facebook google twitter tumblr instagram linkedin
  • Home
  • Travel
  • Life Style
    • Category
    • Category
    • Category
  • About
  • Contact
  • Download

Inspirasi Syahadah

Everyday is a miracle :)

Pilihan Raya Umum Malaysia sudahpun berakhir kira-kira seminggu yang lalu namun bahangnya masih pijar terasa sehingga kini. PRU ke-12 pada tahun 2008 ini dilihat sebagai satu pilihanraya yang mencatat sejarah besar dalam takwim negara merangkumi peristiwa suka duka yang berlaku dan juga siri-siri keputusan yang diterima. Di kala ini, semua pihak seharusnya tidak menuding jari pada sesiapa, malahan koreksi dan juga muhasabah wajar dilakukan bersama-sama oleh semua demi masa depan Malaysia yang terjamin.


PRU DAN SPR

SPR seperti yang kita sedia maklum merupakan satu entiti yang menaungi sistem demokrasi berpilihanraya itu sendiri. Justeru, SPR perlulah beramal dengan etika-etika yang telah digariskan. Ia juga harus tidak mudah disogokkan oleh siapa-siapa malah jatidiri dan prinsip serta asas integriti kejap didokong oleh mereka demi sebuah pilihanraya yang adil dan telus. Namun begitu, SPR haruslah mendengar, mengambil kira dan menimbangkan tuntutan dan permintaan semua parti-parti yang bertanding asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip SPR. Jikalau ia baik demi pembaikian demokrasi maka ia wajar dilakukan.. Selain itu, SPR juga haruslah fokus dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Umpamanya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan pengundi muda yang dapat mengundi supaya mendaftar dan seterusnya memastikan nama-nama pengundi tidak tercicir dari pengkalan data. Kes yang amat pelik banyak terjadi umpamanya seorang warga emas Malaysia yang sudah pun biasa mengundi di tempat yang sama iaitu sebuah sekolah di Bandar, Terengganu sebanyak 3 atau 4 kali akan tetapi pada PRU ini tempat pembuangan undinya bertukar ke sebuah sekolah di Endau, Johor!

PRU DAN MEDIA

Isu media tidak akan habis diperkatakan. Sama ada melingkungi tujuan dan garis etika mahupun peranannya dalam kehidupan. Dalam Pilihanraya kali ini, medium dan perantaraan media digunakan dengan semaksimum mungkin oleh parti yang bertanding. Ini termasuklah media cetak, elektronik, blog, laman sesawang dan juga bahan multimedia kreatif turut juga dihasilkan. Seperti juga halnya, media harus juga melakukan muhasabah. Penganalisa politik menyatakan antara sebab kekalahan dan juga kemenangan sesebuah parti adalah disebabkan oleh media. Kemenangan mungkin disebabkan laporan dan juga isu-isu yang menarik hati pengundi berjaya dicanai dan diwar-warkan dengan baik. Kekalahan pula mungkinlah disebabkan isu lapuk yang sering diputar-putarkan menyebabkan pengundi berasa muak dan cuak. Selain dari itu, penting untuk dicermati bahawa media haruslah tidak mengamalkan sikap berat sebelah yang keterlaluan. Isu-isu sensitif seperti isu-isu di antara agama malahan kaum tidak wajar diapi-apikan di dalam media. Janganlah kerana memenuhi tuntutan dan kepuasan pihak-pihak tertentu, masa depan dan kesejahteraan Malaysia akan tergugat. Ambillah iktibar dari sejarah!


PRU DAN PARTI

Apalah erti PRU tanpa parti yang bertanding? Selepas PRU ini, kita melihat pelbagai fenomena yang berlaku. Ada yang sedih, ada yang gembira, tidak kurang juga yang mahu melakukan muhasabah dan pembaikian. Ya, sememangnya semua parti yang bertanding haruslah melakukan post-mortem dan muhasabah. Kaji apakah faktor kemenangan dan kekalkan malah pertingkatkan! Kaji faktor kekalahan dan baikilah malah singkirkan! Teruslah berusaha untuk berjuang di jalan masing-masing yang diyakini dari hati. Penting juga pada setiap figure dan pemimpin parti masing-masing untuk membaiki kekhilafan dan akhlak diri kerana kadangkala maruah dan view masyarakat pada sesebuah parti terletak pada batang tubuh teraju utamanya. Malahan, penting juga untuk ahli-ahli dan penyokong sesebuah parti supaya tidak fanatik mebabi buta dalam memperjuangkan fahaman masing-masing. Janganlah kerana ini semua masa depan dan keamanan Malaysia yang kita cintai tergadai!


