesyahidan ini sehingga menghapuskan kelumpuhan dan kelemahan jiwa. Inilah hikmah dan falsafah menangisi kesyahidan para syuhada’ dalam konteks kebangkitan ummah. Pendirian dan sikap masyarakat tentang seorang syahid atau peristiwa kesyahidan tidak hanya terikat kepada kejayaan peribadi atau perseorangan, atau gugurnya seseorang individu, malahan lebih jauh dari itu kesyahidan dikaitkan dengan kepentingan masyarakat dan kebangkitan ummah. Seseorang syahid mempunyai ikatan yang erat dengan masyarakatnya dilihat dari dua aspek. Pertama adalah ikatan individu itu sendiri dengan anggota masyarakatnya. Keduanya adalah ikatannya dengan anggota masyarakat yang merasai kesan peranan seorang syahid. Ikatan ini memberi pengajaran yang berkesan di dalam jiwa masyarakat, seterusnya memberi pengajaran yang penting yang menimbulkan keharuan.  

SEMERBAKNYA TANAH SEORANG SYAHID..
       Manusia sering mengunjungi tanah-tanah para syuhada’ sehingga zaman berzaman untuk merasakan sendiri roh syahid dan kesemerbakan haruman kasturi yang terapung di sekitarnya. Begitu juga tanah air yang didiami syuhada’ tersebut akan terus diberkati.

MALAM SEORANG SYAHID
       Kita biasa mendengar satu hari yang khusus untuk sekumpulan individu tertentu seperti hari ibu, hari bapa, hari buruh atau hari guru. Akan tetapi, kita tidak pernah mendengar satu hari khusus untuk memuliakan seorang syahid. Selain untuk mengenang mereka, tujuan hari itu juga boleh dijadikan satu hari untuk menghidupkan kemuliaan kedudukan syahid.

KATA PENUTUP
          Buku kecil ini lebih berat menerangkan dan membahaskan mengenai peristiwa kesyahidan Saidina Hussein R.A kerana baginda digelar sebagai Saiyyid al-Syuhada’ (pemimpin para syuhada’). Selain itu, kita pun telah sedia maklum bahawa penulis buku ini merupakan seorang pemimpin dan pejuang Revolusi Iran, yang mana lebih berat kepada aliran Syiah. Alhamdulillah, beliau sendiri telah pun menemui kesyahidan. Semoga kita dapat mengambil semangat roh para syuhada’ seterusnya meresapkannya ke dalam diri kita dan mengalirkan darah-darah itu ke segenap urat nadi sendiri dan urat nadi umat Islam seluruhnya.



 Share This Post =)

You May Also Like

0 Comments