FALSAFAH SAYA MENGENAI FENOMENA BLOGGING

12:40:00 PM



Assalamualaikum permulaan kalam, moga semuanya sihat sejahtera dalam lindungan Ilahi. Dan semoga bulan Ramadhan mu berhasil dijalani dengan baik sehingga penghujungnya, Insya Allah.

Dewasa ini, fenomena blog tumbuh bagai satu deru angin yang datang menerpa. Biar apa pun tujuannya; ada yang sekadar suka-suka, ada yang ingin menyalurkan pemikiran sendiri, untuk tujuan dakwah dan peringatan, ada yang digunakan untuk menjana pendapatan, mencari kenalan, malah menyediakan perkhidmatan tertentu, dan ada juga yang dihasilkan buat mencurah idea kritis dalam bidang penulisan dan perkongsian pintar sesama insan. Biar apa pun ia, apa yang penting di sini ialah para blogger merasa gembira dan mendapat makna diri pada sebuah perkongsian dan persembahan maya ini. Jatidiri merasa utuh dan melodi hati seolah-olah didengari dan dirasai oleh para pengunjung blog kita.

Blog oh blog... di mana-mana orang bercakap mengenai blog, semua orang ingin mempunyai blog sendiri, alangkah gembira dan seronoknya dapat menyalurkan pemikiran ke dalam satu jaringan yang dapat dibaca oleh warga dunia. Tidak kiralah orang ternama seumpama wakil rakyat dan sasterawan, membawa kepada pekerja dan peniaga, lontaran suara keramat mahasiswa dan tidak dilupakan adik-adik kita yang masih di bangku sekolah.

Benar, 1001 makna tersimpul pada suatu aktiviti seumpama blogging ini. Ini belum dikira dengan idea yang dicurahkan buat menumbuhkan satu wacana pemikiran untuk perkongsian pintar bersama malah terkadang mampu mencipta reformasi, begitu pun juga dengan hadaf buat memberi peringatan dan info bermanfaat kepada insan pelayar yang dahagakan ilmu, dan juga peningkatan nilai tambah diri dengan pengasahan skill menulis serta pelontaran idea melalui penulisan.

Ironinya juga, sudah menjadi aturan alam bahawa terdapat pro dan kontra bagi sesuatu isu yang dibahaskan apatah lagi ia melibatkan suatu hal seumpama teknologi moden dan terkini. Ini berlaku kerna justeru ada insan yang tega-tega menggunakan blog buat menipu insan ramai, malah menggunakannya buat menyebar fahaman songsang yang jelas salah. Dan ada juga yang menghembus api fitnah dan kutukan kepada pihak lawan yang tidak disenangi, cacian, umpatan, sentimen, sinis, sadis dan hal seumpamanya; menjadikan alam maya yang polos berubah warna kelabu.

Pada hemat saya, jika ingin mewacanakan hasil pemikiran dan mengasah skill menulis; usahlah terlalu banyak meng‘copy’ and ‘paste’. Jika ingin menjana pendapatan; jauhilah apa yang difatwakan haram malah menipu pula. Seandainya ingin melagukan melodi hati dan berkongsi hidup sehari-hari; usahlah terlalu detail, kerna hak privacy dan peristiwa tertentu semestinya juga hanya perlu dikongsi dengan pihak-pihak ‘tertentu’ sahaja. Jikalau bunyinya sudah terlalu mesra dan mudah, bimbang tiada lagi momen istimewa yang cukup manis untuk dikongsi hanya dengan orang yang ‘istimewa’ pula. Sekira-kira pula untuk mencari kenalan; binalah ukhuwwah fillah, suatu jaringan buat membina ketumbukan angkatan pemuda-pemudi Islam yang ikhlas dalam perjuangan. Jikalau gemar berkarya pula; usahalah agar suatu masa nanti bisa pula menzahirkan ia bukan setakat di medan maya, malah mampu membina suatu karya artifak agung buat membangun jiwa dan merubah anak bangsa ke arah kebaikan. Dan sekiranya menyediakan perkhidmatan; hamparkanlah perkhidmatan yang baik-baik sahaja, buat memberi kebaikan dan manfaat buat warga insan.

Sekian dulu untuk kali ini. Ikhlaskan niat dalam berblogging. Galilah hikmah pada suatu jalur bernama teknologi, dan usahakan ia untuk kebaikan ummah. Justeru itu, segala yang diwacanakan ditujukan kembali pada diri sendiri yang hina dan dhaif ini.

Wassalam wbt.
Salam mawaddah wa mahabbah!
Selamat berblogging dari Syahadah (",)

You Might Also Like

0 comments

MY INSTAGRAM @syahadatulhafizah

Subscribe