PRU DAN DEMOKRASI

MANDAT PERLU DIHORMATI OLEH SEMUA. Ini merupakan saranan Profesor Diraja Ungku Aziz sendiri, malahan merupakan saranan dan pandangan rakyat-rakyat yang faham akan sebuah makna pada kata ‘DEMOKRASI’. Justeru, pandangan beliau selaku tokoh ilmuwan dan pemikir Malaysia sangat wajar dicermati oleh semua rakyat Malaysia; sama ada pemimpin mahupun orang awam. Beliau melihat keputusan PRU yang menyaksikan kemaraan parti pembangkang sebagai pembukaan sebuah buku baru. Kata beliau, “Situasi berkenaan menunjukkan kuasa sebenar terletak di tangan masyarakat sekaligus ia harus dihormati dan difahami sebaik mungkin. Perubahan ini juga membawa maksud kita perlu melihat pelbagai kemungkinan selain menyelami kehendak masyarakat yang inginkan perubahan.” Pointnya cukup mudah. Biarkan parti yang diberi mandat menjayakan agenda masing-masing, bukannya sibuk menyerang dari pelbagai sudut kerana tidak puas hati dan demi kepentingan sendiri!


Konklusinya, suara rakyat memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara. ANDALAH RAKYAT ITU. Lebih dari itu, kita selaku umat Islam perlu bersatu demi agama dan bangsa kita. Kita melihat kesatuan DAP sehingga mampu menawan sebuah pulau. Justeru, SEDARLAH WAHAI UMAT ISLAM, BANGKITLAH DAN BERSATULAH!

March 14, 2008 No Comments
Assalamualaikum awal kalam..
Tentu antum antunna sudah dapat menanggapi hal dari tajuk ini.

Ya, Malaysia mempunyai satu hari raya yang disambut empat tahun sekali.
Amat rugi malahan sebenarnya tidak wajar jika kita selaku rakyat Malaysia tidak mengambil endah akan hal ini. Hari raya katakan... :)

Untuk memilih siapa yang terbaik tentunya bukan satu hal yang mudah. Setiap orang haruslah berfikir sedalam-dalamnya dan secermat-cermatnya kerna walau hanya dengan satu undi ia mampu pula untuk menentukan jatuh bangun negara kita, malah mampu juga mempengaruhi masa depan orang lain.

Saya sendiri tidak dapat bertanding..ops silap..tidak dapat membuang undi kerana 30/12 tahun lalu baru genap umur 21 tahun. Justeru, nama tidak ada dalam daftar pemilih. Agak terkilan juga, maklumlah..umpamanya makanan sudah di depan mata tapi tidak boleh pula untuk menikmatinya..

Apapun, saya redha sahaja. Dan Insya Allah, saya akan turut sama mengundi pada election seterusnya. Harap saya akan buat pilihan yang tepat, demi masa depan ummah!
Dan itu juga seruan saya pada rakyat Malaysia yang dicintai sekalian, khususnya rakan mahasiswa mahasiswi. Sekali lagi, VOTE FOR RIGHT SIDE.. WHO??-It's in YOUR HEAD! and apply it IN YOUR HAND!

_WASSALAM WBT_


February 24, 2008 No Comments

Salam buat semua..

Mengenangkan Adik Sharlinie dan apatah lagi adik Nurin, hati saya sebak. Ya, memang benar.

Mengenangkan mata yang bening dan wajah yang polos, hati saya keharuan. Mengingati derita dan air mata ibu, hati bergetar.. dan mengimbau wajah sugul si ayah, hati saya kesedihan.

Siapa tidak sedih kehilangan seseorang yang disayangi? Apatah lagi seseorang yang menjadi bukti cinta abadi. Dengan wajah yang comel dan keletah yang menghiburkan hati. Semalam baru ia tertawa dan hari ini dia sudah pergi.

Saya berdoa agar Adik Sharlinie ditemukan kembali Insya Allah. Malah, seluruh Malaysia juga berharap begitu. Kemuncak kesedihan dan keharuan saya bila kes adik Nurin dahulu. Ketika saya di kampung dahulu, belajar dan 'terjaga' di persekitaran asrama, saya tentunya jarang menyaksikannya dengan nyata. Maksud saya, saya hanya terbaca berita-berita tentang sesuatu, hanya di akhbar.

