KEWALIAN PADA JALAN KENABIAN DAN KEWALIAN PADA JALAN KESUFIAN??
Perkongsian menarik untuk semua
Diambil dari alhakiki.tripod.com
Terdapat banyak perbezaan dari segi pengalaman, penyaksian, fahaman dan pegangan di antara pengembara pada jalan kesufian dengan pengembara pada jalan kenabian. Kewalian sufi diliputi oleh bayangan yang menyata sebagai tajalli-tajalli, sedangkan ia adalah hijab kepada Yang Haq. Kewalian sufi memasuki suasana menyaksikan rupa bentuk, cahaya dan warna. Cinta yang menguasai kewalian sufi adalah cinta yang mengasyikkan dan memabukkan, menghilangkan rasional. Kewalian pada jalan kenabian atau kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w tidak melalui suasana tajalli dan penyaksian kepada rupa bentuk, cahaya dan warna. Pada jalan kenabian, cinta para sahabat kepada Allah s.w.t menyata sebagai ketaatan yang sejati berlandaskan kehambaan yang sebenar-benarnya. Kewalian sufi berpisah daripada dunia dan akhirat. Pada kewalian para sahabat pula, dunia dan akhirat menjadi daerah kekhalifahan mereka. Mereka bertanggung-jawab kepada kehidupan dunia dan mereka bekerja untuk keselamatan di akhirat.
Nabi Muhammad s.a.w bertugas menyampaikan syariat kepada umat manusia. Wali-wali pada jalan kenabian dan wali sufi yang kembali kepada jalan kenabian meneruskan pekerjaan tersebut. Wali yang tidak keluar dari daerah kesufiannya tidak memperdulikan urusan disekelilingnya, tidak memperdulikan sekalipun berlaku kiamat. Wali-wali yang menetap pada daerah kesufian adalah mereka yang tidak diberi tugas. Wali-wali sufi yang dipilih dan diberi tugas akan dibawa kepada daerah kewalian cara kenabian dan mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan Allah s.w.t kepada mereka. Tugas utama adalah menyampaikan syariat. Orang ramai dituntut mentaati Nabi Muhammad s.a.w di dalam menjalankan peraturan syariat, bukan mengikuti cara atau amalan wali sufi. Di akhirat kelak yang dihisab adalah yang berkaitan dengan syariat. Latihan kerohanian dan tasauf juga dihisab berdasarkan peraturan syariat. Ketaatan kepada syariat membawa seseorang kepada syurga dan perlanggaran kepada syariat membawa ke neraka. Nabi Muhammad s.a.w dan wali-wali yang mengikuti baginda s.a.w menyampaikan dan mengamalkan syariat dan mereka bersedia untuk berkorban demi mengembang dan mempertahankan syariat.
Kemuncak kesempurnaan iman, ilmu, amal, takwa, pengalaman dan pencapaian, terdapat pada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w menjadi contoh tauladan yang paling baik dan paling tinggi untuk diikuti dan baginda s.a.w juga mestilah dijadikan model di dalam menentukan kedudukan seseorang wali. Ketinggian darjat seseorang wali ditentukan dengan setakat mana wali itu menghampiri kualiti-kualiti yang ada pada Nabi Muhammad. Ada wali yang melibatkan diri semata-mata dalam urusan hubungan dengan Tuhan. Wali yang fana dalam Tuhan ini melakukan tuntutan agama yang paling minima, seperti bersembahyang, tetapi sangat kurang penglibatannya dalam kebaktian kepada sesama manusia. Ada pula wali yang di samping bersungguh-sungguh di dalam urusan perhubungan dengan Allah s.w.t, mereka juga bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan kewajipan sesama manusia. Wali jenis kedua menjalani kehidupan yang lebih sesuai dengan kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan mereka merupakan wali yang lebih baik, lebih tinggi dan lebih sempurna. Wali yang bermukim di dalam daerah kewalian sufi, menjadi majzub atau fana dalam Allah s.w.t secara terus menerus, perjalanannya tidak lengkap. Wali yang demikian hanya berjalan separuh jalan sahaja. Mereka berhenti sebelum menemui Yang Hakiki. Wali tersebut melengkapkan perjalanan kepada Tuhan dan dalam Tuhan sehingga mencapai peringkat bersatu dengan Tuhan. Suasana bersatu dengan Tuhan menimbulkan mabuk yang melahirkan tingkah-laku dan tutur-kata yang ganjil-ganjil. Kemabukan menyebabkan wali tersebut terputus daripada peraturan dan sopan santun kemanusiaan. Dalam keadaan demikian