Wednesday, July 23, 2014

BAGAIMANA MENGAJAR ANAK TIDUR ASING








Assalamualaikum. Kali ini nak kongsi tips ringkas namun amat penting. Tips tentang bagaimana mengajar anak untuk tidur asing.

Kini hari demi hari terus berganjak. Anak kecil di ribaan dan dakapan sudah semakin bertambah umurnya. Kefahaman si kecil juga sudah makin meningkat. Alhamdulillah. Tiba masa untuk mengajar anak tidur berasingan dari ibu dan bapa. Proses ini suatu proses yang agak mencabar dan perlu dilakukan berdikit-dikit.

Kebaikan mengajar anak tidur asing
1. Latih kendiri anak dan jati diri mereka
2. Ibu bapa mempunyai ruang waktu eksklusif bersama.
3. Anak lebih berdikari dan kurang manja.
4. Lebih bijak dan matang kerana diasuh untuk lebih menghormati orang tua.
5. Sunnah nabi memisahkan tempat tidur anak tatkala anak sudah berpisah susu dengan ibu(2 tahun ke atas)
6. Labih berani.
7. Lebih cerdik kerana banyak melakukan sesuatu dengan sendiri
8. Anak menjadi lebih bertanggungjawab.

Cara mengajar anak tidur asing
1. Babitkan anak dalam memilih langsir dan cadar kesukaannya.
2. Sama-sama menghias bilik. i.e : mengecat, menampal, melukis.
3. Memberi kata-kata perangasang - i.e : "Adik anak yang baik dan berani. Anak yang baik dan berani dah kena tidur sendiri."
4. Menemani dan berbual-bual sebelum anak tidur.
5. Menyanyi atau membacakan buku cerita untuk anak sehingga mereka merasa tenang dan selesa.
6. Ambil masa (+/- 15 minit) untuk menemani anak di biliknya.
7. Menyediakan permainan dan kelengkapan kesukaannya, supaya dia lebih suka berada di dalam biliknya.
8. Bayi mesti mempunyai katil atau tempat tidur sendiri walaupun berada di bilik yang sama dengan ibu bapa.
9. Berikan pelukan dan ciuman sambil mengucapkan kasih sayang dan selamat malam
10. Ajarkan anak doa tidur.i.e : doa tidur dan ayat kursi.
11. Jangan memaksa secara berlebih-lebihan atau menakut-nakutkan mereka, cuma berikan lebih galakan secara positif.

Semoga berjaya ya ibu bapa sekalian :)

p/s: Sangat comel kan lihat anak-anak tidur. Tenang dan damai je

Salam Sayang, Syahadah <3 p="">

Monday, July 21, 2014

Seorang dia.. Yang istimewa..



19 Jun tidak akan kulupakan..
Dia bersamaku sedari awal..
Mengelap keringatku dan memegang jemariku..
Saat aku berjihad melahirkan seorang umat Nabi Muhammad..
Pewaris perjuangan Nabi..
Dan pewaris perjuangan kami..
Nur Insyirah Solehah nama diberi..
Hasil gabungan darinya (Insyirah) dan diriku (Solehah)..

19 Julai tidak akan kulupakan..
Hari lahirmu yang istimewa..
Tahun kedua kami menyambutnya bersama..
Seorang suami..
Yang umpama teman dan kekasih..
Bahkan kadangkala seperti abang, adik, ayah, anak.. Seorang sahabat sejati..
Di dunia..
Yang selalu menyokongku, membantuku, memahamiku, bersabar denganku..
Dia yang muncul dalam mimpi istikharahku..
Saat aku tidak kenal siapa dirinya..
Membuat aku kuat menantinya..
Dan semoga di Jannah sana..
Hanya dia..
Satu-satunya..

Aamiin..
Baitul Jannah
Gombak
Ramadhan.