Ketika saya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, ia semakin nyata. Ini bumi yang penuh cabaran! Saat saya menunggu LRT di suatu stesen, saya terbacanya. Iklan tentang Nurin! Dan saat itu juga, hati bergetar hebat dan mata terasa panas. Ada air yang ingin mengalir. Ayat merayu pada orang ramai menggambarkan sejuta harapan ibu dan ayah. Dan kes adik Sharlinie. Bukan tidak sering saya melalui tol-tol dan diedarkan poster melalui tingkap kereta. Dan sungguh membaca tentang ayah dan ibu Sharlinie yang hampir setiap malam meronda dengan motosikal meredah kegelapan malam mencari wajah anak tersayang, sungguh hatiku gerimis!

Ya ALLAH.. selamatkan kami.. selamatkan umat Islam.. selamatkan warga Malaysia.. selamatkan bumi Malaysia. Maafkan kami dan ampunkan kami... Berikanlah yang terbaik buat kami.. Selama-lamanya..
February 14, 2008 No Comments

Isu tentang Komponen Sastera hangat diperkatakan sekarang. Asalnya, saya mula mendengar berita ini dari seorang rakan saya kerana kebetulan saya tidak berkesempatan untuk membaca akhbar pada hari itu.

Setelah diterangkan oleh sahabat saya, saya sudah rasa tidak sedap hati. Setelah saya menyemaknya di akhbar dan internet, perasaan saya bertambah aneh. Aneh dengan ‘perancangan jangka panjang’ ini. Aneh dengan hasil ‘hasil brainstorm’ ini. Aneh dengan suatu kenyataan bahawa ‘sesingkat ini kita berfikir dalam suatu rangka untuk membina ummah dan generasi muda’.

Memang benar, hujahnya sebegitu; kerana pengisian komsasnya adalah agak berat dan menjemukan. Saya membaca ‘Di Sebalik Pulau’, juga ‘Putera Gunung Tahan’ dan ‘Terminal Tiga’, namun rasa jemu itu terkadang datang. Cuma yang membuat saya teruja sedikit adalah apabila membaca novel ‘Seteguh Karang’ dan juga ‘Julia’.

Kerana apa ya? Mungkin kerana terdapat elemen cinta di dalam novel itu. Cinta antara lelaki dan perempuan. Memang, fitrah anak muda, dan lebih-lebih lagi adik-adik di hujung bangku sekolah menangah. Rasa cinta itu mendamaikan, rasa rindu itu mengujakan dan rasa sayang itu mengindahkan. Justeru, bacaannya juga lebih santai dan otak tidak diperah-perah untuk langsung membacanya dan menghabiskannya hingga ke nokhtah akhir.

Namun, untuk mereka berandaian begitu, lantas membuat kesimpulan bahawa di dalam pembelajaran Komsas harus ada elemen sebegitu, justeru buku-buku umpamanya karya Ahadiat Akasyah dipilih untuk menggantikan apa yang kononnya dikatakan berat dan menjemukan itu adalah tidak wajar malah boleh dikatakan tidak masuk akal sama sekali.
Saya tumbuh membesar dengan buku-buku karya Ahadiat Akasyah umpamanya. Sepertinya ‘Lagenda Budak Setan’, ‘Awek Cun’ dan beberapa lagi antaranya yang saya tidak ingati, mungkin kerana memori sel otak saya sendiri yang ingin memadamnya. Di kala itu saya membacanya mungkin kerana untuk mengisi masa lapang, lagipula hobi membaca novel dan buku-buku telah disemai oleh abah semenjak saya kecil lagi. Saya dan rakan-rakan sering bertukar-tukar buku novel, sehinggalah pada suatu masa.

Suatu masa yang telah mengubah paradigma saya, iaitulah ketika saya di Tingkatan Empat dan Lima (ketika saya di Menengah Rendah, Komsas belum diperkenalkan) . Hasil pengajaran dan pembelajaran Komsas, dengan perincian yang mendalam meliputi watak dan perwatakan, nilai dan pengajaran dan sebagainya, membuat saya membuka mata bahawa sesungguhnya sesuatu novel dan karya sastera yang bermutu bukan hanya terlekat pada suatu jalur yang linear. Ia adalah suatu gedung yang memberi mileage pada pembangunan ummah.

