Monday, December 31, 2007

Syahadah


Syahadah
Lambang keutuhan jiwa ragaku
Pada deen yang suci
Lagi qudus ini.

Syahadah
Tanda cinta pada pemilik jiwaku
Menjadikan penyaksian tegar buat-Nya
Bahawa dialah segalanya bagiku
Dialah Tuhan yang satu
Hidup dan matiku hanya untuk-Nya.

Syahadah
Nukilan setia pada belahan jiwaku
Rela darahnya mengalir
Pasrah keringatnya diperah
Buat diriku
Lantas aku di sini
Dengan penyaksian yang jitu
Bahawa dialah
Kekasih hatiku
Menyaksikan bahawa dialah
Rasul pesuruh Allah.


Syahadah
Simbol keikhlasanku
Pada deen terulung ini
Aku bersedia
Aku mengharap
Demi sebuah perjuangan suci
Dengan iringan wangian firdausi
Roh jiwaku lantas diarak
Dilindung
Dipayung
Sayap ribuan malaikat
Terbang mencari
Cinta yang hakiki.

Syahadah
Natijah ketekunanku di dunia ini
Jerih perih keringat mengalir
Demi ilmu yang diredhai
Buat menolong agama dan bangsa
Lantas ku sujud
Penuh kesyukuran.

Maka
Dengan syahadah yang suci ini
Cinta-Nya ditatang
Redha-Nya dijulang.

Hasil nukilan,
Tinta Kejora
Syahadah al-Hafeezah,
12 Ogos 2005,
Bumi Nilam Bumi Tarbiyyah,
Kelantan.



Wednesday, November 28, 2007

“..Ya ALLAH.. Jauhkanlah kami dari menjadi mangsa lelaki yang zalim..”




اللهُمّ اِنْ كنْتَ تَعْلمْ عَنّي آمَنْتُ بكَ وَبرَسُولِكَ

وَاحْصَنْتُ فَرْجِي إلاّ عَلىَ زَوْجِي


فَلاَ تُسَلّطْ عَلَيّ الكَافِر وَالظّالِم



"Ya Allah.. seandainya Engkau mengetahui bahawa aku beriman
kepadaMu dan RasulMu
Dan aku memelihara kehormatanku kecuali untuk suamiku
Maka janganlah Engkau hantarkan orang-orang yang kafir dan zalim untukku"

 

Inilah doa yang amat baik untuk diamalkan oleh semua muslimah di dunia ini. Doa untuk mengelak dari menjadi mangsa cabul@rogol@ambil kesempatan@serangan seksual dan yang seumpama dengannya.

Lelaki yang tega-tega membuat onar seumpama ini adalah lelaki yang tidak boleh diharap!!Sangat hairan khususnya bila ia dilakukan oleh lelaki Muslim. Tidakkah para lelaki ini mempunyai ibu dan kakak atau adik perempuan? Justeru, cuba bayangkan kalau hal sedahsyat ini berlaku pada saudara sendiri. Tentu menyakitkan jiwa dan raga.

Bertambah tidak munasabah bila ia dilakukan oleh saudara terdekat sendiri. Dengan itu, wujudlah istilah haruan makan anak. Adakah mereka ini tidak mempunyai perasaan? Jikalau tiada suluhan agama dan iman pun, masakan tidak boleh berfikir panjang kerana ia anak
@cucu dari benih kita sendiri.
WALLAHU A'LAM...

Monday, November 26, 2007

INI LAGU JIWAKU...Berlagu Untukmu.. (Guys & Gurls, You Know Who You Are!)

Sahabatku
Buah hatiku
Kekasih hatiku
Penawar dukaku
Bintang hidupku
Cinta murniku..

Terima kasih kukalungkan buatmu
Kerna sudi menerimaku
Lantas menerima segala apa yang wujud dalam diriku Kelemahanku
Kekhilafanku
Kedhaifanku..

Kerna sudi bersamaku
Setia denganku
Sentiasa di sampingku
Menyokongku
Membantuku
Menanggung bersama
Beban perjuangan seumur hidup
Yang maha getir ini..

Kerna sudi berkongsi
Segala apa yang wujud dalam dimensi hayatku
Gembiraku
Dukaku
Semangatku
Lelahku..

