(Arkib Syahadah): TAHNIAH DAN TAKZIAH UNTUK ANGKASAWAN MALAYSIA DAN KELUARGA

8:41:00 PM

     Khamis November 01, 2007

Semalam angkasawan kebanggan negara kita sudahpun pulang ke tanah air. Walaupun untuk sekejap sahaja, sebelum kembali semula ke Rusia, namun bahang dan inspirasinya terasa menjalar di seluruh bumi Malaysia. Kepulangannya untuk tugas yang satu. Setelah menyempurnakan tugasan sebagai angkasawan negara dan membawa misi dan harapan serta aspirasi negara, beliau kini pulang kembali untuk seketika sebagai menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang abang kepada adiknya.
       Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada angkasawan pertama Malaysia, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie b. Sheikh Mustapha atas kejayaannya menyempurnakan misi Malaysia ke angkasa dan selamat pulang kembali ke bumi. Sekalung ucapan takziah juga diberikan atas kehilangan adiknya, Allayarham Sheikh Mustafa Al-Masrie. Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada-Nya jua kita akan kembali.
        Terima kasih juga kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Jamaludin b Dato' Mohd Jarjis dan juga sesiapa yang terlibat atas belas ihsan dan rasa perikemanusiaan mereka membenarkan Dr. Sheikh Muszaphar untuk pulang seketika, dalam menyempurnakan tugas sebagai seorang insan yang bergelar anak dan juga abang. Walau sehebat dan segah manapun kita, sesungguhnya kita haruslah insaf bahawa kita hanyalah insan biasa yang harus redha dengan ketetapan Ilahi ke atas hambanya.
          Namun begitu, ada 'desas-desus kecil' dan 'cakap-cakap yang tidak enak untuk didengar' berkenaan dengan apa yang berlaku. Ada yang mengatakan bahawa ia sebagai tukaran nyawa, kerana sepatutnya Dr Sheikh Muszaphar yang mempunyai masalah kerana kapal Soyuz tersasar hingga lebih kurang 600 kilometer dari tapak pendaratan asal. Kemalangan yang menimpa adiknya berlaku dalam detik yang agak hampir dengan apa yang berlaku pada angkasawan kita. Ini merupakan satu pernyataan yang tidak bertamadun, dan lebih dari itu boleh membawa penyelewengan aqidah kepada kita sebagai umat Islam. Perkara ini tidak boleh diterima akal sama sekali. Semua haruslah sedar bahawa Allahlah yang mengatur hidup kita, dan akhir dari semua ini adalah jua kembali pada-Nya. Tiada perkara seumpama itu di dalam Islam. Dia berkuasa memberi kita kegembiraan dan kejayaan, dan Dia juga kadang-kadang memberi kita ujian dan cubaan, untuk memberi peringatan kepada kita dan juga sebagai tanda cinta-Nya kepada kita. Sesungguhnya mukmin yang mendapat ujian itu adalah insan yang dicintai oleh-Nya.
        Justeru, sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada Dr. Sheikh dan keluarga, dan juga ucapan takziah kepada keluarga Allayarham. Sesungguhnya Malaysia turut 'merasakan sesuatu' atas apa yang terjadi. Semoga terus tabah dan cekal dengan apa yang menimpa. Semoga rakyat Malaysia merasa insaf dengan apa yang telah disaksikan di depan mata sendiri tentang aturan dan kuasa Allah ke atas hamba-hambaNya yang lemah ini. Pastinya ia mempunyai rahmat dan hikmah yang tidak mampu diungkapkan oleh kita selaku manusia yang kerdil dan lemah.

Syahadatul Hafizah Abdullah,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Sumber: http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2007/11/1/KOLUM/Pendapat/Tahniah_dan_takziah_pada_keluarga_Angkasawan&sec=mstar_kolum


 Share This Post =)

You Might Also Like

0 comments

MY INSTAGRAM @syahadatulhafizah

Subscribe