Justeru, saya sudah meninggalkan buku-buku genre ‘santai-santai’, atau genre ‘picisan’. Biarkan saja! Biarkan anak-anak itu tumbuh dengan menjadi pemikir yang dalam. Biar mereka memikirkan tentang masalah ummat, masalah dunia sekarang, kerana sesunggunya mereka akan mewarisi dunia ini suatu masa nanti.

Mungkin benar, novel-novel Komsas patut ditukar, mungkin 5 tahun sekali; tetapi dengan novel-novel yang memberi pembangunan kendiri, bukannya yang berbentuk ringan-ringan dan suka-suka buat melepaskan kelelahan hati, kepenatan dalam memahami suatu nilai estetika karya sastera dan seni atau rasa capek dalam belajar di kelas sehari-hari. Bukan! Bukan pada Komsas, bukan pada Subjek Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu?). Jangan jadikan ia eksperimen. Bahasa ini sudah tenat!

Konflik pemerintah dan sasterawan? Ah.. itu biasa terjadi dalam sejarah dunia. Biarkan saja. Sasterawan punyai idealisma dan fikrah tersendiri, dan mereka justeru mahu menyampaikan gagasan pemikiran itu pada masyarakat. Jika ‘tidak kena’ dengan kemahuan pemerintah ia bisa jadi celaru, jika tidak mengikut selera pihak tertentu pula, akan ada saja yang berkokok belakang. Ditambah pula dengan jarangnya apresiasi (sama ada penghargaan/pingat apatah lagi wang) yang diterima oleh sasterawan, ibaratnya menunggu bulan jatuh ke riba, maka kumpulan sasterawan ini pada pandangan saya, secara kesimpulannya adalah dapat disifatkan sebagai ‘pihak yang terdera di arus globalisasi dan hedonisasi’. Tapi tidak mengapa wahai soff sasterawan, jangan kalian luntur semangat! Yang penting kita ikhlas dalam memurnikan perjuangan. Selainnya serahkan saja pada Allah. Doakan saya agar bisa turut berkumpul bersama kalian buat memacu perjuangan melalui penulisan.

Sekarang saya meminati karya-karya dan novel Islami yang membangun peribadi. Ia luhur dan tersendiri kerana ia datang dari hati langsung masuk ke hati. Karya-karya umpama Habiburrahman El-Shirazy dan juga beberapa penulis muda Indonesia lain begitu menggugah hati. Di mana orang-orang Malaysia dalam genre sebegini??

Justeru saya berpesan lagi, jangan bunuh anak-anak muda itu dari dalam dengan menyuguhkan pemikiran picisan, pemikiran tidak kritis dan santai-santai sahaja. Dan lebih dari itu, saya tidak sanggup untuk biarkan adik-adik saya terlibat dalam hal ini, dan juga generasi-generasi masa depan yang saya sandarkan harapan tulus saya pada mereka. Jangan jadikan mereka bahan eksperimen!

Wallahu a’lam.
January 31, 2008 No Comments

Memanusiakan rakyat seharusnya diambil cakna oleh mereka yang masih boleh mendengar, yang terang matanya dan bersih hatinya. Dalam menentukan arah penujuan bangsa, keputusan penubuhan parti mahasiswa yang diambil oleh lapisan komuniti mahasiswa wajar dipandang dan di bincang serius. Di bincang serius bukan untuk membunuh watak , di bincang serius bukan untuk diancam dan di bincang serius bukan untuk di peleceh watak mahasiswa yang penuh idealisme, tetapi di bincang serius bagi memberikan ruang yang lebih adil dan bermakna buat memanusiakan manusia. Kerana kita percaya dan yakin inilah generasi yang bakal berdiri pada ketika terbit fajar 2020.

Kita melihat, rakyat juga melihat kewajaran hasrat mahasiswa untuk menubuhkan Parti Mahasiswa Nasional (PMN). Kata-kata ancaman untuk menggunakan AUKU adalah kata-kata orang yang angkuh dan sombong. Selagi ada pihak yang memandang sebelah mata terhadap mahasiswa, selagi itu mereka buta. Buta mata mereka, pekak telinga mereka dan cacat anggota mereka. Adakah mereka tidak reti untuk mendengar? Adakah mereka tidak reti untuk melihat? Dan adakah mereka tidak reti –reti untuk berfikir?

