MEREKA PERGI KERANA TELAH MENEPATI JANJI MEREKA...
"Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada yang menunggu-nunggu. Dan mereka tidak merubah janji mereka.."
(Al-Ahzaab:23)
Aku memulakan post ini dengan ayat cinta Ilahi yang sungguh bermakna pada diriku ini. Subhaanallah... gerimis hatiku lalu air mata tumpah membaca post yang diambil dari blog seorang sahabat seperjuangan. Walau tidak mengenali dua orang mujahid ini namun terasa pilu menjalar nubari. Itulah dia bahana ukhuwwah fillah. Asasnya syahadah yang satu. Dan diperkukuhkan dengan bai'ah fisabiilillah.
Kadangkala di sela-sela umur dewasa ini, kami ada duduk-duduk berbincang tentang 'jodoh'. Antaranya adalah tentang fenomena tidak berkahwin. Sama ada lelaki atau perempuan. Dan kami menyoroti lebih dalam. Bahawa jodoh itu telah ditetapkan sejak dahulu di Loh Mahfuz. Itu pilihan Allah. Lalu bagaimana jika tidak berkahwin? Itulah suratan Ilahi namanya. Dia mentakdirkan begitu kerana Dia mahu begitu. Dia mahu kita bahagia di syurga dengan sedikit mahar di dunia. Subhaanallah.... bukan tidak sering kita su'u dzhoonn dan berprasangka buruk pada mereka-mereka yang tidak berkahwin... dan su'u dzhonn pada Allah... Astaghfirullah...
Lalu, inilah contohnya. Mujahid-mujahid dan mujahidah-mujahidah yang gugur terlebih dahulu, atau kanak-kanak yang telah meninggal dunia lebih awal, juga semuanya ada jodoh untuk mereka. Bukan tidak ada. Di samping bidadari syurga yang menyambut hangat di Syurga...Subhaanallah... Maka Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan...?? Memang dunia ini hanya fana sementara sahaja sahabat... Sungguh tak terbandingkan dengan eternity dan nikmatnya syurga.. Allahu akbar...
Ikhwahku, semoga bahagia di sana. Antum telah menunaikan janjimu pada Ilahi... Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun.... Kita pula bagaimana?? Semoga kita golongan yang yantazir (menunggu-nunggu) itu dan ma baddalu tabdiila.. (tidak mengubah janji ini...) Insya Allah.. Saya teringat lagi kepada taujiihat pimpinan dahulu semasa di Nilam Puri...
"Para pejuang ini tidak akan pernah berhenti berjuang di jalan Allah. Hanya ada dua cara sahaja Allah memberikan kerehatan, iaitu dengan cara Allah memberikan sakit yang sementara, atau meninggal dunia... Kerana sahabat, kita telah berjual beli dengan Allah.. barang tukarannya adalah hadiah paling agung.. iaitu SYURGA!!"
Subhaanallah...Alhamdulillah pada DIA yang telah memilih aku, dia dan kamu dalam Bahtera Perjuangan ini. Semoga kita istiqamah ke titisan darah terakhir.... Allahu Yubaarik Lana.....
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
ARWAH UST FADHIRI
Tanah Merah, 13 Jan- Pro Kebajikan UPSI hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya, Mohd Fadhiri bin Mohd Ariffin dan Mohd Faizol bin Abdul Sukor.
Menurut saksi , kedua-dua mangsa maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal Kriss dan sebuah lori penghantar barangan ekspress di simpang empat berdekatan kuil. Mangsa Mohd Faizol meninggal ditempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di kepala manakala Mohd Fadhiri meninggal jam 10.30 pagi hari kejadian di Hospital Teluk Intan selepas mengalami kecederaan dalaman.
Wakil Pro Kebajikan ke rumah mangsa di Tanah Merah dan Pasir Mas , Akmal Bin Madzir merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap ahli keluarganya tabah dalam menghadapi ujian Allah.
“Saya mewakili Pro Kebajikan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa. Alhamdulillah, pengkebumian kedua-dua mangsa berjalan dengan lancar pada jam 11 dan 2.30 pagi tadi . Kami senantiasa berdoa, semoga Allah memberikan kesabaran kepada keluarga mereka. "
“Di kesempatan ini saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada semua pihak terutama pihak HEP UPSI yang membantu urusan sahabat kami yang dikebumikan di Tanah Merah dan Pasir Mas, Kelantan,”katanya.
Beliau yang juga saksi utama ditempat kejadian turut menyatakan rasa penghargaan kepada kedua-dua mangsa yang banyak memberikan sumbangan terhadap masyarakat kampus.