Sahabat
Aku ingin sentiasa menatap wajah tenang kalian semua
Yang kurindui saban ketika..

Paling utama
Aku ingin mengucup wajah bersih cerah kalian
Di raudhahNya yang agung..

Maka sahabat
Doakan selalu
Agar aku bisa tetap bersama soff kalian
Menyertai dirimu di ‘sini’ jua di ‘sana’..

Teratak_Ilham
09/12/2006

Wednesday, October 10, 2007

Perkebunan Kasih itu Masih Bukan Milikku


Hati berbisik ke telinga
Diri tidak pantas memiliki dan dimiliki
Untuk saat ini
Kerna milik itu bukan yang hak

Sebab hati ini tidak rela
Malah ia tidak tega
Untuk menumpahkan sayang dan cinta
Pada manusiawi yang sementara

Perkebunan kasih itu
Dari sela nafas
Menginjak sore membawa ke titis embun pagi
Pastinya makin mencambahkan benih-benih cinta
Makin memekarkan bunga-bunga sayang
Makin menularkan akar-akar rindu

Lalu apalah kiranya
Memandang wajahnya
Teringat senyumannya
Berbicara dengannya
Terlihat kelibatnya
Membuat hati makin mendalam cintanya

Sedang siapalah dia di sisiku
Boleh jadi dia nyatanya bukan untukku
Mungkin juga buat insan lain
Dan yang paling-palingnya
Dia itu masih bukan siapa-siapa untukku

Bukan pasangan hakiki untuk dicintai dan disayangi..
Bukan milik sendiri untuk dikenali dan dikenangi..
Bukan sebahagian dari diri untuk difahami dan dihayati..


aPiUM_in_My_HeArT
27/9/07

“Mama, salahkah aku menyintainya?”

Aku terkedu apabila soalan itu keluar dari mulut mongel itu lalu singgah di telingaku beberapa tahun lalu. Ya. Aku baru sedar bahawa puteriku sudah remaja, sudah mengenali alam percintaan. Namun apa boleh ku buat, dia telah jatuh cinta!
Apakah yang bakal ku 'bual'kan kepadanya tentang cinta. Aku mencongak kata-kata yang bakal ku susun, agar dia tidak akan lari dari aku. Aku bertekad untuk menjadi ibu yang mendengar. Jika aku gagal. Aku akan kehilangannya buat selama-lamanya.

Apakah cinta itu sebenarnya? Bagaimana Islam memandang cinta? Bagaimana pula jika cinta telah menghampiri kita?


Cinta atau mahabbah asalnya bermakna bening dan bersih. Boleh diertikan juga air yang melimpah ruah selepas hujan turun dengan lebatnya. Oleh itu boleh disimpulkan al Mahabbah sebagai luapan hati dan gelojak rindu ketika diselubungi keinginan untuk bertemu dengan kekasih.

Cinta boleh membawa sengsara namun boleh juga membawa bahagia. Ianya bergantung kepada bagaimana kita mengurus cinta itu. Islam memandang cinta terhadap berlainan jenis dalam 3 perspektif :

1. Menyintainya kerana Allah (mendekatkan diri pada Allah dan mentaatiNya). Ini termasuk cinta yang bermanfaat. Contohnya cinta suami isteri yang bernikah untuk menjaga dirinya dari perkara maksiat dan juga bernikah kerana mengikuti sunnah Rasulullah menyambung generasi pejuang.

2. Cinta yang mendatangkan murka Allah. Lebih kita kenali sebagai cinta kerana nafsu berahi. Cinta inilah yang memalingkan kita dari Allah, membuat kita lupa akanNya dan mendorong untuk melanggar syariatNya. Firman Allah yang bermaksud "Dan di antara manusia ada orang yang mengangkat sesembahan selain Allah, mereka mencintai sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat cintanya pada Allah. Dan Allah tidak akan menunjuki orang-orang fasik." ( al-Baqarah :65)

3. Cinta yang mubah (harus), adalah cinta yang tidak ada unsur kesengajaan. Misalnya 'cinta pandang pertama' yang tidak sampai kita membuat maksiat kepada Allah. Kita merahsiakannya dan menahan diri kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang.Jadi bagaimana kita menanggapi dan mengurus perasaan cinta yang menghampiri kita?

