MENCINTAI ‘MUHAMMAD’ SEBELUM ‘MUHAMMAD’

by - May 26, 2011

Telah beberapa kali saya membincangkan tajuk ini dengan sahabat akhawat fillah saya. Ya, bunyinya pelik, atau mungkin simple. Tapi tak ramai akhawat yang cakna tentangnya, atau mahu mengambil berat tentangnya, kerana ia seolah-oleh dilihat kecil dan tidak penting.

MENCINTAI ‘MUHAMMAD’ SEBELUM ‘MUHAMMAD’- Pelik kan bunyinya?
Apa makna pada kata MENCINTAI ‘MUHAMMAD’ SEBELUM ‘MUHAMMAD’? Sebelum ini, ramai sahabat saya yang sedikit tidak faham, atau pening bila saya menyuguhkan tajuk/quote ini pada mereka. Setelah saya menerangkan, maka ramailah yang telah menjadikan ia sebagai suatu sarana pada mereka, atau prinsip dan juga pencerahan, yang dibawa dalam hati. Semoga kita semua kan berhasil. Aamin.

MENCINTAI ‘MUHAMMAD’ SEBELUM ‘MUHAMMAD’- Maksudmu?
Kebanyakan lelaki di dunia ini mempunyai nama Muhammad di depan. Ya, tidak kiralah Muhammad, atau Muhamad, atau Ahmad, atau Mohamad, atau Mohd, Muhd atau pelbagai lagi ejaan-ejaan seumpamanya. Namun tetaplah dalam bahasa Arab, ia dieja dengan “Mim-Ha-Mim-Da”. Dengan Mim kedua yang bertasydid. Dari siapa para ibu bapa mengambil nama ini? Semestinya ia bukan tradisi yang bersifat adat, tapi ia lebih kepada anjuran agama. Tidak kira lelaki itu berbangsa Melayu, atau Arab juga Eropah sekalipun; ramai yang memiliki nama Muhammad di depan. Itu kata dari nama yang mulia, Al-Amin, Habiibi Qalbina, Muhammad SAW. Justeru, bagi wanita (sama ada yang belum menikah atau telah pun menikah) silakan MENCINTAI ‘MUHAMMAD’ SAW SEBELUM ‘MUHAMMAD’!

MENCINTAI ‘MUHAMMAD’ SEBELUM ‘MUHAMMAD’- Sukarkah ia?
Bagi penulis, YA, IA SUATU PERKARA YANG SUKAR! Ya, dikeranakan Nabi Muhammad SAW itu sudah lama pergi dari kita.  Dan susuk tubuhnya tidak tergambar di hadapan kita. Tidak terjangkau oleh kita. Tidak mendengar tutur bicaranya. Tidak mendengar langsung daripadanya. Berbanding ‘Muhammad’ kedua yang selalu hadir di depan mata kita. Wajahnya menari di pelupuk mata kita. Hatta di atas mushaf yang kita baca. Semua yang dipandang menjadi lebur. Hanya yang tinggal adalah susuk ‘Muhammad, Muhammad dan Muhammad!’ Bukankah ‘Muhammad SAW’, insan yang selayaknya, sepatutnya kita dahulukan dalam segenap hal?; kerna anjuran agama bagi semua insan adalah supaya mencintai Allah dan Rasul Muhammad SAW lebih dari segala-galanya di dunia dan akhirat ini.  Hatta ibu, bapa mahupun suami atau isteri juga anak-anak dan harta yang kita sayang. Apatah lagi bagi seorang muslimah yang selalu berjuang untuk menjadi solehah. Saya kira, kalau dipandang dari mata hati, ramai dari muslimah yang Insya Allah, sudah berjaya mendakap cinta Allah (walau berapa pun kadarnya). Alhamdulillah, sudah ada yang mampu menangis mengenangi khilaf dosa lalu, merasa hidup bertemankan Allah dalam setiap liku. Namun, itulah...untuk merasakan keagungan cinta Muhammad SAW pada kita, dan membalas cinta Muhammad SAW, adalah agak sukar. Pernahkah kita bangun malam, selain bermunajat pada Allah, mendekap tangan di dada sambil meluahkan rindu kita kepada Baginda SAW secara khusus. Kita duduk bertafakur mengingati baginda. Kita merasakan baginda hadir di setiap jalan dunia yang kita lalui, jalan-jalan kehidupan yang penuh onak duri. Meyakini baginda melihat setiap perlakuan yang kita lakukan. Selalu memuhasabah; adakah amalan ini, tingkah laku ini sesuai dengan status aku sebagai umatnya? Adakah Baginda kan redha dengan apa yang aku lakukan ini? Dan suatu perasaan rindu yang menggebu-gebu bila kita mengingati Muhammad SAW, melebihi dari perasaan rindu pada ‘Muhammad’ yang seorang lagi, walau sehalal mana pun dia buat kita, apatah lagi yang tidak halal!