juga peraturan syariat tidak dihormati. Wali jenis ini tidak dibolehkan menjadi pembimbing manusia lain kerana sifat-sifat kemanusiaannya sudah lenyap. Wali yang layak membimbing manusia lain adalah yang mara terus melepasi peringkat bersatu dengan Tuhan, bergerak jauh dari Tuhan dengan Tuhan, menyaksikan perbezaan di antara hamba dengan Tuhan, menyaksikan wujud hamba yang berpisah dengan Wujud Tuhan, keluar dari suasana mabuk dan kembali kepada keinsanan untuk menceburkan diri dalam kegiatan masyarakat. Wali jenis ini merupakan wali yang melepasi kewalian sufi dan masuk kepada kewalian cara kenabian. Merekalah yang menjadi khalifah Allah di bumi, memikul satu-satu bidang tugas khusus untuk kemanfaatan manusia umum. Inilah kumpulan wali yang menyambung perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w. Kumpulan ini memikul tugas berdakwah membimbing orang ramai kepada jalan Tuhan. Orang-orang yang kembali kepada jalan Tuhan dipersucikan zahir dan batin agar menjadi hamba Tuhan yang sebenar-benarnya. Hamba yang dipersucikan, berjalan pada jalan Tuhan, bekerja menegakkan syariat Allah s.w.t di atas muka bumi. Pekerjaan wali-wali yang sampai kepada cara kenabian merupakan pekerjaan yang paling mulia kerana mereka melakukan pekerjaan Nabi-nabi. Mereka mendapat kedudukan yang paling mulia, sebagai sahabat Allah s.w.t dan Rasul-Nya yang akrab.
Para ilmuan Islam haruslah menyedarkan umat Islam mengenai kewalian. Tokoh-tokoh ilmu yang menghiasai lembaran sejarah Islam haruslah dikaji dengan mendalam apakah tidak mungkin mereka adalah wali-wali yang dikhususkan dalam bidang berkenaan. Orang-orang yang lebih jelas kewalian dan kekhalifahan mereka seperti Imam Syafi'’e, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Hanbali dan lain-lain, hendaklah ditonjolkan sebagai wali sebagaimana layaknya, supaya kewalian mereka boleh dicontohi dan tidaklah orang ramai beranggapan hanya orang sufi sahaja yang menjadi wali.
------------------------------------------------------------------
Perkara ini sering menjadi polemik di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan anak muda mujahid mujahidah yang ingin menelusuri jalan hakikat dan makrifat kesufian dalam usaha untuk sampai kepada Tuhan. Selamilah ia, pandangilah dengan mata hati. Tidak kurang sekali yang tersilap langkah kerna terlalu berlebihan dan terlalu berkurangan dalam memahami sesuatu. Ingatlah, sekali kita di jalan Allah, ujian akan terus datang bertimpa-timpa. Ujian yang dari rahmat-Nya, juga ujian dan musibah dikernakan dari kebodohan diri kita sendiri. Walau apa pun, teruskan langkah perjalanan ini. Galilah hikmah dan pedoman melalui hari-hari mendatang ditemani kerendahan hati pada Allah dan makhluk-Nya.
Kehampiran dengan Tuhan pada kewalian sufi bercampur dengan unsur bayangan dan terdapat hijab padanya. Penyaksian sufi sering tertumpu kepada bentuk-bentuk misal yang dinisbahkan kepada Tuhan. Orang sufi biasa mengatakan mereka melihat Tuhan sebagai cuaca subuh atau sebagai satu bentuk atau satu warna. Gambaran misal itu menjadi hijab yang menutupi penyaksian terhadap Allah s.w.t yang tidak berupa, tidak berbentuk, tidak berwarna, tidak bercahaya dan tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya: “Laisa kamithlihi Syai'" Pada kewalian terdapat husul iaitu sampai kepada Tuhan. Pada husul terdapat hijab atau bayangan iaitu gambaran misal, dan orang yang memasuki peringkat husul menyatu dengan bayangan atau misal yang dinisbahkan kepada Tuhan, sama ada misal itu cahaya, warna, dirinya sendiri atau apa sahaja. Penyatuan dengan hijab atau misal ketuhanan itu dirasakan sebagai bersatu dengan Zat Tuhan. Oleh itu melalui husul perbezaan di antara hamba dengan Tuhan dihapuskan. Hamba dengan Tuhan dipertemukan pada satu wujud dan dinamakan wahdatul wujud. Wahdatul wujud hanyalah bayangan, bukan Yang Haq. Kemabukan ketika dilambung gelombang kefanaan yang menghasilkannya. Yang Hakiki hanya ditemui selepas meninggalkan peringkat fana dan mabuk.