Jangan dipandang mahasiswa sebelah mata. Di tangan mahasiswa akan ditentukan wawasan 2020 itu. Di tangan mahasiswa akan ditentukan arah tuju bangsa kita. Jika tidak masakan yang di atas begitu sibuk memantau. Merekalah generasi yang akan membina wawasan itu. Maka jangan runtuhkan mereka dengan pendekatan yang tidak membina dan busuk. Jangan runtuhkan mereka dengan menyempitkan ruang. Jangan sempitkan mereka dengan ugutan dan ancaman. Kelak nanti rosak bangsa kita! Biarkan mereka belajar, biarkan mereka rasai sendiri awalan politik itu dalam kelompok mereka. Apa salahnya untuk mereka menerjah kepada politik luar setalah sekian lama bergelumang dengan politik kampus. AUKU yang ada ibarat gari dalam rumah sendiri. Jangan gari mahasiswa kita, bebaskan mereka, nanti mereka tahu menang kalahnya dalam pilihan raya. Di saat yang di atas sekarang memandang sebelah mata, mereka sebenarnya lupa, pada terbit fajar 2020 kelak, yang ada di atas ini akan merangkak di sana penuh dengan tidak berdaya, tetapi mahasiswa akan bisa berlari pada waktu fajar itu mencerah untuk pagi 2020. Yang tutup sebelah mata maka mereka buta dan akan terhegeh-hegeh pada fajar itu menyingsing tatkala mahasiswa berupaya untuk mendepani dan melihat zaman itu. Mahasiswa perlu didamping, ajak mereka berdamping bukan untuk membodek, tapi ajak mereka berdamping dengan berikan mereka ruang buat memanusiakan diri.

Bukankah PMN itu merupakan didikan awal! Adakah perlu dibunuh platform didikan awal dengan AUKU seperti kuku kejam itu? Adakah tidak perlu tadika untuk politik? Kalau dalam politik tidak boleh kepada tadika, tutup sahaja tadika, kemas, pasti dan taksi yang ada! Apakah takut dengan tadika?apakah takut dengan yang mahu masuk tadika? Apakah level orang yang takut ini? Adakah mereka tidak pernah pergi tadika? Apakah seksyen 15 tidak punyai kontradiksinya dengan Perlembagaan? Di tambah pula para doktorat di kampus yang tidak tahu untuk mengkhabarkan kepada bapak menteri apakah keperluan sebenar mahasiswa! Kenapa takut dengan gagasan idea penubuhan Parti Mahasiswa Nasional (PMN)? Yang takut hanya yang buat dosa. Dosa ada pada bahu mereka, dosa ada pada belakang mereka dan dosa ada di kiri kanan mereka!. Kalau banyak dosa di kiri kanan kelibat sendiripun kita gerun.Apatah lagi kelibat orang lain. Kalu tidak ada dosa dan salah, berikan ruang pada mahasiswa untuk berpolitik dipencak perdana. Jangan sesekali kita kritik kerana kita takut. Tapi kita kritiklah kerana benar. Katakan Tidak pada untuk menghalang platform pendidikan awal politik terhadap mahasiswa ini. PMN adalah platformnya.

Berikan mereka ruang. Jangan miskinkan mahasiswa dengan ruang! Adakah sudah miskin dan tidak punyai apa-apa untuk yang di atas sehingga tidak sanggup untuk memberi kepada mahasiswa ruang! Mereka bukan minta wang tetapi yang diminta ialah ruang?Adakah sudah tidak cukup luas bilik di Putrajaya untuk mentamakkan seseorang bagi tidak memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menubuhkan parti?

Jika benar PMN mengancam keselamatan negara, tangkap sahaja mereka!jangan sekadar buang universiti, masukkan mereka ke dalam ISA, sumbat mereka ke dalam! Tapi jikalau sekadar hanya tidak mahu status qou tercalar, bukalah ruang buat mahasiswa berbicara dalam platform yang lebih baik. Biarkanlah mahasiswa menubuhkan parti, biarkanlah mahasiswa bertanding dalam pilihan raya, biarlah jikalau mereka menang ada wakil mereka dalam Parlimen, tidak ada salahnya, jika mereka tidak reti-reti buat kerja, maka tahulah rakyat mahu kerjakan mereka! Maka tahulah rakyat mahu mengajar mereka maka barulah terbukti benar hujah bapak menteri yang ada sekarang.

Ini bukan gimik politik, buat teman mahasiswa, jika mahu tubuh parti pastikan agenda rakyat jadi agenda parti, jika mahu bertanding, maka jadilah calon yang dalam mimpi dan nyata memikirkan tentang soal rakyat!