MENCINTAI ‘MUHAMMAD’ SEBELUM ‘MUHAMMAD’- Bagaimana mencapainya?
Namun adakah ia mustahil untuk dicapai? TIDAK, TIDAK dan TENTULAH TIDAK. Telah ramai yang berjaya. Orang-orang yang berjaya ini, telah jauh meninggalkan kita dalam menggapai makrifatullah, makrifaturrasul dan makrifatuddunya dan akhirat. Sedangkan kita masih tertinggal jauh di belakang. Terus jauh dan terus hanyut. Lalu bila Tuhan Allah datang menjemput dalam kapalnya, sempatkah kita berlari untuk menyertai angkatan mereka. Kita terus berlari dalam kejam dan hodohnya dunia, lalu jatuh terjelepuk! Merasakan malu, sakit dan hina! Sedangkan mereka yang di atas kapal mentertawakan kita langsung meninggalkan kita. Dari siapa kita mahu mengambil syafaat?? Dari siapa lagi selain dari Muhammad SAW dan para alim ulama yang cahayanya bak bintang. Oh...Hina di sisi manusia...apatah lagi di sisi Allah!
Saya ada berbincang dengan beberapa ‘Murabbiah Hati’ saya. Soalan saya, “Bagaimana mencintai Muhammad SAW?” Jawab beliau “Merasakan bahawa Baginda ada di mana-mana, sedang tersenyum melihat kita. Lalu kita merasa malu untuk melakukan amalan yang tidak sesuai dengan status sebagai sebaik-baik ummat. Ilmuan yang sejati (langsung beliau kaitkan dengan status ilmuan, kerana kami berada di bidang ini-Astaghfirullah...) akan sentiasa menjaga adab-adab dengan Nabi. Seorang pensyarah misalnya, akan bersiap dengan baik, memakai pakaian yang bersih, memakai wangian yang disukai Baginda, menyikat rapi rambutnya, mengemaskan jilbabnya, sebelum menyampaikan kuliah kepada pelajarnya. Apatah lagi yang berada dalam bidang agama. Kerna mereka, sebelum menyampaikan walau sepotong hadith Baginda, tetap merasakan bahawa Baginda ada di hadapannya, turut sama mendengar Kuliah dan Muhadharah tersebut.. Menyampaikan hadith tersebut dengan penuh hati-hati, dan kerendahan jiwa..” Subhaanallah!

MENCINTAI ‘MUHAMMAD’ SEBELUM ‘MUHAMMAD’-Muslimat, ayuh mengejarnya!
Ayuh wahai Muslimat, dan juga kaum muslimin, kita mengejar cinta ‘Muhammad SAW’ sebelum kita sibuk mengejar ‘Muhammad’! Yakinlah, dengan terlebih dahulu mencintai Muhammad SAW, maka akan segera hadir satu sosok yang layak kita cintai, yang merupakan biasan dari Nur Muhammad SAW! Dan bagi yang telah bernikah, kemaskanlah perasaan kita. ‘Muhammad’ itu, tetap tidak layak kita cintai melebihi ‘Muhammad SAW’ walau sebaik mana pun ia, apatah lagi yang sering terjadi dalam satu rumahtangga moden kini, yang mana ‘Muhammad’ nya telah membawa  seorang wanita muslimah itu lebih jauh dari cinta ‘Muhammad SAW’! Saya sendiri sedang cuba menanam cinta ‘Muhammad SAW’ ke dalam hati dan perilaku; sejak beberapa tahun yang lalu; semoga saya berhasil. Dan saya masih mencuba. Walupun perit, sukar dan payah. Cinta dunia dan cinta lelaki ajnabi terasa sungguh kejam merenggut pergi cinta ‘Muhammad SAW’ di dalam hati. Berhati-hatilah wahai muslimahku.. Kerna kita tidak mahu membina sebuah istana pasir yang rapuh dan bila-bila masa kan dibawa ombak laut kerna rapuhnya tiang iman yang dibina. Tiang iman pada Allah, Rasul, Malaikat, Kitabullah dan kepercayaan pada Qada’ dan Qadar serta Hari Kiamat..