Kewalian pada jalan kenabian, kewalian para sahabat, tidak bercampur dengan suasana mabuk, tidak ada fana, bebas daripada bayangan yang menghijab Yang Hakiki. Kewalian para sahabat memperolehi wusul atau berjumpa Tuhan tanpa dihijabkan oleh gambaran misal yang dinisbahkan kepada Tuhan. Pertemuan di antara hamba dengan Tuhan berlaku secara jaga, sedar, bukan dalam suasana mabuk. Bila tidak diganggu oleh mabuk dan gambaran misal, hamba menyaksikan kehambaan dirinya dan hamba menyaksikan ketuhanan Tuhannya. Hamba menyaksikan Tuhan yang : "Laisa Kamithlihi Syai'” - tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya, bagaimana Dia dimisalkan oleh sesuatu. Wujud Tuhan dengan wujud hamba boleh dibezakan. Mata keyakinan wali pada jalan kenabian menyaksikan Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan, digambarkan dan dimisalkan. Penemuan wali pada jalan kenabian sama dengan kenyataan al-Quran dan pengajaran Rasulullah s.a.w. Kewalian pada jalan kenabian itulah yang benar-benar berjumpa dengan Yang Haq. Bila Yang Hakiki ditemui seseorang itu bebas daripada tarikan keasyikan kepada nyanyian dan tarian, bebas daripada mabuk dan pengaruh wahdatul wujud. Tidak terjadi tajalliyat, tidak ada gangguan bayangan dan misalan dan lain-lain yang biasa ditemui pada jalan kesufian. Sebab itu kelakuan ganjil yang biasa menyerang orang sufi tidak didapati berlaku kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. Kewalian para sahabat melahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t secara ketaatan dengan penuh kerelaan di atas landasan kehambaan yang sebenar-benarnya.
Tajalliyat, sama ada berlaku dalam rupa bentuk, atau di bawah hijab cahaya dan warna, berlaku pada kewalian sufi terutamanya pada peringkat awal perjalanan. Penjelmaan dan tajalliyat adalah bayangan kepada Yang Haq. Tajalli dan penyaksian tertuju kepada bayangan. Orang yang menolak bayangan bebas daripada tajalliyat. Orang yang memasuki jalan kenabian bebas daripada tajalliyat tetapi jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian, pengalaman tajalliyat ditemuinya.
Orang yang memasuki jalan kesufian bekerja untuk menghapuskan semua kehendak. Pada jalan kenabian penghapusan kehendak tidak dituntut. jalan kenabian memperakui bahawa kehendak yang asli adalah baik. Kehendak menjadi jahat apabila diarahkan kepada bahan-bahan dan perkara-perkara jahat. Jadi, bahan dan perkara jahat yang perlu dihapuskan daripada kehendak, bukan kehendak itu sendiri secara keseluruhannya. Kehendak perlu diarahkan kepada sesuatu yang baik menurut petunjuk syariat. Syariat telah menggariskan sempadan yang baik dan yang jahat. Pengembara pada jalan kenabian dikehendaki menjaga dan mengawal kehendak agar tidak keluar daripada daerah yang baik.
Selain daripada penghapusan kehendak, orang yang memasuki jalan kesufian juga
menghapuskan sifat-sifat kemanusiaannya. Pada jalan kenabian pula syariat memisahkan sifat kemanusiaan yang baik daripada yang jahat. Orang yang memasuki jalan kenabian hanya perlu menghapuskan sifat yang jahat dan keji, tidak perlu menghapuskan sifat kemanusiaan keseluruhannya. Pada kewalian sufi didapati penafian perbuatan diri sendiri, sifat-sifat diri sendiri dan kewujudan diri sendiri. Semua perkara dan segala sesuatu diisbatkan kepada Allah s.w.t semata-mata. Hal atau suasana penafian diri merupakan ciri kefanaan. Orang yang terus kepada jalan kenabian tidak terlibat dengan penafian diri, sifat dan perbuatan, tetapi jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian dia mengalami juga hal yang demikian.