Mana mampu kita hendak menolak cinta yang datangnya tanpa diundang. Memang perasaan cinta tidak boleh ditahan dan dibendung cuma kita hendaklah berlaku jujur dan menyalurkannya mengikut kehendak syariat. Perasaan 'cinta suci remaja' memang biasa diucapkan Cuma dalam hal ini syaitan memainkan peranan dalam menggelincirkan kitakepada kemungkaran dan larangan Allah. Memang adat bercinta semuanya mendakwa cinta mereka ikhlas dan suci murni tetapi syaitan memainkan peranannya sehingga tidak kita sedari ia banyak melanggar larangan Allah. Ingatlah bahawa setiap yang haram itu adalah haram walau apa keadaan sekalipun cuma kita yang kadang-kadang cuba 'menghalalkannya' dengan membuat pelbagai alasan, itu dan ini. Di sisi Allah ia adalah satu dosa dan setiap dosa layaknya adalah neraka.

Apa kata kita lihat hadis Rasulullah ini dalam sunah Ibni Majah : "Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah"

Apa? Nikah?!!, Tidak mungkin... sekolah pun belum habis, bagaimana nak bernikah?

Marilah kita lihat apa yang dikatakan pencipta kita : "Janganlah kalian dekati zina..." (al Isra':32)" Ah, terlalu ekstrim! Takkanlah bercinta dianggap mendekati zina?"

Tapi bukankah kita pernah dengar sabda Rasulullah: "Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita¡¦ Tidaklah bersendirian diri dengan seorang wanita kecuali ketiganya syaitan¡¦" (hari Tabrani). " Kedua tangan juga dapat berzina dan zinanya adalah menyentuh dan kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju tempat maksiat) dan mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman" (hari. Muslim dan Abu Daud)


Anakku, kamu seorang remaja Muslim yang baik, tidak akan berdalih lagi untuk mengelak dari perkataan Allah dan RasulNya. Mampukah anakku tidak berdalih lagi? Umpamanya kerana kasihan, kerana ingin mendakwahinya, kerana boleh menasihatinya, kerana mencari rakan diskusi intelek, dan sebagainya.

”Jadi mama, apa penyelesaiannya?”

Bagi anakku yang sudah jatuh cinta, rasakan cintamu dalam hati, berusahalah untuk melupakannya buat sementara waktu dan sibukkan diri dengan sesuatu yang bermanfaat. Tahanlah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama seperti mengelamun, berangan-angan dan membayangkan wajahnya yang tampan dan menggoda. Bersabarlah menghadapi ujian cinta ini. Jagalah batas batas pergaulan. Peliharalah kehormatan diri. Jangan biarkan cinta yang mubah ini menjadi cinta yang salah. Berdoalah kepada Allah agar dipertemukan kamu jika dia paling sesuai untukmu, agamamu dan keluargamu. Apabila tiba masanya nanti, apabila jodohmu ada insyaAllah kamu akan ditemukan dalam hubungan yang diredhai Allah.Pun begitu perhatikanlah juga perkara-perkara di bawah ini agar hatimu tidak mudah menjadi rawan :

1. Tundukkan pandanganmu dari perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu. Ataupun janganlah merenung kaum berlawanan jenis (an Nur:30-31)

2. Hindari berdua-duaan dan ikhtilat (campur gaul tanpa batasan). Elakkan berinteraksi dengan bukan mahram dengan perkara-perkara kurang penting yang melalaikan.

3. Hindari dari menonton filem atau drama atau cerita cinta yang mengasyikkan dan mengghairahkan nafsu.

4. Hindari bacaan/novel yang menghanyutkan hati kita lantas tergoda dengan perangkap cinta palsu.

5. Hindari lagu-lagu cinta kerana boleh melemahkan hati dan memendekkan cita-cita.

6. Sibukkan dengan mengaji dan berzikir. Bergaullah dengan kawan-kawan yang baik kerana kadang-kadang hati kita kalah kepada 'cinta' ini kerana kebodohan kita terhadap ilmu agama dan lemahnya iman kita.

