Andai Manusia YAKIN Bahawa Alangkah Manisnya Iman!!

by - May 02, 2011




Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)
Sadaqa Rasuulullah...

Kemanisan Iman?? 

1) Cinta Allah dan Rasul lebih dari segala-galanyanya, hatta diri sendiri

2) Mencintai seseorang itu, semata-mata kerana Allah

3) Benci kembali kepada kekufuran dan maksiat setelah diselamatkan Allah
(sepertimana dia tidak mahu dilemparkan ke dalam api...!)

Allahu Akbar!~  


MUKADDIMAH: 

Iman adalah membenarkan secara putus (jazim) tanpa ragu sedikitpun
dengan apa yang datang daripada Rasulullah SAW. yang diikuti dengan
ketundukan hati dan ketenteraman jiwa menerima ketentuannya tanpa
perasaan degil dan takabbur. 

Terkadang-kadang terdapat iman yang jazim pada seseorang dan tidak ada
keraguan sedikitpun terhadap kebenaran yang datang daripada Rasulullah
SAW. tetapi sayangnya terkadang kadang iman tersebut diikuti oleh rasa
sombong dan enggan serta tidak mahu melaksanakan apa yang diyakininya itu.
Maka dalam keadaan seumpama ini, dia belum digolongkan sebagai
orang yang beriman. 

Juga terdapat orang yang memiliki iman yang jazim tanpa sedikitpun ada
perasaan ragu, malahan dia tidak mempunyai sifat degil dan takabbur
terhadap apa diyakininya. Tetapi sayangnya kita lihat orang tersebut
tenggelam ke dalam dunia kelalaian, dia tidak pandai menilai kadar iman
sebagaimana semestinya, dia lalai untuk menunaikan kewajiban mensyukuri
nikmat tersebut. Manusia seperti inilah yang dikatakan orang yang
beriman atau " mukmin " yanq belum mendapatkan
"kemanisan iman ".

Hadis sahih yang termaktub diatas menjelaskan kepada kita beberapa tanda
orang-orang yang akan dapat merasakan kemanisan iman. Marilah kita
berusaha menghias diri kita masing-masing untuk memiliki
kesemua tanda-tanda tersebut semoga kita boleh hidup bahagia
di dunia dan di akhirat.

SYARAH AL HADIS:

Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya
nescaya dia memperolehi kemanisan iman.

Hadis ini mengandunqi asas-asas utama bagi semua pintu
kebaikan. Kemanisan iman adalah sesuatu yang dapat dirasakan oleh mukmin
yang tenteram jiwanya terhadap nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah
kepadanya untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dengan kemanisan iman seseorang dapat menghadapi hidup
dengan penuh ceria. Keimanannya dapat membimbing dirinya untuk
menghadapi kehidupan ini walau bagaimanapun keadaan yang menimpanya.
Jika sedang ditimpa kesusahan dia boleh bersabar, dan dia dapat merasakan
nikmat kesabaran. Dan jika dia mendapat nikmat kesenangan maka ia pandai
bersyukur, dan dia dapat merasakan nikmat kesyukuran.

Dia meyakini bahawa segala yang menimpanya apakah baik atau
buruk adalah telah ditentukan oleh Allah sejak azali. Oleh itu ia
dengan jiwa tenang dapat menghadapi semua keadaan dengan rasa redha.

Kalaulah begitu besar nikmat yang dia dapat rasakan ketika di
dunia lantaran kemanisan iman yang dimilikinya, sudah pasti
lebih besar lagi nikmat yang bakal dia terima di sisi Allah kelak
di akhirat!