Bijak bukan untuk menunjuk, berani bukan untuk bergaduh, jalannya biarkan mahasiswa menubuhkan parti dan bertanding. Buat apa mahu takut? Mahasiswa yang ada ini bakal berada pada garisan wawasan 2020 dan selepasnya. Kalau mereka terus dimiskinkan ruang, maka apa lagi yang mahu kita harapkan daripada generasi pada garisan itu. Kaya ruang mereka, kayakan minda dan jiwa mereka. Pada ketika mereka ini kaya, mereka yang lain juga akan lebih kaya dan masyarakat kita akan lebih ada penujuannya dan aturannya. Lepasan garisan 50 tahun kemerdekaan akan diisi oleh golongan mahasiswa dan anak muda yang boleh berdiri penuh iltizam dan hasrat untuk melihat bangsanya maju, makmur dan ada arahnya. Penubuhan parti mahasiswa jika dapat direalisasi akan menjadi kayu ukur iltizam dan semangat mereka untuk membentuk masyarakat. Jangan sekat ruang untuk kita sendiri mengukur iltizam mereka! Salam Perjuangan. Pemberian ruang inilah yang akan lebih memanusiakan rakyat. Ruang buat akal, jiwa, pemikiran dan akhlak mereka.

Mohd Nazree Mohd Yunus
-dipetik dari http://www.umno-reform.com/-
January 30, 2008 No Comments

 
Ibu bapa jauh di kampung
membuatkan penuntut, pelajar bebas bergaul hingga terjebak dalam gejala sosial

PANTAI Dalam dan Kampung Kerinchi, antara penempatan yang menjadi tumpuan penduduk Melayu di Kuala Lumpur. Hasil pembangunan pesat, kedua-dua kawasan ini dipenuhi rumah pangsa dan kondominium yang sebahagian daripadanya disewa oleh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).Mereka tinggal menyewa beramai-ramai dan berkongsi kenderaan ke kuliah. Oleh kerana ibu bapa jauh di kampung, mereka bebas bergaul hingga ada yang terbabas kepada gejala sosial dan moral.Masih ingat lagi insiden berasmara di tangga rumah pangsa? Di situlah kejadian ini berlaku. Malah, bukan kes itu saja, banyak lagi kes penuntut universiti berasmara di kawasan itu dilaporkan sebelum ini.Topik Universiti Asmara ini dibincangkan dalam Keluarga Di 9 (KD9) pada Rabu lalu bersama pengacara Benjy dan tetamu termasuk Pengetua Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan (Kewaja), Yahaya Mohamed dan Ketua Biro Ikhtisas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Nur Izura Udzir. Turut menjadi tamu ialah pemimpin pelajar, Mohd Zaid Mohd Idrus dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM).“Tak dapat tinggal di kolej atau asrama, mereka memilih untuk tinggal di Universiti Asmara!,” kata Benjy.

Kisah Zara (bukan nama sebenar) menyedarkan banyak pihak mengenai kelonggaran akhlak remaja walaupun mempunyai pencapaian akademik membanggakan.
Zara berasal dari negeri pantai timur dan mengikuti pengajian kejuruteraan, tetapi disebabkan cinta yang berkobar-kobar, sanggup menyerahkan maruah diri kepada lelaki yang dicintainya.
“Cinta kami dihalang oleh ibu bapa saya kerana mahu saya menghabiskan pengajian dahulu walaupun ibu bapa lelaki itu bersetuju saya berkahwin dengannya,” kata Zara kepada wartawan KD9, Sharifah Nur Syed Ali yang menemuinya di Rumah Kewaja.
Zara kini hamil lapan bulan hasil perhubungan intimnya dengan teman lelaki yang kini tidak dapat dihubungi lagi.
Zara berkata, mereka bebas bergaul kerana dia belajar di IPT yang jauh dari kampung halaman. Apabila ibu bapanya mengetahui nasib anak mereka, Zara dihantar ke Kewaja untuk melahirkan bayi yang kemudian akan diserahkan kepada keluarga angkat.

Di Kewaja, rumah perlindungan yang dikendalikan Yahaya dan isterinya, Ruzitah Baharum, Zara dan remaja lain yang hamil daripada perhubungan luar nikah dilatih menguruskan diri dan menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar serta meneruskan kehidupan selepas melahirkan anak.
Bagi Zara, pengajaran daripada episod pahit dalam hidupnya ini akan dijadikan pedoman pada masa depan.