“Allah telah memberikan kerehatan kepada sahabat saya, saudara Fadhiri dan faizol.semoga sahabat berdua boleh berehat dengan tenang. sahabat telah menunaikan janji-janji yang sahabat nyatakan depan Allah dan insyaAllah, saya dan sahabat-sahabat yang lain akan menuruti juga kalian berdua,” tambahnya lagi.
Kelmarin, dua pelajar UPSI terlibat dalam kemalangan maut dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan kampung halaman masing-masing. Arwah Fadhiri selamat dikebumikan pada jam 2.30 pagi di Tanah Perkuburan Tanah Merah manakala arwah Faizol selamat dikebumikan pada jam 11.00 malam di Pasir Mas.
KRONOLOGI KEMALANGAN
4.30 pagi – Arwah Faizol bersama 5 orang rakan ke KTM Tanjong Malim untuk menjemput rakan-rakan yang lain. Namun, arwah Faizol tiba agak lewat berbanding rakan-rakan yang lain dengan menaiki motosikal Kriss milik rakan sebilik di KUO.
5.00 pagi – Kemalangan melibatkan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa. Motosikal mangsa bertembung dengan lori kiriman barangan ekspress yang datang dari arah Rawang untuk ke Pulau Pinang.
5.15 pagi – Ambulans dari Klinik Kesihatan Tanjong Malim tiba. Arwah Faizol disahkan meninggal dunia ditempat kejadian manakala arwah Fadhiri dibawa menaiki ambulans untuk ke klinik kesihatan Tanjong Malim.
5.20 pagi – Polis tiba untuk mengawal lalu lintas. Orang ramai telah mulai mengerumuni tempat kejadian.
5.45 pagi – Arwah Fadhiri dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Ahli keluarga kedua-dua mangsa dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku. Arwah masih dalam keadaan sedar dan hanya mampu menyebut, “Allah…Allah…Allah…”
6.15 pagi – Pegawai Penyiasat Polis Trafik IPD Slim River tiba di tempat kejadian untuk membuat siasatan.
6.30 pagi – Mayat arwah Faizol di bawa menaiki Land Rover PDRM ke Hospital Slim River untuk dibuat bedah siasat.
7.00 pagi – Pegawai Perubatan memaklumkan arwah Fadhiri perlu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah segera kerana mengalami kecederaan dalaman yang serius.
7.15 pagi – Pegawai HEP dan Felo Kolej Ungku Omar (KUO) tiba di Hospital Slim River.
7.30 pagi – Arwah Fadhiri dibawa ke Hospital Teluk Intan.
9.00 pagi – Arwah Fadhiri sudah tidak sedarkan diri. Arwah sudah mula berhenti bernafas dan otaknya sudah tidak berfungsi dan hanya jantung sahaja yang masih berfungsi. Pegawai Perubatan hospital berusaha keras untuk menyelamatkannya.
10.30 pagi – Pegawai Perubatan memaklumkan kepada rakan-rakan yang hadir bahawa arwah sudah meninggal dunia. Di Hospital Slim, arwah Faizol menerima kunjungan dari segenap lapisan masyarakat. Ahli keluarga arwah Faizol tiba untuk pengesahan mayat. Persediaan untuk memandi dan mengkafankan arwah Faizol dilakukan.
11.00 pagi – Abang sulung arwah Fadhiri, saudara Khairul yang datang dari Kuala Lipis tiba di Hospital Teluk Intan dan dimaklumkan mengenai kematian arwah. Keluarganya yang lain masih berada di Grik.
1.30 petang – Ayah dan ibu arwah Fadhiri tiba di bilik mayat. Persediaan untuk memandi dan mengkafankan jenazah dilakukan. Di Surau Al-Falah, arwah Faizol tiba untuk disolatkan.
2.30 petang – Arwah Faizol di bawa menaiki van jenazah Hospital Slim untuk dibawa ke Pasir Mas, Kelantan.
3.30 petang – Arwah Fadhiri disolatkan di surau Hospital Teluk Intan.
4.00 petang – Arwah Fadhiri dibawa menaiki van jenazah UPSI untuk dibawa ke Tanah Merah, Kelantan.
8.30 malam – Jenazah arwah Faizol tiba di kediamannya.
10.30 malam – Jenazah Fadhiri tiba di kediamannya manakala Jenazah Faizol telah selamat dikebumikan. Keluarga arwah Fadhiri masih menunggu seorang lagi abangnya yang dalam perjalanan dari Sarawak.
1.00 pagi – Arwah Fadhiri disolatkan. Hadirin yang datang untuk bersolat melimpahi hingga ke luar rumah.
1.30 pagi – Jenazah Fadhiri selamat dikebumikan.
Al-Fatihah…Nik Mohd Kamal Nik Hanafi
Posted by Muhammad Redhuwan Zakaria
From MEMAHASISWAKAN PERJUANGAN
Coretan menyayat hati Kak Long Akhi Fadhiri [klik di sini]
0 Comments