“Mama, salahkah aku menyintainya?”

by - October 10, 2007

Aku terkedu apabila soalan itu keluar dari mulut mongel itu lalu singgah di telingaku beberapa tahun lalu. Ya. Aku baru sedar bahawa puteriku sudah remaja, sudah mengenali alam percintaan. Namun apa boleh ku buat, dia telah jatuh cinta!
Apakah yang bakal ku 'bual'kan kepadanya tentang cinta. Aku mencongak kata-kata yang bakal ku susun, agar dia tidak akan lari dari aku. Aku bertekad untuk menjadi ibu yang mendengar. Jika aku gagal. Aku akan kehilangannya buat selama-lamanya.

Apakah cinta itu sebenarnya? Bagaimana Islam memandang cinta? Bagaimana pula jika cinta telah menghampiri kita?


Cinta atau mahabbah asalnya bermakna bening dan bersih. Boleh diertikan juga air yang melimpah ruah selepas hujan turun dengan lebatnya. Oleh itu boleh disimpulkan al Mahabbah sebagai luapan hati dan gelojak rindu ketika diselubungi keinginan untuk bertemu dengan kekasih.

Cinta boleh membawa sengsara namun boleh juga membawa bahagia. Ianya bergantung kepada bagaimana kita mengurus cinta itu. Islam memandang cinta terhadap berlainan jenis dalam 3 perspektif :

1. Menyintainya kerana Allah (mendekatkan diri pada Allah dan mentaatiNya). Ini termasuk cinta yang bermanfaat. Contohnya cinta suami isteri yang bernikah untuk menjaga dirinya dari perkara maksiat dan juga bernikah kerana mengikuti sunnah Rasulullah menyambung generasi pejuang.

2. Cinta yang mendatangkan murka Allah. Lebih kita kenali sebagai cinta kerana nafsu berahi. Cinta inilah yang memalingkan kita dari Allah, membuat kita lupa akanNya dan mendorong untuk melanggar syariatNya. Firman Allah yang bermaksud "Dan di antara manusia ada orang yang mengangkat sesembahan selain Allah, mereka mencintai sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat cintanya pada Allah. Dan Allah tidak akan menunjuki orang-orang fasik." ( al-Baqarah :65)

3. Cinta yang mubah (harus), adalah cinta yang tidak ada unsur kesengajaan. Misalnya 'cinta pandang pertama' yang tidak sampai kita membuat maksiat kepada Allah. Kita merahsiakannya dan menahan diri kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang.Jadi bagaimana kita menanggapi dan mengurus perasaan cinta yang menghampiri kita?

Mana mampu kita hendak menolak cinta yang datangnya tanpa diundang. Memang perasaan cinta tidak boleh ditahan dan dibendung cuma kita hendaklah berlaku jujur dan menyalurkannya mengikut kehendak syariat. Perasaan 'cinta suci remaja' memang biasa diucapkan Cuma dalam hal ini syaitan memainkan peranan dalam menggelincirkan kitakepada kemungkaran dan larangan Allah. Memang adat bercinta semuanya mendakwa cinta mereka ikhlas dan suci murni tetapi syaitan memainkan peranannya sehingga tidak kita sedari ia banyak melanggar larangan Allah. Ingatlah bahawa setiap yang haram itu adalah haram walau apa keadaan sekalipun cuma kita yang kadang-kadang cuba 'menghalalkannya' dengan membuat pelbagai alasan, itu dan ini. Di sisi Allah ia adalah satu dosa dan setiap dosa layaknya adalah neraka.

Apa kata kita lihat hadis Rasulullah ini dalam sunah Ibni Majah : "Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah"

Apa? Nikah?!!, Tidak mungkin... sekolah pun belum habis, bagaimana nak bernikah?

Marilah kita lihat apa yang dikatakan pencipta kita : "Janganlah kalian dekati zina..." (al Isra':32)" Ah, terlalu ekstrim! Takkanlah bercinta dianggap mendekati zina?"

Tapi bukankah kita pernah dengar sabda Rasulullah: "Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita¡¦ Tidaklah bersendirian diri dengan seorang wanita kecuali ketiganya syaitan¡¦" (hari Tabrani). " Kedua tangan juga dapat berzina dan zinanya adalah menyentuh dan kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju tempat maksiat) dan mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman" (hari. Muslim dan Abu Daud)


Anakku, kamu seorang remaja Muslim yang baik, tidak akan berdalih lagi untuk mengelak dari perkataan Allah dan RasulNya. Mampukah anakku tidak berdalih lagi? Umpamanya kerana kasihan, kerana ingin mendakwahinya, kerana boleh menasihatinya, kerana mencari rakan diskusi intelek, dan sebagainya.