Sementara itu, seorang lagi remaja senasib, Intan (bukan nama sebenar) hamil selepas sebulan berkenalan dengan seorang lelaki ketika dia menuntut di sebuah politeknik di utara tanah air.
“Sejak awal berkenalan lagi, dia memang banyak kali mencuba untuk melakukan hubungan seksual, tetapi saya tidak benarkan. Bagaimanapun, pada satu malam, saya tidak sedar dia memasukkan pil khayal ke dalam makanan saya.
“Dalam keadaan separuh sedar, saya mendapati dia membawa saya ke rumahnya dan apabila saya sedar keesokan harinya, semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Kewaja.
Yahaya berkata, sejak beroperasi pada 2003, lebih 100 penuntut wanita IPT yang hamil luar nikah datang mendapatkan perlindungan di Kewaja.
“Kemunculan remaja hamil luar nikah di rumah Kewaja boleh dikatakan ‘bermusim’. Apabila ada perayaan, misalnya, tahun baru seperti baru-baru ini, beberapa bulan akan datang datanglah mereka ini,” katanya.
Katanya, satu punca gejala ini ialah kejutan budaya penuntut yang datang dari luar bandar. Daripada persekitaran terkongkong, mereka yang mendapat kebebasan secara tiba-tiba apabila memasuki IPT dan tinggal beramai-ramai di rumah sewa, mudah dipengaruhi fenomena cinta kampus.
Apabila terlanjur, ramai yang memilih jalan mudah dengan menggugurkan anak secara haram atau membuang bayi.
Selain mendedahkan gejala ini, KD9 mengupas isu kekosongan jiwa remaja yang tiada pengisian positif ketika mereka menuntut di IPT.
Ini berbeza dengan era 80-an yang mana ramai anak muda dipacu oleh perjuangan dan ideologi menerusi pertubuhan dan persatuan.
“Anak muda kini seolah-olah tiada perjuangan, tiada haluan. Sebab itu ramai lebih suka merempit dan terbabit dengan gejala moral yang membimbangkan.
-adapted from Berita Harian-
__________________________________________________________
Saya kira dengan merujuk kepada kawasan Pantai Dalam dan Kampung Kerinci, memberi signal bahawa varsiti kesayangan saya turut sama terkena tempiasnya. Saya kira ini adalah satu sahutan dan cabaran kepada semua mahasiswa Uni Malaya bahawa kita bukanlah seperti apa yang dicanangkan. Buktikan kita cukup matang dan bijak dalam mengatur tindakan!
Ini saya kira satu cabaran khususnya kepada GERAKAN MAHASISWI dalam mengizzahkan kembali suasana khususnya UMAT ISLAM yang banyak leka dan telah jauh ditinggalkan.
LET THE UMMAH RISE AGAIN.
Salam Perjuangan Fisabilillah.
January 25, 2008 No Comments

Salam buat semua, diharapkan sihat sentiasa. Semester baru bagi pengajian di Universiti sudah mula hampir sebulan yang lalu. Sem ni nampaknya cabaran makin banyak, dengan subjek-subjek yang agak tough, lab about 3 hours etc.. Harap Allah permudahkan perjalanan hidup hambanya yang dhaif ini, dan juga hidup teman-teman sekalian.

Nampaknya buku Ketika Cinta Bertasbih Dua sudah mampir. Alhamdulillah. Agak lama juga kutunggu. Kerana ingin melihat perkembangan dalam cerita tersebut. Mungkin ada orang menyifatkan bahawa hobi membaca novel membuang masa (khususnya orang lelaki (muslimin) yang menyatakan bahawa orang perempuan ni kuat membaca novel dan tidak idealis, tidak berfakta dan sebagainya! Tapi yang hairannya, bila mahu mendapatkan sumbangan artikel atau pengarangan sesuatu makalah, surat dan sebagainya, kaum muslimat juga yang dicari!

