ISU WANITA SOLAT BERJEMAAH DI MASJID

9:10:00 PM

ISU WANITA SOLAT BERJEMAAH DI MASJID



Bagi saya, isu mengenai wanita ke masjid sendiri sudah lama dibahaskan. Sebenarnya, sejak zaman Nubuwwah, kehadiran wanita dalam solat berjamaah di masjid bukanlah sesuatu yang asing. Wujud sahabiyah ada yang ikut menghadiri solat berjamaah di belakang para sahabat walaupun itu tidak wajib bagi mereka. 
Selain daripada itu, ada juga beberapa dalil daripada sunnah yang sahihah yang mana menunjukkan penyertaan wanita di dalam shalat berjamaah di masjid. Dua antaranya adalah hadith daripada Saidatina Aisyah radliyallahu 'anha, dan satu lagi adalah hadith daripada Abi Qatadah Al Anshari radliyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya aku berdiri untuk menunaikan shalat dan berkeinginan untuk memanjangkan shalat itu. Lalu aku mendengar tangisan bayi maka akupun memendekkan shalatku kerana khuatir (tidak suka) memberatkan ibunya." (HR. Bukhari 868, Abu Daud 789, Nasa'i 2/94‑95 dan Ibnu Majah 991)
Nah, inilah dia jawapannya. Tidak perlu dipanjangkan perbahasan kerana jalan manakah yang lebih benar dan lebih elok dari jalan sunnah dan sirah nabi? 
Namun begitu, satu hal yang membuatkan saya terpanggil untuk merespon isu ini, bahawa kenapakah sehingga kini isu ini masih perlu diperbahaskan. Kerna bagi saya, secara logiknya, untuk apa dipersoalkan mengenai wanita-wanita yang ingin ke masjid untuk menunaikan solat. Asal saja suaminya mengizinkan. Lebih afdhal jika si wanita tersebut ikut pergi bersama suaminya, mungkin pada waktu-waktu Subuh, Maghrib, Isya' dan sebagainya. Begitu juga seandainya anak-anak gadis turut mahu ke masjid bersama mahramnya.
Sedangkan, alangkah di mana wanita-wanita Islam sekarang ini? Ada yang berpergian ke pasar-pasar tanpa ditemani muhrim, ada juga yang duduk-duduk buang masa di tepi-tepi jalan ataupun bercanda mesra di tepi tasik bersama pasangan yang entah apa statusnya. Inilah dia fitnah yang sebenar! Ini suatu perkara yang selalu merungsingkan saya; tentang masa depan anak bangsa bernama wanita. Untuk apa dipersoalkan tentang para wanita yang ke masjid; yang mana pandangannya sudah tetap dan fokus ke ribaan Ilahi, yang mana dirinya sudahpun bersih dan suci. Malahan, golongan manakah lagi yang lebih kuat dan cekal hati dari sang wanita yang ke masjid untuk menghadap Ilahi sesempurna mungkin tanpa menghiraukan keringanan yang diberikan pada mereka, serta sifat malas yang bersarang di dada. Malah, bangga untuk saya berkata bahawa golongan wanita inilah yang lebih mulia dari lelaki yang mana pergi ke masjidnya cuma seminggu sekali (solat Jumaat), atau masih tidak mengenal apa itu solat di dalam hidupnya. 
Malahan, wanita-wanita inilah yang diperlukan ummah! Umum mengetahui, wanita berperanan dalam mendidik anak bangsa. Justeru, khidmat mereka ini diperlukan mungkin untuk mengajar kelas-kelas Al-Qur'an dan Pengajian Agama pada anak-anak di masjid.

SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
KETUA UNIT MEDIA DAN PENERBITAN
HAL EHWAL MAHASISWI (HEWI)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM) 2008


 Share This Post =)

You Might Also Like

0 comments

MY INSTAGRAM @syahadatulhafizah

Subscribe