PILIHANRAYA UMUM: SATU ANJAKAN PARADIGMA UNTUK SEMUA

11:07:00 AM

Pilihan Raya Umum Malaysia sudahpun berakhir kira-kira seminggu yang lalu namun bahangnya masih pijar terasa sehingga kini. PRU ke-12 pada tahun 2008 ini dilihat sebagai satu pilihanraya yang mencatat sejarah besar dalam takwim negara merangkumi peristiwa suka duka yang berlaku dan juga siri-siri keputusan yang diterima. Di kala ini, semua pihak seharusnya tidak menuding jari pada sesiapa, malahan koreksi dan juga muhasabah wajar dilakukan bersama-sama oleh semua demi masa depan Malaysia yang terjamin.


PRU DAN SPR

SPR seperti yang kita sedia maklum merupakan satu entiti yang menaungi sistem demokrasi berpilihanraya itu sendiri. Justeru, SPR perlulah beramal dengan etika-etika yang telah digariskan. Ia juga harus tidak mudah disogokkan oleh siapa-siapa malah jatidiri dan prinsip serta asas integriti kejap didokong oleh mereka demi sebuah pilihanraya yang adil dan telus. Namun begitu, SPR haruslah mendengar, mengambil kira dan menimbangkan tuntutan dan permintaan semua parti-parti yang bertanding asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip SPR. Jikalau ia baik demi pembaikian demokrasi maka ia wajar dilakukan.. Selain itu, SPR juga haruslah fokus dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Umpamanya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan pengundi muda yang dapat mengundi supaya mendaftar dan seterusnya memastikan nama-nama pengundi tidak tercicir dari pengkalan data. Kes yang amat pelik banyak terjadi umpamanya seorang warga emas Malaysia yang sudah pun biasa mengundi di tempat yang sama iaitu sebuah sekolah di Bandar, Terengganu sebanyak 3 atau 4 kali akan tetapi pada PRU ini tempat pembuangan undinya bertukar ke sebuah sekolah di Endau, Johor!

PRU DAN MEDIA

Isu media tidak akan habis diperkatakan. Sama ada melingkungi tujuan dan garis etika mahupun peranannya dalam kehidupan. Dalam Pilihanraya kali ini, medium dan perantaraan media digunakan dengan semaksimum mungkin oleh parti yang bertanding. Ini termasuklah media cetak, elektronik, blog, laman sesawang dan juga bahan multimedia kreatif turut juga dihasilkan. Seperti juga halnya, media harus juga melakukan muhasabah. Penganalisa politik menyatakan antara sebab kekalahan dan juga kemenangan sesebuah parti adalah disebabkan oleh media. Kemenangan mungkin disebabkan laporan dan juga isu-isu yang menarik hati pengundi berjaya dicanai dan diwar-warkan dengan baik. Kekalahan pula mungkinlah disebabkan isu lapuk yang sering diputar-putarkan menyebabkan pengundi berasa muak dan cuak. Selain dari itu, penting untuk dicermati bahawa media haruslah tidak mengamalkan sikap berat sebelah yang keterlaluan. Isu-isu sensitif seperti isu-isu di antara agama malahan kaum tidak wajar diapi-apikan di dalam media. Janganlah kerana memenuhi tuntutan dan kepuasan pihak-pihak tertentu, masa depan dan kesejahteraan Malaysia akan tergugat. Ambillah iktibar dari sejarah!


PRU DAN PARTI

Apalah erti PRU tanpa parti yang bertanding? Selepas PRU ini, kita melihat pelbagai fenomena yang berlaku. Ada yang sedih, ada yang gembira, tidak kurang juga yang mahu melakukan muhasabah dan pembaikian. Ya, sememangnya semua parti yang bertanding haruslah melakukan post-mortem dan muhasabah. Kaji apakah faktor kemenangan dan kekalkan malah pertingkatkan! Kaji faktor kekalahan dan baikilah malah singkirkan! Teruslah berusaha untuk berjuang di jalan masing-masing yang diyakini dari hati. Penting juga pada setiap figure dan pemimpin parti masing-masing untuk membaiki kekhilafan dan akhlak diri kerana kadangkala maruah dan view masyarakat pada sesebuah parti terletak pada batang tubuh teraju utamanya. Malahan, penting juga untuk ahli-ahli dan penyokong sesebuah parti supaya tidak fanatik mebabi buta dalam memperjuangkan fahaman masing-masing. Janganlah kerana ini semua masa depan dan keamanan Malaysia yang kita cintai tergadai!


PRU DAN DEMOKRASI

MANDAT PERLU DIHORMATI OLEH SEMUA. Ini merupakan saranan Profesor Diraja Ungku Aziz sendiri, malahan merupakan saranan dan pandangan rakyat-rakyat yang faham akan sebuah makna pada kata ‘DEMOKRASI’. Justeru, pandangan beliau selaku tokoh ilmuwan dan pemikir Malaysia sangat wajar dicermati oleh semua rakyat Malaysia; sama ada pemimpin mahupun orang awam. Beliau melihat keputusan PRU yang menyaksikan kemaraan parti pembangkang sebagai pembukaan sebuah buku baru. Kata beliau, “Situasi berkenaan menunjukkan kuasa sebenar terletak di tangan masyarakat sekaligus ia harus dihormati dan difahami sebaik mungkin. Perubahan ini juga membawa maksud kita perlu melihat pelbagai kemungkinan selain menyelami kehendak masyarakat yang inginkan perubahan.” Pointnya cukup mudah. Biarkan parti yang diberi mandat menjayakan agenda masing-masing, bukannya sibuk menyerang dari pelbagai sudut kerana tidak puas hati dan demi kepentingan sendiri!


Konklusinya, suara rakyat memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara. ANDALAH RAKYAT ITU. Lebih dari itu, kita selaku umat Islam perlu bersatu demi agama dan bangsa kita. Kita melihat kesatuan DAP sehingga mampu menawan sebuah pulau. Justeru, SEDARLAH WAHAI UMAT ISLAM, BANGKITLAH DAN BERSATULAH!

You Might Also Like

0 comments

MY INSTAGRAM @syahadatulhafizah

Subscribe