Wednesday, July 16, 2014

CIRIT BIRIT & BAYI



Bagaimana nak tahu sama ada bayi saya mendapat cirit-birit? 
Ramai ibu bapa tertanya-tanya sama ada bayi mereka menghidap cirit-birit kerana bagi bayi baru lahir, pembuangan air besar berlaku secara kerap. Pembuangan air besar yang normal bagi bayi banyak bergantung kepada sama ada bayi anda diberikan susu badan atau formula.Najis bayi menyusu badan yang baru lahir adalah kekuningan, dan agak lembik atau cair dan boleh berlaku sekerap lima kali sehari.  Kadang-kala, bayi yang menyusu badan akan membuang air besar semasa atau sebaik selesai menghisap susu ibu. Ini berlaku kerana apabila perutnya diisi penuh, susu itu boleh merangsang keseluruhan saluran usus bayi, menyebabkan pembuangan najis. Dalam masa sebulan, kebanyakan bayi yang menyusu badan akan membuang najis satu atau dua kali sehari sahaja. Pembuangan najis bagi bayi yang mengambil susu formula ialah sekali sehari dan najisnya biasanya agak kental dan berbau busuk.  Najis cair yang berlaku dari semasa ke semasa adalah normal. Namun, bayi anda mungkin mengalami cirit-birit jika: Selepas usianya mencecah sebulan, dia mengeluarkan najis yang busuk, cair dan berlendir (seorang doktor mengandaikannya seperti menghembuskan hingus ke dalam lampin bayi) pada kadar yang kerap iaitu membuang najis setiap kali menyusu.  Dia juga demam atau berat badannya menurun. Bawalah bayi anda berjumpa pakar kanak-kanak atau doktor keluarga jika ini berlaku. Apa yang menyebabkan cirit-birit? Punca utama cirit-birit ialah virus yang bergelar rotavirus. Hampir kesemua kanak-kanak akan dijangkiti virus ini pada suatu masa sebelum usia lima tahun. Rotavirus menyebabkan gastroenteritis, satu infeksi usus. Infeksi ini menjejaskan lapisan dalaman usus. Lapisan yang terjejas itu mengeluarkan cecair dan membiarkan makanan lalu terus tanpa menyerap sebarang nutrien. Cirit-birit juga boleh disebabkan oleh: alergi (baca lebih lanjut mengenai alergi dan alahan terhadap susu dan alergi terhadap makanan);susu formula tidak disediakan dengan sempurna;selesema; antibiotik; keracunan makanan;kekurangan enzim tertentu, walaupun ini sangat jarang.  

Bagaimanakah saya merawat cirit-birit bayi saya? 
Pastikan bayi anda minum banyak cecair untuk melegakan simptom-simptomnya dan mengelakkan daripadaternyahhidrat. Jika bayi anda mengambil susu badan atau formulanya dengan sempurna, teruskan amalan itu. Anda boleh cuba memberinya beberapa hirup air garam rehidrasi (oral rehydration salt solution atau ORS) beberapa kali dalam sejam.  ORS membantu mengembalikan cecair dan garam yang hilang daripada badan akibat cirit-birit. Teruskan memberinya air dan susu badan atau susu formula seperti biasa. Jangan berikan dia jus buah, air glukos atau minuman berkarbonat (gula yang tidak terserap akan menarik air ke dalam usus kecil dan menyebabkan cirit-birit semakin teruk). Jangan berikan ubat anti-cirit-birit kepada bayi anda. Ia boleh mendatangkan kesan sampingan yang serius jika diberi kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Untuk mengelakkan bayi anda menjangkitkan cirit-birit kepada kanak-kanak lain, jangan bawa dia ke pusat jagaan atau taska sehingga sekurang-kurangnya 48 jam selepas episod cirit-biritnya yang terakhir. Dan jangan bawa diaberenang untuk dua minggu seterusnya.

Adakan bayi yang menyusu badan lebih terselamat dari cirit-birit? 
Ya. Elemen tertentu dalam susu badan boleh mencegah pembiakan mikro-organisme yang menyebabkan cirit-birit. 

Haruskah saya hentikan makanan pepejal? 
Tidak. Selagi bayi anda tidak muntah-muntah dengan kerap, anda masih boleh memberikannya makanan pejal. Jika anak anda berusia enam bulan atau lebih tua, anda boleh memberinya makanan seperti pisang, nasi, puri epal dan roti bakar kering. Untuk bayi lebih tua atau bayi bertatih anda boleh mencuba sedikit daging ayam dan makanan berkanji seperti kentang lecek dan pasta. Tapi, jangan bimbang jika dia tak mahu makan. Adalah lebih penting bagi dia minum untuk mengelakkan nyahhidrat.

Bilakah saya harus menghubungi doktor?
Cirit-birit boleh membimbangkan jika ianya tidak berhenti selepas beberapa jam, tetapi selalunya ia boleh berhenti dengan sendiri. Jika anak anda membuang najis yang cair selama lebih daripada dua hari, jumpalah doktor. Kebimbangan yang utama berhubung cirit-birit ialah penyahhidratan, jadi janganlah bertangguh membawanya kepada doktor atau pakar kanak-kanak jika anak anda menunjukkan tanda-tanda seperti berikut:  kulit atau bibir kering;lemah lesu;menangis tanpa air mata;ubun-ubun yang mengecut;tangan dan kaki pucat;air kencing kuning pekat;kurang kencing berbanding biasa. Anda juga perlu mendapatkan nasihat doktor jika anak menunjukkan simptom-simptom sekunder, yang agak jarang tetapi perlu diberi perhatian:  cirit-birit dan muntah lebih daripada 24 jam; demam lebih daripada 24 jam;enggan minum apa-apa; terdapat darah dalam najisnya;perutnya membuncit.