”Jadi mama, apa penyelesaiannya?”

Bagi anakku yang sudah jatuh cinta, rasakan cintamu dalam hati, berusahalah untuk melupakannya buat sementara waktu dan sibukkan diri dengan sesuatu yang bermanfaat. Tahanlah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama seperti mengelamun, berangan-angan dan membayangkan wajahnya yang tampan dan menggoda. Bersabarlah menghadapi ujian cinta ini. Jagalah batas batas pergaulan. Peliharalah kehormatan diri. Jangan biarkan cinta yang mubah ini menjadi cinta yang salah. Berdoalah kepada Allah agar dipertemukan kamu jika dia paling sesuai untukmu, agamamu dan keluargamu. Apabila tiba masanya nanti, apabila jodohmu ada insyaAllah kamu akan ditemukan dalam hubungan yang diredhai Allah.Pun begitu perhatikanlah juga perkara-perkara di bawah ini agar hatimu tidak mudah menjadi rawan :

1. Tundukkan pandanganmu dari perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu. Ataupun janganlah merenung kaum berlawanan jenis (an Nur:30-31)

2. Hindari berdua-duaan dan ikhtilat (campur gaul tanpa batasan). Elakkan berinteraksi dengan bukan mahram dengan perkara-perkara kurang penting yang melalaikan.

3. Hindari dari menonton filem atau drama atau cerita cinta yang mengasyikkan dan mengghairahkan nafsu.

4. Hindari bacaan/novel yang menghanyutkan hati kita lantas tergoda dengan perangkap cinta palsu.

5. Hindari lagu-lagu cinta kerana boleh melemahkan hati dan memendekkan cita-cita.

6. Sibukkan dengan mengaji dan berzikir. Bergaullah dengan kawan-kawan yang baik kerana kadang-kadang hati kita kalah kepada 'cinta' ini kerana kebodohan kita terhadap ilmu agama dan lemahnya iman kita.

7. Apabila kita telah mempunyai seorang 'teman akrab', cukuplah kiranya kita fahami maksud firman Allah "Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang Yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau Aku (di dunia dahulu) mengambil jalan Yang benar bersama-sama Rasul?
"Wahai celakanya aku, Alangkah baiknya kalau Aku tidak mengambil si Dia itu menjadi sahabat karib! "Sesungguhnya Dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaKu. dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan Dia sahabat karibnya)".


8. Puasalah untuk meredam perasaan nafsu dan rindu. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: "Adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan nafsunya maka sesungguhnya syurgalah tempatnya" (an-Naziat:40-41).9. Bernikah sahajalah jika sudah benar-benar mampu dari segi fizikal, kewangan, emosi dan intelekmu.”

"Aduhai mama, susahnya!”

Boleh jika kamu mahu, jangan bersedih. Syurga itu kan lebih indah. Dalam sabda Rasulullah juga bersabda bahwa jika kita meninggalkan sesuatu yang disukai manusia tapi dibenci Allah maka Allah akan mencukupkan diri kita dari sesuatu yang kita perlukan.Alangkah baiknya Allah, sanggupkah kita mengkhianatiNya? Bukankah Dia yang telah mencipta dan memelihara kita selama ini? Tidakkah Dia lebih baik dan sesuai, maka pantas untuk dicintai? Rasulullah bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga ia lebih mencintai Allah daripada mencintai anaknya, orang tuanya dan semua manusia"Siapakah yang dapat menolong kita di hari akhir nanti? Kekasih kita kah? Tentu tidak. Oleh kerana itu tetaplah tersenyum dan berlapang dada dalam menghadapi cinta ini. InsyaAllah, Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik, kekasih yang suci dan soleh/solehah yang bergelar suami/isteri, di dunia dan syurga di akhirat nanti, insyaAllah.Namun anakku, jika kamu dan kekasihmu sudah tidak boleh dipisahkan lagi, cintamu sudah terlalu mencengkam kalbu, tidurmu sudah tidak lena lagi, makanmu sudah tidak lagi kenyang, mandimu sudah tidak lagi basah, mama relakan perkahwinanmu. Mama akan aturkan pernikahanmu secepat mungkin, demi menjaga kesucian syariat dan memelihara satu rantaian zuriat masa depan yang bersih, suci dan soleh sepanjang generasi zaman. InsyaAllah...

(Sumber : Majalah Perspektif (JIM) Jan/Feb 2005)

You May Also Like

1 Comments