7. Apabila kita telah mempunyai seorang 'teman akrab', cukuplah kiranya kita fahami maksud firman Allah "Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang Yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau Aku (di dunia dahulu) mengambil jalan Yang benar bersama-sama Rasul?
"Wahai celakanya aku, Alangkah baiknya kalau Aku tidak mengambil si Dia itu menjadi sahabat karib! "Sesungguhnya Dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaKu. dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan Dia sahabat karibnya)".


8. Puasalah untuk meredam perasaan nafsu dan rindu. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: "Adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan nafsunya maka sesungguhnya syurgalah tempatnya" (an-Naziat:40-41).9. Bernikah sahajalah jika sudah benar-benar mampu dari segi fizikal, kewangan, emosi dan intelekmu.”

"Aduhai mama, susahnya!”

Boleh jika kamu mahu, jangan bersedih. Syurga itu kan lebih indah. Dalam sabda Rasulullah juga bersabda bahwa jika kita meninggalkan sesuatu yang disukai manusia tapi dibenci Allah maka Allah akan mencukupkan diri kita dari sesuatu yang kita perlukan.Alangkah baiknya Allah, sanggupkah kita mengkhianatiNya? Bukankah Dia yang telah mencipta dan memelihara kita selama ini? Tidakkah Dia lebih baik dan sesuai, maka pantas untuk dicintai? Rasulullah bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga ia lebih mencintai Allah daripada mencintai anaknya, orang tuanya dan semua manusia"Siapakah yang dapat menolong kita di hari akhir nanti? Kekasih kita kah? Tentu tidak. Oleh kerana itu tetaplah tersenyum dan berlapang dada dalam menghadapi cinta ini. InsyaAllah, Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik, kekasih yang suci dan soleh/solehah yang bergelar suami/isteri, di dunia dan syurga di akhirat nanti, insyaAllah.Namun anakku, jika kamu dan kekasihmu sudah tidak boleh dipisahkan lagi, cintamu sudah terlalu mencengkam kalbu, tidurmu sudah tidak lena lagi, makanmu sudah tidak lagi kenyang, mandimu sudah tidak lagi basah, mama relakan perkahwinanmu. Mama akan aturkan pernikahanmu secepat mungkin, demi menjaga kesucian syariat dan memelihara satu rantaian zuriat masa depan yang bersih, suci dan soleh sepanjang generasi zaman. InsyaAllah...

(Sumber : Majalah Perspektif (JIM) Jan/Feb 2005)

Monday, October 8, 2007

My Ummah!









Album : My Ummah
Munsyid : Sami Yusuf


My ummah, my ummah
He will say
Rasulullah on that day
Even though we've strayed from him and his way


My brothers, my sisters, in Islam
Let's struggle, work, and pray
If we are to
Bring back the glory of his way


Ya Allah ya rabbal 'alamin..
Ya rahmanu ya rahim
Ya rabbi
O Allah Lord of the Worlds
O Merciful and Beneficent
O my Lord


Let the Ummah rise again
Let us see daylight again
Once again
Let's become whole again
Proud again
'Cause I swear with firm belief in our hearts
We can bring back the glory of our past


My ummah, my ummah
He will say
Rasulullah on that day
Even though we strayed from him and his way


Look at where we were
And look at where we are
And tell me
Is this how he'd want it to be?
Oh no!
Let us bring back our glory..


WAKE UP MUSLIM, TOGETHER WE STAND, FOREVER WE UNITE!

Friday, September 28, 2007

KETIKA CINTA BERTASBIH


Salam buat semua warga dunia. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.Moga harimu hari ini penuh dengan cinta.. Cinta pada Khaliq yang amat mencintaimu,pada Rasulullah S.A.W yang merinduimu, pada ayah bunda yang amat menyayangimu..pada guru-guru dan pensyarah yang banyak bakti padamu, teman-teman yang setia padamu..dan pada alam buana yang siap menerima kehadiranmu...dan biarkan rasa cinta itu bertasbih dalam hatimu...sanubarimu dan jiwamu..Agar rasa cinta itu menguatkan jiwamu..sebagaimana tasbih meneguhkan hati-hati insan yang beriman..

Usai membaca buku karya Habiburrahman El-Shirazy @ Kang Abik, membuat saya bermonolog panjang.Ceritanya begitu menyentuh hati dan perasaan..banyak membuatkan kita berfikir akan makna kehidupan yang fana ini.