Kewalian pada jalan kesufian dinamakan wali kecil dan ia dibaluti oleh bayang-bayang yang bercampur dengan perkara-perkara yang tidak jelas dan samar-samar. Wali pada jalan kenabian, termasuklah wali yang telah melepasi jalan kesufian dan memasuki jalan kenabian, adalah lebih sempurna. Jalannya, fahamannya, pegangannya dan tindak-tanduknya lebih jelas, pasti dan nyata. Wali pada jalan kesufian gemar menggunakan istilah yang ganjil-ganjil dan tidak jelas maksudnya. Mereka suka mengadakan huraian secara berteka-teki yang sukar dimengerti maksudnya. Hujah mereka banyak bersandar kepada pengalaman kerohanian seperti zauk dan kasyaf tanpa merujuk kepada sumber yang lebih kuat iaitu al-Quran, as-Sunah ijmak ulama. Wali pada jalan kenabian pula sentiasa bersikap rasional, bersandar kepada sumber yang muktabar dan boleh diterima oleh akal yang sihat. Apabila wali sufi meningkat dan sampai kepada kewalian cara kenabian dia akan meninggalkan daerah yang kesamaran dan meragukan. Dia akan bergabung dengan wali-wali cara kenabian yang lain di dalam mengembangkan syiar agama Islam menurut ajaran al-Quran, as-Sunah dan muafakat ulama.
Bagi orang yang dipimpin, walaupun pada peringkat permulaannya dia memasuki jalan kewalian sufi namun, akhirnya dia akan sampai kepada jalan kewalian cara kenabian. Pengalamannya dalam bidang kewalian sufi membantunya membentuk keyakinan setelah dia berpindah kepada kewalian cara kenabian. Walaupun kebanyakan sufi yang terkenal memulakan perjalanan cara kewalian sufi dan kemudiannya berpindah kepada kewalian cara kenabian, tetapi kewalian cara sufi bukanlah syarat yang mesti bagi memperolehi kesempurnaan kewalian cara kenabian. Ramai orang yang terus pergi kepada kewalian cara kenabian tanpa melalui cara kesufian, terutamanya pada zaman Rasulullah s.a.w. Para sahabat yang terus memasuki cara kenabian dan menetap pada jalan tersebut tanpa memasuki cara sufi telah mencapai darjat kewalian yang paling tinggi dibandingkan dengan wali-wali pada semua zaman. Selepas Rasulullah s.a.w, para sahabat adalah contoh yang paling baik untuk diikuti. Rasulullah s.a.w telah mengasuh satu kumpulan manusia sempurna yang boleh diikuti oleh kaum Muslimin yang datang kemudian.
Umat Islam umumnya telah lama keliru di dalam memahami maksud kewalian. Kewalian dan kesufian telah diikat kemas di dalam pemikiran sehingga timbul anggapan hanya orang sufi yang boleh menjadi wali. Orang yang menetap pada Jalan syariat, beriman, beramal salih dan bertakwa, jika tidak memasuki jalan kesufian tidak akan sampai kepada makam kewalian. Orang-orang seperti Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hanbali tidak disebut sebagai wali Allah. Apakah orang-orang yang dibimbing oleh Allah s.w.t sehingga mereka mampu mengadakan mazhab yang diikuti oleh kebanyakan umat Islam, tidak termasuk ke dalam kelas wali Allah? Apakah orang yang dipimpin oleh Allah s.w.t membentuk kumpulan tarekat yang jauh lebih kecil daripada kumpulan mazhab lebih tinggi kewaliannya daripada orang yang mempelopori mazhab yang besar?
Perlu diketahui bahawa orang yang memasuki aliran kesufian melalui dua peringkat kewalian. Kewalian peringkat pertama dinamakan wali kecil, iaitu kewalian cara sufi yang padanya terdapat amalan suluk, zauk, jazbah, fana, bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan lain-lain bentuk pengalaman kerohanian. Setelah menyempurnakan kewalian cara sufi mereka diangkat kepada kewalian cara kenabian, darjat kewalian yang lebih sempurna. Di dalam daerah kewalian cara kenabian orang-orang sufi seperti Abdul Qadir Jilani, Hasan Basri, Ibrahim Adham dan ramai lagi bergabung dengan kumpulan wali yang menetap pada cara kenabian seperti Imam Syafi’e, Imam Malik dan lain-lain. Semua wali-wali pada peringkat tersebut menjadi sesuai dengan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat baginda s.a.w dan dengan syariat yang baginda s.a.w bawa. Malangnya peringkat kesesuaian orang sufi dengan syariat tidak menarik perhatian sebahagian daripada kaum Muslimin yang berminat dengan aliran tarekat kesufian. Latihan kesufian lebih dikaitkan dengan kewalian. Kewalian Imam Syafi’e dan Imam Malik yang menetap pada cara kenabian dan berlaku dengan lebih teratur tidak menarik minat mereka. Oleh yang demikian ada kaum Muslimin yang sanggup melepaskan pendapat Imam Syafi’e yang bersandarkan al-Quran dan as-Sunah, demi memegang perkataan wali sufi yang di dalam mabuk. Mereka juga lebih berpegang kepada perkataan wali sufi yang sedang mabuk daripada perkataan wali sufi yang sudah melepasi peringkat mabuk. Konsep ketuhanan yang dinyatakan oleh al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, dipegang oleh para sahabat dan kaum Muslimin umumnya tetapi ditolak oleh sebahagian kaum Muslimin yang terpengaruh dengan ucapan sufi yang latah. Mereka lebih terpengaruh dengan ucapan kumpulan sufi yang terperangkap dengan bayangan dan misal.