1. Adalah Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada
selainnya.

Cinta ialah kecenderungan jiwa seseorang kepada sesuatu yang boleh
memberinya kelazatan, manfaat ataupun kerana sesuatu itu sesuai dengan
fitrah (tabiat) nya.
Ada beberapa sebab yang boleh menimbulkan rasa cinta seseorang. Menurut
Imam Al Ghazali bahawa ada 5 sebab yang mendorong perasaan
cinta seseorang:

1. Cinta manusia kepada dirinya, kewujudannya, keberkekalan dan
kesempurnaannya.
2. Cinta manusia kepada orang yang berbuat ihsan kepadanya dan
orang yang boleh mendatangkan manfaat kepadanya.
3. Cinta manusia kepada orang yang suka berbuat ihsan semata-mata
kerana ihsannya. Walaupun dia sendiri tidak berhajat kepada ihsan
orang tersebut.
4. Cinta manusia kepada kecantikan dan keindahan. Keindahan yang
memikat ada yang hissy (fisical) seperti keindahan warna warni bunga
dan binatang, dan ada pula yang maknawy (abstrak) seperti akhlak yang
luhur dan sifat mulia dari seseorang umpamanya: berilmu, cerdik, berani,
adil, sabar, cekal dan lain lain. 
5. Cinta manusia kepada seseorang disebabkan kerana orang yang
dicintainya itu memiliki persamaan sifat dengannya, walaupun semua
sebab terdahulu atau sebahagiannya tidak wujud pada orang tersebut.
Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW.: Roh-roh adalah tentera tentera
yang dipersenjatakan, maka apa yang sesuai dengannya dia akan mesra
dan apa yang bercanggah dengannya dia akan berbeza.

Dan jika kita amat amati sebab sebab cinta di atas dengan cermat nescaya
kita dapati kesemua sebab itu mewajibkan orang beriman yang benar-benar
mengenali Tuhannya untuk mencintai Allah dengan kadar cinta yang tidak
ada tolok bandingannya.

Buah atau kesan cinta seseorang kepada Allah akan menimbulkan ketaatannya
kepada Allah yakni melaksanakan suruhan Nya dan menjauhi laranqan-Nya.
Tetapi perlu diingat bahawa terdapat perbezaan antara taat kerana cinta
(mahabbah) dengan taat kerana mengharap dan takut (rakhbah dan Rahbah).

Diriwayatkan bahawa Nabi Isa AS. pernah melalui suatu kaum yang sedang
beribadah kerana takut kepada Allah atau kerana mengharap syurga,
lalu Isa berkata: Sesungguhnya kamu takut kepada makhluk dan mengharap
kepada makhluk. Kemudian Isa meneruskan perjalanannya dan lalu pada
suatu kaum yang sedang beribadah. Mereka berkata: Kami beribadah kepada
Allah kerana kami cinta kepada-Nya dan kerana ta'zim (mengagungkan)-Nya.
Nabi Isa berkata: Kamu semua adalah wali-wali Allah, dan aku diperintahkan
agar duduk bersama kamu. 

Ini tidak bererti jika kita beribadah lalu kita tidak boleh mengharap syurga
dan takut kepada kepada neraka. Itu adalah diantara sifat orang yang beriman.
Ini sebagaimana firman Allah:

Lambung mereka jauh dari tempat tidur tidurnya (sering beribadah malam)
sedang mereka berdoa pada Tuhannya dengan rasa takut dan harap,
dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami berikan kepada
mereka. ( Al Sajadah / 32 : 16 )

Ayat di atas menegaskan bahawa di antara sifat orang orang yang
beriman ialah mereka selalu mendirikan malam dengan beribadat
sambil mengharap akan keredaan Allah dan syurga Allah dan didorong
oleh rasa takut kepada murka Allah dan siksaan neraka-Nya.
Hanya saja jika " rasa cinta " yang mendorong kita untuk
taat kepada Allah, maka nilai ibadah itu adalah lebih tinggi
kalau dibandingkan hanya sekadar kerana takut dan harap. 

Adapun cinta kepada Rasulullah SAW. adalah sebahagian daripada
cinta kepada Allah. Kerana bagi kita tidak ada seorangpun yang
lebih kita percayai selain orang telah dipilih oleh Allah sebagai
utusan-Nya. Beliau telah diamanahkan oleh Allah untuk menyampaikan
hidayah-Nya kepada umat manusia agar kita mendapat rahmat-Nya.
Bagindalah orang yang paling berjasa menyelamatkan kita daripada
kegelapan (kekufuran dan syirik) kepada cahaya terang benderang
(Islam dan hidayah). Bagindalah yang telah membimbing kita
untuk menuju kebahagian hakiki di dunia dan di akhirat. 

