Jangan Perjudikan Masa Depan Ummah

by - January 31, 2008


Isu tentang Komponen Sastera hangat diperkatakan sekarang. Asalnya, saya mula mendengar berita ini dari seorang rakan saya kerana kebetulan saya tidak berkesempatan untuk membaca akhbar pada hari itu.

Setelah diterangkan oleh sahabat saya, saya sudah rasa tidak sedap hati. Setelah saya menyemaknya di akhbar dan internet, perasaan saya bertambah aneh. Aneh dengan ‘perancangan jangka panjang’ ini. Aneh dengan hasil ‘hasil brainstorm’ ini. Aneh dengan suatu kenyataan bahawa ‘sesingkat ini kita berfikir dalam suatu rangka untuk membina ummah dan generasi muda’.

Memang benar, hujahnya sebegitu; kerana pengisian komsasnya adalah agak berat dan menjemukan. Saya membaca ‘Di Sebalik Pulau’, juga ‘Putera Gunung Tahan’ dan ‘Terminal Tiga’, namun rasa jemu itu terkadang datang. Cuma yang membuat saya teruja sedikit adalah apabila membaca novel ‘Seteguh Karang’ dan juga ‘Julia’.

Kerana apa ya? Mungkin kerana terdapat elemen cinta di dalam novel itu. Cinta antara lelaki dan perempuan. Memang, fitrah anak muda, dan lebih-lebih lagi adik-adik di hujung bangku sekolah menangah. Rasa cinta itu mendamaikan, rasa rindu itu mengujakan dan rasa sayang itu mengindahkan. Justeru, bacaannya juga lebih santai dan otak tidak diperah-perah untuk langsung membacanya dan menghabiskannya hingga ke nokhtah akhir.

Namun, untuk mereka berandaian begitu, lantas membuat kesimpulan bahawa di dalam pembelajaran Komsas harus ada elemen sebegitu, justeru buku-buku umpamanya karya Ahadiat Akasyah dipilih untuk menggantikan apa yang kononnya dikatakan berat dan menjemukan itu adalah tidak wajar malah boleh dikatakan tidak masuk akal sama sekali.
Saya tumbuh membesar dengan buku-buku karya Ahadiat Akasyah umpamanya. Sepertinya ‘Lagenda Budak Setan’, ‘Awek Cun’ dan beberapa lagi antaranya yang saya tidak ingati, mungkin kerana memori sel otak saya sendiri yang ingin memadamnya. Di kala itu saya membacanya mungkin kerana untuk mengisi masa lapang, lagipula hobi membaca novel dan buku-buku telah disemai oleh abah semenjak saya kecil lagi. Saya dan rakan-rakan sering bertukar-tukar buku novel, sehinggalah pada suatu masa.

Suatu masa yang telah mengubah paradigma saya, iaitulah ketika saya di Tingkatan Empat dan Lima (ketika saya di Menengah Rendah, Komsas belum diperkenalkan) . Hasil pengajaran dan pembelajaran Komsas, dengan perincian yang mendalam meliputi watak dan perwatakan, nilai dan pengajaran dan sebagainya, membuat saya membuka mata bahawa sesungguhnya sesuatu novel dan karya sastera yang bermutu bukan hanya terlekat pada suatu jalur yang linear. Ia adalah suatu gedung yang memberi mileage pada pembangunan ummah.

Justeru, saya sudah meninggalkan buku-buku genre ‘santai-santai’, atau genre ‘picisan’. Biarkan saja! Biarkan anak-anak itu tumbuh dengan menjadi pemikir yang dalam. Biar mereka memikirkan tentang masalah ummat, masalah dunia sekarang, kerana sesunggunya mereka akan mewarisi dunia ini suatu masa nanti.

Mungkin benar, novel-novel Komsas patut ditukar, mungkin 5 tahun sekali; tetapi dengan novel-novel yang memberi pembangunan kendiri, bukannya yang berbentuk ringan-ringan dan suka-suka buat melepaskan kelelahan hati, kepenatan dalam memahami suatu nilai estetika karya sastera dan seni atau rasa capek dalam belajar di kelas sehari-hari. Bukan! Bukan pada Komsas, bukan pada Subjek Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu?). Jangan jadikan ia eksperimen. Bahasa ini sudah tenat!

Konflik pemerintah dan sasterawan? Ah.. itu biasa terjadi dalam sejarah dunia. Biarkan saja. Sasterawan punyai idealisma dan fikrah tersendiri, dan mereka justeru mahu menyampaikan gagasan pemikiran itu pada masyarakat. Jika ‘tidak kena’ dengan kemahuan pemerintah ia bisa jadi celaru, jika tidak mengikut selera pihak tertentu pula, akan ada saja yang berkokok belakang. Ditambah pula dengan jarangnya apresiasi (sama ada penghargaan/pingat apatah lagi wang) yang diterima oleh sasterawan, ibaratnya menunggu bulan jatuh ke riba, maka kumpulan sasterawan ini pada pandangan saya, secara kesimpulannya adalah dapat disifatkan sebagai ‘pihak yang terdera di arus globalisasi dan hedonisasi’. Tapi tidak mengapa wahai soff sasterawan, jangan kalian luntur semangat! Yang penting kita ikhlas dalam memurnikan perjuangan. Selainnya serahkan saja pada Allah. Doakan saya agar bisa turut berkumpul bersama kalian buat memacu perjuangan melalui penulisan.

Sekarang saya meminati karya-karya dan novel Islami yang membangun peribadi. Ia luhur dan tersendiri kerana ia datang dari hati langsung masuk ke hati. Karya-karya umpama Habiburrahman El-Shirazy dan juga beberapa penulis muda Indonesia lain begitu menggugah hati. Di mana orang-orang Malaysia dalam genre sebegini??

Justeru saya berpesan lagi, jangan bunuh anak-anak muda itu dari dalam dengan menyuguhkan pemikiran picisan, pemikiran tidak kritis dan santai-santai sahaja. Dan lebih dari itu, saya tidak sanggup untuk biarkan adik-adik saya terlibat dalam hal ini, dan juga generasi-generasi masa depan yang saya sandarkan harapan tulus saya pada mereka. Jangan jadikan mereka bahan eksperimen!

Wallahu a’lam.

You May Also Like

0 Comments