Kesempurnaan sufi dicapai setelah melalui dua peringkat kewalian, iaitu kewalian cara sufi dan kewalian cara kenabian. Seorang sufi perlu melalui proses menaik dan menurun. Di dalam proses menaik sufi memasuki perjalanan menuju Allah s.w.t yang kemudiannya membawanya kepada perjalanan ‘di dalam’ Allah s.w.t. Kemuncak perjalanan ini adalah ‘bersatu’ dengan Allah s.w.t, yang menjadi intisari dan matlamat perjalanan kewalian sufi. Di dalam proses menaik sufi hanya berhubung dengan Allah s.w.t, tidak berhubung dengan sesama makhluk. Sufi terpisah daripada makhluk dan dirinya sendiri. Sufi mencapai fana dan bersatu dengan Tuhan. Pengalaman yang demikian membuat sufi mempunyai satu bentuk kefahaman tentang ketuhanan.
Setelah menyempurnakan proses pertama sufi masuk kepada proses kedua, iaitu proses menurun, menuju kepada kesempurnaan kewalian dengan melalui jalan kenabian. Ketika menurun mental sufi mula berpisah daripada Tuhan. Sufi mula menyaksikan perbezaan di antara Tuhan dengan hamba. Kesedaran sufi terhadap dirinya dan makhluk kembali semula dan akhirnya dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya. Proses kedua membentuk kefahaman dan pegangan yang berbeza dengan proses pertama. Pada proses pertama sufi dikuasai oleh pengaruh wahdatul wujud. Proses kedua pula memisahkan sufi daripada kesan wahdatul wujud itu. Sufi yang telah berpisah dengan fahaman wahdatul wujud mengakui perbezaan di antara Tuhan dengan hamba dan menerima kenyataan al-Quran bahawa tidak ada sesuatu yang serupa dengan Tuhan. Dua proses yang menghasilkan dua fahaman dan pegangan yang berlainan berlaku dalam perjalanan sufi.
Orang yang terus kepada cara kenabian tidak mengalami dua peringkat berbeza yang dilalui oleh pada cara kesufian. Pada jalan kenabian tidak berlaku pemutusan hubungan sesama manusia dan penyatuan dengan Tuhan. Tidak ada kefanaan dan kelenyapan diri. Tidak ada zauk, jazbah, mabuk dan tidak berlaku ucapan latah. Pada jalan kenabian akal fikiran sentiasa dalam keadaan sedar. Bila tidak ada peringkat berpisah dengan makhluk tidak ada juga peringkat kembali kepada diri dan makhluk. Bila tidak ada proses bersatu dengan Tuhan tidak ada pula proses berpisah dengan Tuhan. Pengembara pada jalan kenabian tidak dikuasai oleh keasyikan kepada Tuhan yang menyebabkan hilang pandangan terhadap diri sendiri dan makhluk. Mereka juga tidak dikuasai oleh keghairahan terhadap makhluk sehingga melupakan Tuhan. Wali cara kenabian sentiasa berhubung dengan Tuhan walaupun mereka sibuk melayani makhluk Tuhan. Hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan makhluk berjalan serentak tanpa gangguan. Tidak berlaku percanggahan di antara perhatian kepada Tuhan dengan perhatian kepada makhluk. Bagi wali yang berada pada jalan kenabian, berkhidmat kepada makhluk Tuhan sebenarnya adalah berkhidmat kepada Tuhan, berdasarkan ingatan dan perhatian kepada Tuhan kerana Tuhan yang memerintahkan berbuat demikian. Dalam menguruskan soal makhluk wali Allah sebenarnya melaksanakan kehendak Allah s.w.t, bertindak sebagai khalifah atau wakil-Nya. Walaupun sibuk melayani orang ramai perhatiannya tetap tertuju kepada Allah s.w.t dan mereka mengajak orang ramai kepada Allah s.w.t, taat kepada-Nya dan menghampiri-Nya. Wali pada jalan kenabian melakukan pekerjaan yang mulia ditengah-tengah masyarakat. Allah s.w.t reda dengan amalan mereka dan mereka senang berbuat demikian. Wali yang di dalam daerah kenabian inilah yang menyambung pekerjaan Nabi Muhammad s.a.w di dalam membimbing dan membawa umat manusia kepada Allah s.w.t.