Kalau dahulu saya hanya fahami secara retorik bahawa CINTA ITU TIDAK SEMESTINYA BERSATU..kini saya mula mendapat gambaran sebenar pada makna sebuah kehidupan..Umpama hal yang berlaku antara akhi Fadzil dan ukhti Tiara..Sampai sempat saya meletakkan diri saya pada keadaan itu.. sungguh tidak tertanggung rasanya..Namun itulah yang dinamakan aturan Allah..Dia Maha Tahu apa yang terbaik buat umatNya, jua hikmah yang terselindung..yang tentu saja manusia lemah seperti kita tidak bisa mengetahui rahsianya

Saya juga menjadi insaf..bahawa kekuasaan dan kehendak Allah itu lebih cepat dari segalanya..Walau dengan seribu tahun perancangan malah penelitian segala..Seperti yang terjadi pada akhi Furqan.. ana malah sempat menangis mengenangkan nasibnya..Dan membayangkan jika hal seperti ini tertimpa pada diri mahupun saudara serta teman terdekat..Wal 'iya zubillah...

Dan saya jadi semakin faham..pada erti dan makna pada sebuah gelaran yang bernama 'solehah'..Sungguh ia maha suci dan agung untuk dibahaskan..Selama ini tertutur di bibir-bibir kita (semoga ia menjadi realiti)Namun perlu sekali dicermati, bahawa ia bukan sekadar di bibir..Sungguh pengaplikasiannya maha qudus; penuh dengan mujahadah.. thabat..tawakkal..ukhuwwah..mahabbah...Ia terlontar pada peribadi-peribadi yang bersinar..umpama Anna Althafunnisa'..Cut Mala...Masyitah..Sungguh saya ingin jadi seperti mereka..Doakan saya ea! (",)

Dan peribadi umpama Kang Khairul Azzam, tentu sekali tidak mudah untuk ditemui.Dengan gigih berusaha untuk memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik.Malah teguh dan berhati waja.Sifat amanah dan tanggungjawab begitu menebal.Malah penuh pula dengan ilmu dan hikmah..Benar, bukan ini yang dicari pada sebuah peribadi bernama 'soleh'..Bukan harta bertimbun yang bisa dipersembahkan di depan mata, senang membuatkan kita jadi alpa ..Bukan juga pangkat dan gelaran-gelaran kedoktoran, mudah membuat diri menghitung kebanggaan..

Pada hati yang teguh.. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu dan ajakan kejahatan..Sedang Allah menghitung segala air mata dan keringat yang mengalir..Wahai hati, tetapkanlah..tetapkanlah.. jangan mudah nanar..Ini cubaan hati buat hambaNya yang beriman..Teguhkanlah..teguhkanlah..Serasa air mata turut tumpah bersama air mata akhi Hafez ke atas mushaf yang dibacanya..Sedaya upaya menolak bayangan dan igauan serta ingatan yang nyata-nyatanya dari Syaitan dan nafsu..Dan diri menghitung.. pernahkah hal seumpama ini berlaku pada diriku?Sedang hati tak bisa berbohong..sungguh aku pernah merasainya..Wahai insan-insan, sucikanlah hatimu.. sabarlah!

Saya sempat menghantar e-mail pada kang abik, dan ternyata beliau membalasnya agak cepat. Syukran akhi!Saya berharap suatu hari nanti saya bisa jadi sperti kang abik.Jujur ku akui, di Malaysia kurang sekali novel-nevel berunsur dakwah dan cinta islamik.Yang ada cinta-cinta penuh fantasi.. hawa nafsu dan tidak syar'ii..Moga saya antara soff yang mengubah fenomena ini.Dan mampu pula menggegarkan dunia penulisan.. Amin.

Salam Cinta Yang Bertasbih,
Mawar_Mujaheedah

Thursday, September 20, 2007

FALSAFAH SAYA MENGENAI FENOMENA BLOGGING



Assalamualaikum permulaan kalam, moga semuanya sihat sejahtera dalam lindungan Ilahi. Dan semoga bulan Ramadhan mu berhasil dijalani dengan baik sehingga penghujungnya, Insya Allah.

