Luahan Rasa Memujuk Hati Membakar Nubari~

1:59:00 AM

Hari semalam sudah kembali semula ke Kuala Lumpur, Kota penuh lumpur dan pekat dosa, namun penuh jua perjuangan yang diberkati.
18 hari pulang ke kampung. Kampungku tersayang nun di hujung tanah air. Teratak Ilham, Renek, Jerteh, Terengganu yang hanya satu-satunya ada mak, abah, abang long dan adik-adik.
Kembali ke Villa Mujahidah yang sangat amat banyak mengenalkanku pada ukhuwwah dan cinta sahabat, pada leadership dan amanah seorang ketua rumah dan pada resah seorang graduan.
Pulang semula ke APIUM yang telah 4 tahun diri ini bersamanya. Yang telah sudi menerimaku dan berkongsi ilmu denganku.
Ke JQH yang hampir setahun diri bersamanya. Mengenalkanku pada amanah ilmu dan perjuangan pasca siswazah yang menggetirkan.
Dari pangkuan keluarga atas ikatan darah dan aqidah -
Ke sisi sahabat-sahabat atas ikatan aqidah dan bahtera perjuangan.

Allahu Akbar....Sering saja perasaan ini hadir. Sejak dahulu hingga kini. Ku kira, perasaan ini selamanya akan wujud. Biarkan, ku sanggup menanggungnya.
Perasaan hati dan jasad yang mahu dibahagi dua; tinggal satu di sisi keluarga dan bawa sebahagian lagi pada halatuju perjuangan ke mana-mana pelusuk dunia.
Sejak dahulu perasaan ini ~ dari bangku sekolah membawa ke gading menara apatah lagi selepas graduasi. Biarlah, biarkan diri merasanya. Walau nanti sudah berkeluarga atau apa.
Kerana kalian semua adalah kesayanganku. Ibu bapaku, abangku, adik-adikku, saudara-maraku semua. Jua sahabat-sahabatku serta perjuanganku yang ditakdirkan-setakat ini; bukan di kampung sendiri di tepi
rumah sendiri. Tidak mengapa, diri sanggup merasanya Insya Allah. Kerna ini juga adalah perjuangan. Mujahadah. Thabat. Kuat. Yakin. Hari-hari kita adalah perjuangan. Setiap saat kita adalah perjuangan.
Bukan sahaja pada harta, qudrat diri, pemikiran sendiri malah pada perasaan. Ya, perasaan!

Di rumah ada memori indah tercipta. Di sisi sahabat juga ada memori indah tercipta. Namun kadangkala di rumah juga ada memori tidak indah. Malah, di sisi sahabat juga. Seringkali keindahan dan ketidakindahan
silih bertukar ganti, memberi faham pada hati-hati yang hidup dan penuh sedar. Memberi kuat pada jiwa-jiwa yang menanggapi setiap hal sebagai sangat bermakna dari Allah. Memberi insaf pada nurani-
nurani yang rindukan tarbiah dan islah.

Kadangkala diri membaca kembali catatan-catatan peribadi seputar sekolah sehingga kini. Seperti sahaja membaca sebuah novel yang panjang. Justeru, kalau cerita hidup kita seperti sebuah novel, apa kita tidak
bisa menjadi seperti Khazinatul Asrar? Khazinatul Asrar yang bisa menyembunyikan rahsia hatinya, hanya diadu diratap pada Allah, khususnya soal jodoh. Atau Anna Althafunnisa'? Anna yang solehah dan gilakan
ilmu, dengan pekerti yang sangat halus. Atau mungkin seperti Sumayyah yang diuji namun tetap kuat dan tabah. Amal Hayati yang Hafizah Qur'an. Atau Salsabila Fahim yang berjiwa seni dan puitis, sangat
berbakat dan berjaya dalam perniagaan. Juga Zinnera, seorang ibu yang baik, seorang isteri yang ikhlas; rela melepaskan suaminya mendepakan tangan menyambut panggilan Syahid Ilahi..
Teringin sekali seperti mereka. Sangat teringin...! Khususnya Anna Althafunnisa'. Bilang sahabatku merangkap adik kesayangan saat berbicara hati ke hati denganku.. "Seorang Syahadah tidak kan pernah sama dengan watak filem, watak novel. Kita adalah kita yang berjalan di pentas dunia." Ya, tepat sekali itu. Namun, kita disarankan mencontohi apa yang baik, menjauhi apa yang tidak baik. Kerna watak-watak filem, novel fiksi walau rekaan semata itu adalah pada cerminan apa yang terjadi di pentas dunia ini.