Nabi Muhammad s.a.w bertugas menyampaikan syariat kepada umat manusia. Wali-wali pada jalan kenabian dan wali sufi yang kembali kepada jalan kenabian meneruskan pekerjaan tersebut. Wali yang tidak keluar dari daerah kesufiannya tidak memperdulikan urusan disekelilingnya, tidak memperdulikan sekalipun berlaku kiamat. Wali-wali yang menetap pada daerah kesufian adalah mereka yang tidak diberi tugas. Wali-wali sufi yang dipilih dan diberi tugas akan dibawa kepada daerah kewalian cara kenabian dan mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan Allah s.w.t kepada mereka. Tugas utama adalah menyampaikan syariat. Orang ramai dituntut mentaati Nabi Muhammad s.a.w di dalam menjalankan peraturan syariat, bukan mengikuti cara atau amalan wali sufi. Di akhirat kelak yang dihisab adalah yang berkaitan dengan syariat. Latihan kerohanian dan tasauf juga dihisab berdasarkan peraturan syariat. Ketaatan kepada syariat membawa seseorang kepada syurga dan perlanggaran kepada syariat membawa ke neraka. Nabi Muhammad s.a.w dan wali-wali yang mengikuti baginda s.a.w menyampaikan dan mengamalkan syariat dan mereka bersedia untuk berkorban demi mengembang dan mempertahankan syariat.
Kumpulan manusia yang paling mulia adalah Nabi-nabi. Tujuan diutus Nabi-nabi adalah untuk menyebarkan syariat. Pekerjaan menyebarkan syariat adalah pekerjaan yang paling mulia boleh dilakukan oleh seseorang manusia di atas muka bumi. Tidak ada pekerjaan yang lebih mulia daripadanya. Wali-wali yang menjadi pewaris Nabi meneruskan pekerjaan tersebut. Hanya wali-wali yang telah kembali kepada jalan kenabian yang boleh melakukan pekerjaan tersebut dengan baik dan tepat. Memimpin umat manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t adalah lebih baik daripada melakukan ibadat sendirian tanpa bercampur gaul dengan orang ramai. Ketika masyarakat dilanda oleh kerosakan akidah dan kerosakan akhlak, tuntutan menghidupkan syariat lebih besar lagi. Usaha menghidupkan satu peraturan syariat lebih bermakna daripada latihan kerohanian yang hanya memberi faedah kepada diri sendiri sahaja. Oleh kerana tujuan Allah s.w.t memberi bimbingan kepada wali-wali untuk membimbing umat manusia, maka wali cara sufi yang menerima petunjuk akan kembali kepada cara kenabian serta melaksanakan tugas membimbing umat manusia kepada jalan yang lurus. Ketaatan kepada syariat memelihara seseorang agar teguh di atas jalan yang lurus.
Kemuncak kesempurnaan iman, ilmu, amal, takwa, pengalaman dan pencapaian, terdapat pada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w menjadi contoh tauladan yang paling baik dan paling tinggi untuk diikuti dan baginda s.a.w juga mestilah dijadikan model di dalam menentukan kedudukan seseorang wali. Ketinggian darjat seseorang wali ditentukan dengan setakat mana wali itu menghampiri kualiti-kualiti yang ada pada Nabi Muhammad. Ada wali yang melibatkan diri semata-mata dalam urusan hubungan dengan Tuhan. Wali yang fana dalam Tuhan ini melakukan tuntutan agama yang paling minima, seperti bersembahyang, tetapi sangat kurang penglibatannya dalam kebaktian kepada sesama manusia. Ada pula wali yang di samping bersungguh-sungguh di dalam urusan perhubungan dengan Allah s.w.t, mereka juga bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan kewajipan sesama manusia. Wali jenis kedua menjalani kehidupan yang lebih sesuai dengan kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan mereka merupakan wali yang lebih baik, lebih tinggi dan lebih sempurna. Wali yang bermukim di dalam daerah kewalian sufi, menjadi majzub atau fana dalam Allah s.w.t secara terus menerus, perjalanannya tidak lengkap. Wali yang demikian hanya berjalan separuh jalan sahaja. Mereka berhenti sebelum menemui Yang Hakiki. Wali tersebut melengkapkan perjalanan kepada Tuhan dan dalam Tuhan sehingga mencapai peringkat bersatu dengan Tuhan. Suasana bersatu dengan Tuhan menimbulkan mabuk yang melahirkan tingkah-laku dan tutur-kata