Dewasa ini, fenomena blog tumbuh bagai satu deru angin yang datang menerpa. Biar apa pun tujuannya; ada yang sekadar suka-suka, ada yang ingin menyalurkan pemikiran sendiri, untuk tujuan dakwah dan peringatan, ada yang digunakan untuk menjana pendapatan, mencari kenalan, malah menyediakan perkhidmatan tertentu, dan ada juga yang dihasilkan buat mencurah idea kritis dalam bidang penulisan dan perkongsian pintar sesama insan. Biar apa pun ia, apa yang penting di sini ialah para blogger merasa gembira dan mendapat makna diri pada sebuah perkongsian dan persembahan maya ini. Jatidiri merasa utuh dan melodi hati seolah-olah didengari dan dirasai oleh para pengunjung blog kita.

Blog oh blog... di mana-mana orang bercakap mengenai blog, semua orang ingin mempunyai blog sendiri, alangkah gembira dan seronoknya dapat menyalurkan pemikiran ke dalam satu jaringan yang dapat dibaca oleh warga dunia. Tidak kiralah orang ternama seumpama wakil rakyat dan sasterawan, membawa kepada pekerja dan peniaga, lontaran suara keramat mahasiswa dan tidak dilupakan adik-adik kita yang masih di bangku sekolah.

Benar, 1001 makna tersimpul pada suatu aktiviti seumpama blogging ini. Ini belum dikira dengan idea yang dicurahkan buat menumbuhkan satu wacana pemikiran untuk perkongsian pintar bersama malah terkadang mampu mencipta reformasi, begitu pun juga dengan hadaf buat memberi peringatan dan info bermanfaat kepada insan pelayar yang dahagakan ilmu, dan juga peningkatan nilai tambah diri dengan pengasahan skill menulis serta pelontaran idea melalui penulisan.

Ironinya juga, sudah menjadi aturan alam bahawa terdapat pro dan kontra bagi sesuatu isu yang dibahaskan apatah lagi ia melibatkan suatu hal seumpama teknologi moden dan terkini. Ini berlaku kerna justeru ada insan yang tega-tega menggunakan blog buat menipu insan ramai, malah menggunakannya buat menyebar fahaman songsang yang jelas salah. Dan ada juga yang menghembus api fitnah dan kutukan kepada pihak lawan yang tidak disenangi, cacian, umpatan, sentimen, sinis, sadis dan hal seumpamanya; menjadikan alam maya yang polos berubah warna kelabu.

Pada hemat saya, jika ingin mewacanakan hasil pemikiran dan mengasah skill menulis; usahlah terlalu banyak meng‘copy’ and ‘paste’. Jika ingin menjana pendapatan; jauhilah apa yang difatwakan haram malah menipu pula. Seandainya ingin melagukan melodi hati dan berkongsi hidup sehari-hari; usahlah terlalu detail, kerna hak privacy dan peristiwa tertentu semestinya juga hanya perlu dikongsi dengan pihak-pihak ‘tertentu’ sahaja. Jikalau bunyinya sudah terlalu mesra dan mudah, bimbang tiada lagi momen istimewa yang cukup manis untuk dikongsi hanya dengan orang yang ‘istimewa’ pula. Sekira-kira pula untuk mencari kenalan; binalah ukhuwwah fillah, suatu jaringan buat membina ketumbukan angkatan pemuda-pemudi Islam yang ikhlas dalam perjuangan. Jikalau gemar berkarya pula; usahalah agar suatu masa nanti bisa pula menzahirkan ia bukan setakat di medan maya, malah mampu membina suatu karya artifak agung buat membangun jiwa dan merubah anak bangsa ke arah kebaikan. Dan sekiranya menyediakan perkhidmatan; hamparkanlah perkhidmatan yang baik-baik sahaja, buat memberi kebaikan dan manfaat buat warga insan.

Sekian dulu untuk kali ini. Ikhlaskan niat dalam berblogging. Galilah hikmah pada suatu jalur bernama teknologi, dan usahakan ia untuk kebaikan ummah. Justeru itu, segala yang diwacanakan ditujukan kembali pada diri sendiri yang hina dan dhaif ini.

Wassalam wbt.
Salam mawaddah wa mahabbah!
Selamat berblogging dari Syahadah (",)