Apapun, jujur kuakui, minat membaca novel ini memberikan banyak perkara positif buat diriku. Hanya orang yang tahu sahaja memahaminya. Kerna novel2 dakwah seumpamanya memberi banyak mileage kepada Islam itu sendiri. Setiap orang berperanan dalam masyarakat, setiap orang menyumbang pada masyarakat. Pemidato dengan pidatonya yang hebat dan mengesankan jiwa, sang pendakwah dengan dakwahnya yang kencang, sang penyair dengan syairnya yang membekas di hati, si penulis dengan warisan kalamnya yang bermanfaat dan tak lekang dek zaman, sang pelukis dengan kartun dan lukisan seninya yang menggetarkan sanubari dan sebagainya. Justeru, jangan sesekali perkecilkan seseorang, kerana setiap orang berperanan besar khususnya dalam perjuangan mengizzahkan kembali Islam itu sendiri. Yang harus dicermati seseungguhnya adalah ADAKAH DALAM USAHA KITA ITU, IKHLAS ITU HADIR??

Saya baru membelinya tadi semestinya di Akademi saya, dan belum sempat membacanya. Mungkin masa yang diperlukan agak lama, kerana bak kata Kang Abik dalam ‘Ayat-Ayat Cinta’, ADAKAH SEGALA KEINGINAN ITU HARUS DIPENUHI? Sebetulnya saya mempunyai beberapa agenda yang harus disiapkan, sesuai dengan tahun baru masihi, tahun hijrah yang baru, semester baru, rumah sewa baru?? (^^,) dan beberapa hal lain yang membutuhkan tenaga dan kekuatan serta pengorbanan sebanyak 110%! Ya ALLAH, arju minka quwwataka! Wa ianayatuka! Wamaghfiratuka..Abadan Abada.. Birahmatika Ya Arhamarrahimin...
January 22, 2008 No Comments
Newer Posts
Older Posts

About me



A simple me, Syahadah Hafeezah.
Co-Founder at
MYHEAVEN GROUP SDN. BHD.
Printing | Boutique

Follow Us

Labels

Arkib Syahadah bayi berbuka berpuasa Bingkisan_Mujahidah breastfeeding Buatmu Akhawat Fillah cinta cirit-birit DIARI HIDUP fidyah Free Wallpaper Gerbang Pendidikan Hadith Habibi hari lahir Hari-hari adalah Perjuangan Hari-Hari adalah Perjuangan.. Hebahan ibu Info Inspirational Motivational jannah Jurnal Kesyukuran Lagu Ini Me Myself and I MOTIVATION Muhasabah Cinta muslimah Nasihat Buat Puteri Nasyeed Parenting penyusuan perkahwinan perubatan qadha puasa Ramadhan sabar sakit perut Sembang Buku Sembang_Buku Sembang_Isu Seputar Kemahasiswaan suami Tafsir Hati Tasyji' tazkeerah.net Tazkirah tinta_kejora TIPS uzur Wacana_Fikrah walimah WALIMAH CINTA Walimah Sakinah WOMENS HEALTH

recent posts

Blog Archive

  • ▼  2018 (1)
    • ▼  November (1)
      • Blog My Love
  • ►  2016 (3)
    • ►  September (1)
    • ►  May (1)
    • ►  March (1)
  • ►  2014 (9)
    • ►  November (1)
    • ►  July (4)
    • ►  June (1)
    • ►  February (3)
  • ►  2013 (2)
    • ►  October (1)
    • ►  August (1)
  • ►  2012 (6)
    • ►  October (1)
    • ►  July (1)
    • ►  February (1)
    • ►  January (3)
  • ►  2011 (128)
    • ►  December (1)
    • ►  November (3)
    • ►  October (8)
    • ►  September (6)
    • ►  August (11)
    • ►  July (7)
    • ►  June (6)
    • ►  May (15)
    • ►  April (17)
    • ►  March (14)
    • ►  February (21)
    • ►  January (19)
  • ►  2010 (91)
    • ►  December (7)
    • ►  November (12)
    • ►  October (10)
    • ►  September (11)
    • ►  August (9)
    • ►  July (5)
    • ►  June (3)
    • ►  May (4)
    • ►  April (8)
    • ►  March (4)
    • ►  February (4)
    • ►  January (14)
  • ►  2009 (46)
    • ►  December (15)
    • ►  November (7)
    • ►  October (8)
    • ►  September (8)
    • ►  August (3)
    • ►  July (2)
    • ►  March (2)
    • ►  January (1)
  • ►  2008 (19)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (1)
    • ►  July (1)
    • ►  June (2)
    • ►  April (4)
    • ►  March (1)
    • ►  February (2)
    • ►  January (4)
  • ►  2007 (8)
    • ►  December (1)
    • ►  November (2)
    • ►  October (3)
    • ►  September (2)
FOLLOW ME @INSTAGRAM

Created with by ThemeXpose