yang ganjil-ganjil. Kemabukan menyebabkan wali tersebut terputus daripada peraturan dan sopan santun kemanusiaan. Dalam keadaan demikian juga peraturan syariat tidak dihormati. Wali jenis ini tidak dibolehkan menjadi pembimbing manusia lain kerana sifat-sifat kemanusiaannya sudah lenyap. Wali yang layak membimbing manusia lain adalah yang mara terus melepasi peringkat bersatu dengan Tuhan, bergerak jauh dari Tuhan dengan Tuhan, menyaksikan perbezaan di antara hamba dengan Tuhan, menyaksikan wujud hamba yang berpisah dengan Wujud Tuhan, keluar dari suasana mabuk dan kembali kepada keinsanan untuk menceburkan diri dalam kegiatan masyarakat. Wali jenis ini merupakan wali yang melepasi kewalian sufi dan masuk kepada kewalian cara kenabian. Merekalah yang menjadi khalifah Allah di bumi, memikul satu-satu bidang tugas khusus untuk kemanfaatan manusia umum. Inilah kumpulan wali yang menyambung perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w. Kumpulan ini memikul tugas berdakwah membimbing orang ramai kepada jalan Tuhan. Orang-orang yang kembali kepada jalan Tuhan dipersucikan zahir dan batin agar menjadi hamba Tuhan yang sebenar-benarnya. Hamba yang dipersucikan, berjalan pada jalan Tuhan, bekerja menegakkan syariat Allah s.w.t di atas muka bumi. Pekerjaan wali-wali yang sampai kepada cara kenabian merupakan pekerjaan yang paling mulia kerana mereka melakukan pekerjaan Nabi-nabi. Mereka mendapat kedudukan yang paling mulia, sebagai sahabat Allah s.w.t dan Rasul-Nya yang akrab.
Perilaku Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w hendaklah dijadikan neraca dalam menentukan sesuatu perkara agar penilaiannya benar dan tepat. Dalam menilaikan kedudukan seseorang wali, neraca yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w hendaklah digunakan Sikap menjadikan kekeramatan sebagai pengukur kewalian adalah sikap yang tidak benar. Kekeramatan bukanlah petanda ketinggian darjat seseorang wali, malah kekeramatan bukanlah syarat kewalian. Biasa terjadi wali yang lebih rendah kedudukannya mengeluarkan kekeramatan yang lebih banyak daripada wali yang lebih tinggi kedudukannya. Wali yang paling tinggi yang muncul pada zaman di belakang ini tidak dapat menyamai kedudukan kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w yang paling rendah. Para sahabat yang berkedudukan sebagai wali peringkat tertinggi pada semua zaman jarang atau tidak ada yang mengeluarkan kekeramatan, tetapi wali yang datang kemudian banyak mengeluarkan kekeramatan. Perlu diambil perhatian bahawa orang kafir, ahli maksiat dan ahli silap mata juga biasa mengeluarkan perkara yang luar biasa seperti yang terjadi di kalangan wali-wali. Perkara luar biasa yang dikeluarkan oleh orang kafir, ahli maksiat dan ahli silap mata, tidak ada kaitan dengan kedudukan iman.
Konsep kewalian telah lama mengelirukan umat Islam. Pengagungan kewalian cara sufi dan pengabaian kewalian cara kenabian telah lama menguasai pemikiran mereka. Fahaman wahdatul wujud, isu bersatu dengan Tuhan, pengguguran taraf kehambaan dan tidak mengambil berat kepada peraturan syariat telah dikaitkan kewalian. Kekeliruan ini sudah sangat jauh mengheret umat Islam. Ia mesti diperbetulkan dengan cara menyebarkan konsep kewalian yang sebenar, yang bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Perlu difahamkan bahawa wahdatul wujud adalah kesan sampingan yang bersifat sementara yang dialami oleh wali sufi yang masih di dalam perjalanan. Jika dia menetap pada kewalian sufi kesan tersebut akan berpanjangan. Jika dia masuk kepada kewalian yang lebih sempurna, iaitu kewalian cara kenabian, kesan itu akan hilang. Dia akan kembali kepada syariat dengan penuh keyakinan. Wali yang sampai kepada cara kenabian adalah lebih benar dan lebih tinggi kedudukannya. Wali cara kenabian bersungguh-sungguh dalam kehambaan, mematuhi peraturan syariat dengan sepenuh jiwa raga mereka. Mereka kuat melakukan ibadat, bertakwa dan beramal salih.