Ya, hidup ini umpama novel, umpama filem dan drama. Hanyasanya ia dilangsungkan lambat-lambat. Tidak seperti filem yang habis cepat. Setiap detik dalam fiksi penuh terisi.
Ya iyalah, masakan filem itu mahu diisi dengan menunjukkan hero-heroinnya yang duduk-duduk membuang masa. Hidup berjalan lambat-lambat. Duduk-duduk berbual-bual. Justeru itulah kita mencermati
pelajaran dari filem.Jangan pernah bazirkan masa kita, ruang waktu kita. Setiap masa kita beraktiviti, agar wajar kita dipanggil aktivis. Aktivis itu bukannya duduk-duduk membuang masa, menanggapi apa
adanya, atau hanya beraktifitas untuk diri. Sibuk sekali. Berjalan berjaulah ke sana ke mari. Atau duduk menghadap dunia maya, dunia realiti ditinggalkan. Dan baring baring lalu masuk ke alam ilusi, alam mimpi meninggalkan alam hakiki. Nastaghfirullah...

Ya, hidup ini umpama novel, umpama filem dan drama. Hanyasanya yang berbeda, penamatnya masih belum diketahui. Entah Husn al-Khatimah (Insya Allah) atau Su'u al-Khatimah (Naudzubillah...).
Semoga episod terakhir dari siri hidup kita ini, kita akan mendapatkan Husn al-Khatimah Insya Allah.

Tanggapilah ia begitu. Agar hidup kita lebih difahami, lebih bermakna, lebih ceria. Kita adalah pelakonnya. Dunia ini adalah pentas lakonan. Pengarahnya adalah Allah. Ada cameraman. Ada malaikat mencatat merakam kita. Ada penontonnya iaitu manusia ramai. Malah penduduk langit juga. Habis nanti kita diberi upah, bergantung pada persembahan kita, performance kita. Yang paling baik mendapatkan upah terbaik. Mendapatkan tempat terbaik. Bersama yang terbaik. Hari-hari yang dilalui sangat sangat tersimpannya mujahadah bagi mereka yang ingin menjadi mujahid mujahidah di jalan Allah. Mujahadah dari sifat mazmumah yang melukakan, mujahadah dari sifat malas yang merosakkan, mujahadah dari sifat kikir yang merugikan, mujahadah dari cinta dunia yang menyesatkan...

Ya, kalau tidak mahu silakan lupa saja pada tulisan ini. Atau sekadar ingin menjadi insan biasa-biasa sahaja, juga tidak mengapa. Kerna insan biasa tidak perlu punya mujahadah yang tinggi. Bak patah kata bestari
Imam Gazali dalam Ihya `Ulumuddin, bahawa setiap kali target dan keperluan ditingkatkan, maka jalannya semakin menjadi sulit, makin banyak akibatnya dan dibutuhkan waktu yang lebih lama. "Kullama zaada al mathlub sho`uba masalikuhu wa katsura `aqabatuhu wa thala zamanuhu." Al Matlub itu adalah pada aqidah yang sejahtera pada Allah, Matlub itu pada ilmu yang dapat mendekatkan diri kita pada Allah, Matlub itu adalah pada ibadah yang dapat membahagiakan diri kita saat bersama Allah, Matlub itu adalah kita di pandangan Allah... kita di pandangan Nabi Muhammad Saw.. kita di pandangan penduduk langit..kita di pandangan penduduk bumi... Usaha itu tuntasnya sesuai dengan natijah yang akan didapati. Natijah yang didapati pula sesuai dengan usaha yang telah dilakukan. Saling bertimbal balik. Mudah sahaja formula ini kan..?