Bagaimanakah saya dapat melegakan ketidakselesaan bayi saya?
Jika bayi anda kurang selesa semasa sakit cirit-birit, peluklah dia dan tenangkan hatinya seberapa boleh, dan pastikan badannya kering. Berikan perhatian dan berlembutlah apabila menukar lampin kerana mudah untuk punggung bayi menjadipedih akibat cirit-birit. Gunakan krim penghalang untuk mencegah ketidakselesaan jika cirit-birit berlarutan lebih dari sehari. Yakinlah bahawa bayi anda akan sembuh dalam sedikit masa.  Bagaimanakah saya dapat mengelakkan bayi saya mendapat cirit-birit lagi? Amalan kebersihan yang baik dapat mengurangkan kemungkinan berlakunya cirit-birit kerana bakteria penyebab cirit-birit mudah dipindahkan daripada tangan ke mulut. Oleh itu, cucilah tangan anda bersih-bersih selepas menggunakan tandas atau selepas menukar lampin bayi.


Sumber: babycenter.com.my

RAMADAN & PENYUSUAN IBU



Tatkala Ramadhan menjelang tiba, sudah pasti setiap ibu yang menyusukan anak melahirkan kebimbangan di hati. Bukan tidak mampu untuk menunaikan ibadah yang tercatit dalam Rukun Islam tetapi kegusaran mengenangkan bagaimana untuk menyusukan bayi sedangkan diri terikat dengan ibadah puasa. Yang dikhuatirkan ialah pengeluaran susu ibu semakin berkurang dan ibu tidak dapat menyesuaikan diri dalam keadaan berpuasa. Itulah stigma yang seringkali kita dengar bahkan seringkali disogokkan oleh kebanyakan orang.

Dalam Islam, setiap ibu yang menyusukan ataupun hamil dibolehkan berbuka puasa sebagai satu bentuk keringanan yang ditawarkan. Tetapi perlu ada sebab mengapa diberikan pilihan untuk berbuka kerana ia mempengaruhi cara penggantian hari berpuasa yang ditinggalkan. Sebab itulah, setiap wanita yang menyusukan bayi ataupun hamil perlu memahami perkara- perkara yang bersangkutan dengan pengurusan berpuasa iaitu bila keharusan untuk berbuka dan kesannya dari segi qadha' dan fidyah.

Namun, dengan kajian- kajian yang dilakukan oleh ramai penyelidik, berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan terhadap ibu- ibu yang menyusukan anak. Dengan itu, kaum ibu tidak perlu risau akan kekurangan penghasilan susu dan kesannya terhadap bayi selagi mana mereka istiqamah dalam mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat semasa di bulan Ramadhan. Kebimbangan dan kekhuatiran tidak seharusnya timbul apatah lagi berpuasa sebenarnya lebih banyak memberi kemanfaatan kepada semua berbanding kemudaratan. Kemudaratan hanya berlaku dalam kes- kes terpencil yang diharuskan dalam agama untuk berbuka puasa.

Pelbagai persoalan yang timbul di fikiran ibu- ibu yang menyusukan bayi berkenaan dengan puasa. Namun, ia mungkin akan terjawab jika kita sendiri faham akan erti pengurusan puasa dan juga tahu akan natijahnya dari sudut perspektif sains. Kadangkala bukan ibu yang menyusukan bayi bimbang akan kesihatan tetapi masyarakat sekeliling ataupun keluarga terdekat yang mempengaruhi minda dan pemikiran ibu- ibu bahawa berpuasa boleh membahayakan bayi yang disusui. Lantas, sebab itulah perlunya pemahaman yang mendalam tentang puasa dan peri pentingnya penyusuan susu ibu agar pilihan untuk berbuka puasa itu dapat diminimumkan. Ia merupakan satu langkah yang proaktif supaya tidak timbul masalah yang mendatang dan kesihatan ibu dan anak juga akan diberkati Allah natijah daripada manfaat puasa itu sendiri.

Banyak kajian menyatakan bahawa berpuasa tidak akan mengurangkan pengeluaran susu ibu tetapi berlakunya dehidrasi yang teruk kepada si ibu akan menyebabkan bekalan susu ibu akan berkurangan. Jika kita lihat, berpuasa hanya melibatkan penahanan diri daripada makan dan minum hanya memakan tempoh yang sekejap. Jadi tidak timbul masalah dehidrasi jika kita mengamalkan cara pemakanan yang telah dianjurkan dan minum air dalam kuantiti yang cukup. Ada sesetengah individu yang kekurangan air di dalam badan adalah disebabkan kurangnya pengambilan air yang mencukupi sewaktu berbuka puasa dan kesannya adalah kepada badan untuk keesokan hari. Badan yang kekurangan air akan menyebabkan keletihan yang berpanjangan, sebab itulah disarankan agar mendapat bekalan air yang mencukupi untuk badan segar dan bertenaga terutamanya bagi ibu- ibu yang menyusukan bayi.