Oleh kerana Islam mencakupi segala bidang maka Allah s.w.t mendatangkan wali-Nya dalam segala bidang juga. Dalam Islam ada fardu ain dan fardu kifayah. Jika tidak ada seorang pun orang Islam yang menunaikan fardu kifayah dalam sesuatu perkara maka kesemua orang Islam menanggung kesalahannya. Begitu juga jika tidak ada seorang pun wali yang melibatkan diri dalam fardu kifayah maka kesemua wali menanggung kesalahannya. Tuhan tidak berkehendak yang demikian berlaku kepada wali-wali-Nya. Oleh itu Tuhan mendatangkan wali dalam segala bidang. Ada wali yang dikhususkan dalam bidang pentadbiran negara, sebagaimana Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s mewakili kenabian dalam bidang tersebut. Ada wali yang dikhususkan dalam bidang pengurusan pertanian sebagaimana Nabi Yusuf a.s mewakili kenabian dalam bidang tersebut. Begitu juga dalam bidang-bidang yang lain yang memberi manfaat kepada umat manusia dan makhluk Allah s.w.t. Nabi Isa a.s mengambil bahagian dalam bidang perubatan, Nabi Nuh a.s dalam bidang pertukangan, Nabi Musa a.s dalam bidang penternakan dan Nabi-nabi yang lain juga ada bidang kegiatan masing-masing. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Nabi yang paling aktif di dalam kegiatan kehidupan harian. Baginda s.a.w pernah memasuki bidang penternakan dan perniagaan. Baginda s.a.w adalah juga pemerintah angkatan perang dan pemimpin agung negara. Baginda s.a.w adalah seorang mufti dan hakim. Ilmu baginda meliputi segala bidang ilmu yang diketahui oleh manusia. Baginda s.a.w mengajarkan ilmu alam, astronomi, kaji hayat, kedoktoran, sains, sejarah, siasah dan lain-lain. Tidak akan ada lagi seorang manusia yang mampu menguasai semua bidang dan semua ilmu seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Manusia lain hanya dikhususkan dalam satu atau beberapa bidang sahaja. Golongan khusus itu adalah wali-wali yang dibekalkan dengan pengetahuan dalam bidang berkenaan. Baik Nabi mahu pun wali yang menceburi sesuatu bidang pengkhususan tersebut, mereka melaksanakan tugas mereka selaras dengan peraturan Allah s.w.t. Kegiatan harian tidak menyebabkan urusan ibadat mereka tertinggal. Inilah perbezaan besar di antara wali yang menceburi bidang kehidupan harian dengan orang lain yang berada dalam bidang yang sama. Seorang wali yang menceburi bidang ekonomi mampu menegakkan sistem perekonomian Islam di tengah-tengah berbagai-bagai sistem ekonomi dunia.
Para ilmuan Islam haruslah menyedarkan umat Islam mengenai kewalian. Tokoh-tokoh ilmu yang menghiasai lembaran sejarah Islam haruslah dikaji dengan mendalam apakah tidak mungkin mereka adalah wali-wali yang dikhususkan dalam bidang berkenaan. Orang-orang yang lebih jelas kewalian dan kekhalifahan mereka seperti Imam Syafi'’e, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Hanbali dan lain-lain, hendaklah ditonjolkan sebagai wali sebagaimana layaknya, supaya kewalian mereka boleh dicontohi dan tidaklah orang ramai beranggapan hanya orang sufi sahaja yang menjadi wali.
------------------------------------------------------------------
Perkara ini sering menjadi polemik di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan anak muda mujahid mujahidah yang ingin menelusuri jalan hakikat dan makrifat kesufian dalam usaha untuk sampai kepada Tuhan. Selamilah ia, pandangilah dengan mata hati. Tidak kurang sekali yang tersilap langkah kerna terlalu berlebihan dan terlalu berkurangan dalam memahami sesuatu. Ingatlah, sekali kita di jalan Allah, ujian akan terus datang bertimpa-timpa. Ujian yang dari rahmat-Nya, juga ujian dan musibah dikernakan dari kebodohan diri kita sendiri. Walau apa pun, teruskan langkah perjalanan ini. Galilah hikmah dan pedoman melalui hari-hari mendatang ditemani kerendahan hati pada Allah dan makhluk-Nya.
1 Comments
ana pun sedang meneliti perkara yang sama kakak..syukran atas perkongsian..oleh perkongsian ini..
ReplyDelete