Teruslah membaca kitab-kitab sirah... dan rasakan ke dalam hatimu akan segala perit getir yang ditempuh ‘Muhammad SAW’ demi untuk kita umatnya. Teruslah mengamalkan sunnah Baginda.. Teruslah berselawat kepada baginda tanpa rasa jemu.. Teruslah berusaha menggapainya.. Subhaanallah, nikmatnya tidak terucapkan..!


Saya juga mencadangkan anda membaca buku 'Syamaail Muhammad' oleh Imam Tirmizi. Alhamdulillah, sudah lama saya mahu mendapatkan buku ini, kerana saya selalu mendengar IKIM.fm, dan ia selalu mengulang-ulang petikan dari buku ini. Dan Subhaanallah...! Setelah saya menjadi ad-hoc/ajk program 'Seminar Membina Negara Sejahtera 2011', kami selaku AJK telah mendapat hadiah buku ini. Terima kasih pada PTS yang menaja. Semoga terus bertambah rezeki kalian. Dan saya, selalu tidur bersama buku ini dalam linangan air mata... 


Dan lagi... kuliah ini saya sangat mahu kongsikan, sewaktu saya menghadiri HAMKA 2011- Himpunan Anak Muda Kelantan, bersama Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, seorang ilmuwan, ulama yang kita cintai kerana Allah.  Beliau mengingatkan tentang syafaat Baginda kepada kita. Dan mata saya berkaca-kaca mendengar setiap butir hikmah daripada beliau..

Di hari akhirat nanti, keadaan amat panas dan gersang. Tempoh untuk perbicaraan di padang Mahsyar dirasakan amat lama bagi yang tidak cukup amal dan sering berbuat maksiat pada Allah di dunia dahulu. Lalu, di suatu mata air, Telaga Kauthar yang diperuntukkan khas untuk ummat Baginda, manusia ramai-ramai berpusu padanya. Telaga Kauthar berada di dalam syurga, namun airnya mengalir hingga ke padang Mahsyar lalu terkumpul di telaga Rasulullah s.a.w yang akan didatangi umat beliau. Subhaanallah! Bilangan cebok/timbanya adalah sebanyak bintang-bintang di langit. Dan dalam keadaan yang bersesak-sesakan itu, ada yang ditolak pergi malaikat dan tidak diberi minum. Nabi bertanya, “Kenapa menolaknya sedangkan dia adalah umatku?” Malaikat berkata  “Engkau telah tiada bersama mereka sedangkan aku yang bersama mereka. Aku tahu apa yang mereka kerjakan. Mereka adalah umatmu namun mereka tidak layak mendapatkan syafaatmu”.


Selanjutnya tentang Telaga Kauthar, sila baca di sini.

Subhaanallah sahabat, sampai begitu sekali cintanya ‘Baginda Muhammad’ kepada kita, sehingga ke titik terakhir. Namun kita?? Bagaimana pula cinta kita kepada Baginda??? Adakah kita mahu menjadi di kalangan mereka yang disuapkan sendiri air telaga Kauthar dari tangan mulia Baginda, atau mahu menjadi mereka yang ditolak pergi oleh malaikat?? Alangkah malunya, alangkah hinanya! Naudzubillah....
 
1) Akhawat dan ikhwah fillah, risalah yang ringkas dan tidak selayaknya ini adalah untukmu. Saya menukilkan ini dari hati, kerna saya mencintai kalian kerana Allah dan Rasul.. Insya Allah..
2) Dan saya mengongsikan lagi link ini kerana menyayangi saudara saudari kerana Allah. Saya telah subscribe pada web ini dan mendapat ilmu yang sangat bermanfaat di e-mail setiap hari. >>Blog Peribadi Rasulullah 
3) Dan saya menangis setiap kali melihat tiga video ini... Moga dengan melihatnya, bertambahlah lembut hati kita yang keras dan gersang ini....










Ya Rasuulallah...
Nuhibbuka..
Wa Musytaaqun Ilayka..
Nuriidu al-Juluus Ma’aka...
Bijaanibika...
Fi Raudhah an-Naim...
Allahumma Solli ‘Ala Saidina Muhammad SAW...


Ditujukan buat Nabi Muhammad SAW, pada 'Muhammad', pencinta Muhammad SAW dan semua muslimin muslimat...

Wassalam wbt..
Salam serikandi,
Syahadah al-Hafeezah
Khamis, 26 Mei 2011, 8.00 pagi
Ghurfah Sakinah, Villa Mujahidah PJ

 


Share This Post =')

You May Also Like

0 Comments