Abdullah Bin Al Mubarak berkata:
Para ‘ulama lebih utama daripada ibu bapa kamu. Mereka bertanya:
Mengapa demikian (wahai tuan) ? Beliau menjawab: Ibu bapa kamu
memelihara kamu dari api (kesusahan) dunia, sedangkan para ‘ulama
pula memelihara kamu dari api (kesusahan) akhirat.

Demikianlah peranan dan jasa para ‘ulama yang ikhlas yang telah
membimbing manusia agar memiliki akidah yang betul agar terhindar
dari syirik dan khurafat, yang telah mengajar mereka cara ibadat yang
betul sehingga terhindar dari perbuatan bid’ah, yang telah mengajar
mereka budi pekerti yang mulia sehingga dengan demikian, mereka
bukan saja terhindar daripada kesusahan di dunia tetapi juga akan terhindar
daripada azab Allah yang amat pedih di akhirat. Dan kalaulah demikian
peranan para ‘ulama, sudah tentu peranan Rasulullah saw jauh
lebih besar dari itu kerana semua ajaran para ‘ulama bersumber
daripada ajaran Rasulullah saw. 

Jadi mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada mencintai yang lain,
maksudnya ialah kita mestilah mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi
daripada kecintaan kita kepada ibu bapa, isteri, anak-anak, saudara mara,
hatta terhadap diri kita sendiri.
Dan selanjutnya kecintaan kita yang mendalam itulah yang
mendorong kita untuk berbakti kepada Allah dan Rasul-Nya.

"Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara
kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga
kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang
kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang
kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu
cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad
untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi
petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."  (At-Taubah: 24)

2. Dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah 

Cinta jenis ini juga adalah cabang dari kecintaan seseorang
terhadap Allah.
Seseorang jika benar-benar cinta kepada Allah, maka kesan cintanya itu
akan mendorong dia untuk suka jika orang tersebut taat kepada Allah,
dan sebaliknya dia akan bersedih dan berusaha menegurnya jika orang yang
dicintainya/rakannya itu melakukan dosa. 

Ini tidak bererti jika ia mencintai seseorang kerana tujuan selain itu lalu ia
terkeluar daripada iman. Hanya saja sebagai bukti kemanisan iman
seseorang ialah jika dia cinta kepada seseorang semata-mata kerana
Allah, dan jika ia benci kepada seseorang juga adalah semata-mata
kerana Allah. 

3. Dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran
(maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam
api.

Mukmin yang hakiki adalah orang yang tidak ragu lagi bahawa
sekiranya dia kembali melakukan amal-amal kufur (dosa) setelah
ia insaf dan mendapat petunjuk Allah (taufiq) maka tidak mustahil
dia akan dilemparkan kedalam api neraka di akhirat nanti. Oleh sebab
itu imannya yang mendalam mencegah dia daripada mengulangi lagi dosa-dosa
lampau sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api di dunia
ini. Dan sebagaimana kebenciannya kalau dirinya akan dihumban ke dalam
api yang bernyala-nyala, begitu jugalah darjat kebenciannya jika anaknya,
ibu bapanya, isterinya dan saudara maranya akan dilemparkan kedalam api. 

Adakah manusia yang melihat manusia lain, samada dia kenal atau tidak,
walaupun musuhnya, yang akan terjatuh ke dalam api lalu dia biarkan tidak
segera ditolongnya? Demi perasaan kemanusiaan, biasanya manusia segera
akan menolongnya. Betapa kalau pendorongnya justeru keimanan? 

Jadi mukmin yang hakiki bukan saja benci kalau dirinya
mengulangi dosa dosa silam, malahan dia juga merasa benci
kalau orang lain melakukan dosa, lebih lebih lagi terhadap
mereka yang mempunyai hubungan kerabat dengannya.


Syahadah: "Wahai sekalian manusia khususnya ummat
Nabi Muhammad SAW, hiduplah atas semangat cinta ini!
Terus berjihad dan bermujahadah. Semoga kita semua
berhasil mendapatkan kemanisan iman sebelum pulang
bertemu ALLAH swt...Aamiiin!"~

 Share This Post =)

You May Also Like

0 Comments