Walau perasaan ku terpencar-pencar saat mahu di Teratak Ilham bersama penghuninya yang sangat sangat istimewa di hati, sedang harus kembali meneruskan perjuangan yang tertinggal di Kuala Lumpur; akan ada
rasa tidak keruan, kerna ada yang tertinggal di rumah, suatu nostalgia dan memori yang tuntasnya indah, namun rindu juga pada Villa Mujahidah apatah lagi mujahidah-mujahidahnya.
Pada Ukhti Ani yang selalu ada dalam suka duka bersamaku (how's the interview? :),
Ukhti Noni yang Alhamdulillah, sudah dapat kerja tetap Government sebagai AG, (Suda mahu rembat MyVi BlueBlack tidak lama lagi Insya Allah),
Pada Ukhti Pija yang 22 June ini sudah mahu ke Korea, internship RA nya (Jealous tapi tetap Henbokke, Chommal!),
Pada Cik Pah yang masih di Mekah, Subhaanallah.... semoga umrahmu diterima di sisi Allah..
(Ya Allah, sampaikan juga hambaMu ini ke tanah suci Mu..tanah kelahiran KekasihMu..)
Dan pada Mujahidahs yang lain. Ada Huda, Tique, Mas, Yaya, Syud. Juga Yatt dan Cik Annur, Aiman, Nisa' yang bakal menjadi penghuninya Insya Allah.

Aku pulang mengambil offer letter Sarjanaku, Alhamdulillah sempat dengan application biasiswa (Rabbi Yassir Ya Adzheem), sambil mendapatkan wang persediaan untuk pengajian Sarjanaku, hadiah dari Allah,
melalui Yayasan Terengganu, Subhaanallah Alhamdulillah dipermudahkanNya (sepatutnya ada surat pengesahan bersama tarikh pendaftaran).
Juga mengambil kitab-kitab Jawi lama Abah untuk kajianku, (Alhamdulillah ada banyak juga yang sangat pass sekali untuk kajianku).
Malah paling penting adalah pulang berkumpul bersama keluarga kerna sekarang ini cuti IPT dan cuti sekolah (Adikku dari UMS Labuan juga pulang. Dengan tarbiyyah Tabligh. Dia menemui jalan perjuangannya di situ. Dia gembira dan aku pun turut tumpang gembira.)
Dan antara yang penting juga, adalah pulangku mencari diri sendiri yang hampir ada hampir tiada ini. Syukur aku telah menemukannya. Terima kasih pada Ukhti Sa teman seperjuanganku, sahabat terdekatku yang selalu saling bicara tentang ini dengan ku. Tentang pencarian diri, kefahaman keistiqomahan hammaasah dalam gerakerja, tentang kesucian kesufian hati, tentang jiwa tarbawi. Tidak ramai temanku yang boleh bicara hati ke hati denganku soal ini. Syukur sekali aku masih ada teman sebegini. Sangat syukur sekali.

Kadang-kadang bila aku bicara soal ini semuanya hanya kelu tanpa bicara, sepi tanpa sahutan. Mungkin salah aku yang terlalu dalam mengungkapkan. Syukur aku temukan dia dengan mendalam setelah bergraduasi. Memahami diriku tanpa sempat pun aku mengungkapkan jauh. Allah, aku ingin sekali jiwa tarbawi.. Bukan tidak sering kami diinzarkan ini. Dalam kami ditarbiah, atau dalam mentarbiah generasi.
Bahawa harus berjiwa tarbawi! Dan jiwa tarbawi itu bukan hanya lakonan di hadapan orang ramai.
Bukan berpura tarbawi dalam keramaian. Tapi terabai dalam keseorangan.
Bukan tempelan atau retorik semata.
Jiwa tarbawi itu yang menumbuhkan gerak laku, gerak rasa, gerak daya yang 24 jam nya adalah tarbiah. Sehingga yang selainnya dibenci, dijauhkan sama sekali. Ya Allah, kurniakanlah aku jiwa yang terus hidup subur dalam tarbiyyah.

Walau sekejap kita di sini, sekejap kita di sana. Berjuang di sini, berjuang di sana. Menimbulkan 1001 macam perasaan pada relung hati terdalam. Namun Insya Allah, segalanya seperti dihujani Salju Sakinah, semuanya seperti dihembus Rona Bosphorus, malah pastinya sesegar Nailofar, asal saja kita meyakini Cinta Yang Bertasbih dalam hati kita, urat nadi dan denyut nafas kita.
Kerna di mana-mana di bumi adalah Bumi Cinta.
Kerna di Bumi Cinta itu ada Cinta Tuhan Allah!~

Syahadah Abdullah
June 2010

You Might Also Like

0 comments

MY INSTAGRAM @syahadatulhafizah

Subscribe