AKU & DUNIA LELAKI

by - June 11, 2008


Boleh dikatakan aku membesar dalam dunia lelaki. Lahir sahaja aku disambut gembira oleh abahku. Juga oleh abang sulungku yang ketika itu berumur hampir dua tahun. Muhammad Hafiz namanya.
Aku membesar dengan abangku. Kemudian, di waktu umurku dua tahun lebih, aku mendapat seorang adik. Abdul Hakim Fikri namanya. Berkawanlah aku dengan mereka.
Sampai umurku kira-kira 5 tahun, aku mendapat lagi seorang adik yang comel. Emakku mengharapkan anak perempuan di kala itu. Tapi ternyata anak lelaki. Di waktu ini, aku sudah boleh ingat perkara yang berlaku. Dia dilahirkan di rumah nenekku. Waktu itu kami pulang ke kampung. Dia diberi nama Ahmad Akmal.
Ketika darjah dua, aku mendapat lagi adik. Sungguh gembira rasanya. Ketika itu aku tinggal di Kg Bukit Chenda, Gunong, Kelantan dan bersekolah di SK Gunong. Adikku diberi nama Muhammad Arif.
Dan ketika ku di tahun 4, iaitu ketika ku berumur 10 tahun, aku mendapat seorang lagi adik. Ketika ini, ku kira emakku benar-benar inginkan anak perempuan. Waktu itu aku tidur nyenyak, dan bangun sahaja pukul 5 pagi, aku mendapati aku sudah mempunyai adik baru! Dan ternyata juga seorang lelaki! Ayahku ingin meletakkan namanya Nur, biar lengkap semua. Ada Muhammad, Abdul, Ahmad dan Nur. Tapi, ayahku masih ingin meletakkan nama Nabi. Justeru, aku mencadangkan nama Adam. Justeru, abah memberikan namanya, Nur Adam Azami. Kami memanggilnya dengan nama manja “Ami”, tapi kawan-kawan dan gurunya memanggilnya Adam.
Aku juga mempunyai beberapa orang bapa saudara yang masih muda. Ada yang berumur 29 tahun, 27 tahun dan juga 24 tahun. Mereka inilah juga yang menjadi kawanku semasa aku tinggal di rumah nenek dahulu.
Kenangan itu sudah lama berlalu. Mengenai nama aku pula, ketika aku dilahirkan, ayahku memberikan nama ini. Syahadatul Hafizah. Ketika itu kami tinggal berdekatan pondok. Tempat abahku menadah kitab dan solat berjemaah. Lalu dia merujuk kepada seorang tok guru di pondok itu. Tok Guru itu berkata, nama itu baik dan sesuai.
Alhamdulillah, Allah mengurniakan aku keluarga ini. Keluarga yang baik, mesra dan memahami. Akan kubawa mereka dalam hatiku walau ke mana sahaja aku pergi. Moga Allah rahmati dan berkati ikatan ini. Ikatan darah dan aqidah Islami.
Justeru, aku hidup dalam dunia lelaki. Mencuba memahami mereka, melayan kerenah mereka dan bersabar dengan mereka. Ternyata menjadi lelaki juga seronok. Menjadi wanita juga tak kurang hebatnya. Dengan syarat, kita insaf dengan asal kejadian kita, dan ke mana kita akan dikembalikan. Juga memahami dan memaknakan diri pada suatu gelaran bernama ‘lelaki’ atau ‘wanita’.
Surah Ali-Imraan, ayat 195,
“....Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebagian yang lain...”
** maksudnya sebagaimana laki-laki berasal dari laki-laki dan perempuan, Maka demikian pula halnya perempuan berasal dari laki-laki dan perempuan. kedua-duanya sama-sama manusia, tak ada kelebihan yang satu dari yang lain tentang penilaian iman dan amalnya **
Surah al-Hujuraat, ayat 13,
“... Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal...”
Pengamatanku sepanjang aku mengenali dunia lelaki ini, mungkin betul mungkin salah. Jika salah tolong betulkan.


1) Mereka tak suka benda yang kompleks dan menyerabutkan
2) Sukar menzahirkan perasaan dengan kata-kata
3) Suka kalau orang tolong basuh baju & basuh pinggan kat dia =P
4) Gila bola sepak & sukan
5) Ego agak tinggi
6) Kecik-kecik suka kartun dan komik. Dah besar pun suka jugak kot.
7) Serabutnya bilik diorang! Hehe..


Sebenarnya banyak lagi. Tapi tak usahlah sebutkan banyak-banyak. Biarlah aku simpan sendiri.
Sekarang musim EURO 2008. Gitulah, tiap-tiap musim bola akan adalah jadual penuh perlawanan akan bertampal di dinding rumahku. Akan ditanda pula usai perlawanan. Belum dikira bangun berjaga tengok bola dan bersorak ramai-ramai. Fuhh.. Justeru, aku bukanlah setakat mengenali muka-muka hensem pemain bola seperti Christiano Ronaldo, David Beckham, Michael Owen, Michael Ballack dan Miroslav Klose. Tapi ada lagi Nistelrooy, Torres, Senna, Podolski yang cemerlang baru-baru ni, Shearer, Ronaldo, Rivaldo, Romario, Zidane dll..
Juga timbunan buku komik di rumahku. Dari kecil kami suka baca Doraemon. Abangku selalu beli masa kecil-kecil dulu. Sekarang adikku baca Naruto pula. Dan juga Gempak & Kreko. Lalu menjadi kenallah aku akan Kakashi, Sakura, Hinata. Juga Alfonso dan Edward sang alkimia.
Justeru, aku kurang berminat mengenali lelaki-lelaki lain di luar sana. Cukuplah mereka-mereka yang kukenali sekarang. Sampai suatu saat yang pasti.. Aku juga agak sukar untuk mengongsi rahsia hatiku kerna sudah terbiasa begitu. Walau ku ketawa di luar tapi mungkin hatiku gerimis.. Siapa tahu.. Aku juga lebih suka berdikari..juga mungkin kerana sudah terbiasa begitu.. Yang pastinya, menjadi anak perempuan tunggal juga seronok bangat!

You May Also Like

0 Comments