Ada juga sesetengah pendapat mengatakan bahawa, jika ibu- ibu berpuasa, akan meningkatkan penghasilan toksin di dalam badan dan akhirnya juga terdapat dalam susu ibu yang akan memberi kesan terhadap bayi. Namun, perlu kita ingat, bayi juga memiliki sistem imun yang dapat menahan diri mereka daripada serangan penyakit. Tanggapan sebegini perlu kita ambil iktibar dan diterjermahkan dalam ertikata puasa yang kita jalani. Allah mensyariatkan berpuasa kepada hamba- hambaNya kerana pelbagai faedah dan manfaat yang diperolehi daripadanya. Terpulang kepada diri kita untuk memanifestasikan puasa dalam kehidupan yang sebenar dengan situasi seperti ibu- ibu yang menyusukan bayi. Kajian yang dijalankan di Afrika Barat mendapati bahawa berpuasa pada bulan Ramadhan tidak memberi kesan kepada pengeluaran susu ibu yang menyusukan bayi tetapi kemungkinan komposisi susu ibu tersebut akan berubah. Hal ini adalah sejajar jika dikaitkan dengan pemakanan ibu semasa bulan Ramadhan kerana nutrien susu adalah bergantung kepada pemakanan ibu. Seandainya pemakanan sihat dan sempurna yang diamalkan, ia tidak akan mengundang masalah terhadap komposisi susu tersebut tetapi jika terdapat kekurangan dalam pengambilan makanan, kemungkinan komposisi tersebut akan berubah. Namun, ia tidak mendatangkan masalah terhadap kesihatan bayi. Ini kerana, ia boleh dilihat sebagai suatu kitaran iaitu, ibu- ibu boleh menggantikan makanan atau zat yang tidak cukup tersebut selepas waktu berbuka. Selagi mana pemakanan sihat diutamakan, tiada masalah yang diundang buat ibu dan bayi yang menyusu.

Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu. Sungguh hebat penciptaan Allah. Penyusuan susu ibu digalakkan di dalam Islam dan dalam masa yang sama disyariatkan berpuasa dalam bulan Ramadhan. Suruhan ini terkandung implikasi yang mendalam terhadap kesihatan setiap manusia khususnya yang bergelar ibu. Malah ada pula rukhsah yang dibolehkan berbuka puasa, istimewa untuk golongan tersebut jika berlaku kekhuatiran dan keadaan yang tidak diduga. Tetapi, bagi kita yang ingin merebut peluang berpuasa di bulan yang mulia seharusnya tidak menjadikan penyusuan susu ibu sebagai suatu halangan untuk mendapat dua ganjaran yang hebat tersebut dalam masa yang sama. Ditambah lagi, kajian- kajian sains terkini yang membuktikan tiada permasalahan yang menghalang wanita yang menyusukan bayi untuk berpuasa dari segi kesihatan ibu dan bayi itu sendiri. Malah, kita seharusnya percaya, sudah pasti ada hikmah dan keistimewaan yang tersirat di samping yang tersurat dengan apa yang Allah telah tentukan buat hambaNya yang bergelar wanita dan ibu.

Sesungguhnya Ramadhan akan menjadi lebih bermakna jika sebagai ibu, kita tidak mengambil mudah akan hal melaksanakan puasa dan meneruskan penyusuan bayi. Seboleh yang mungkin untuk meminimumkan pilihan berbuka puasa jika tiada apa- apa masalah ketika menyusukan bayi. Secara tuntasnya, sebagai langkah proaktif bagi ibu- ibu, seharusnya mengambil peluang untuk mengkaji lebih mendalam hakikat disyariatkan penyusuan susu ibu dan tidak menjadikan Ramadhan sebagai satu halangan untuk memberhentikan penyusuan ibu mahupun mengambil langkah berbuka puasa sewenang- wenangnya untuk menyusukan bayi tanpa ada sebab yang munasabah. Yang paling penting ialah pendidikan pemakanan yang sihat harus disemai dalam setiap diri ibu yang menyusukan bayi agar dapat mengharungi bulanpuasa dengan sihat dan cergas tanpa sebarang masalah.

Sumber: Ditulis oleh Norkumala binti Awang. http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/8002-ramadhan-dan-penyusuan-ibu