ISU BUANG BAYI PERLU KERJASAMA DARIPADA SEMUA PIHAK

by - February 12, 2011


April 2008

Isu buang bayi nyatanya sekarang ini tumbuh kembali. Dahulu ia pernah hangat seketika, kembali senyap dan sekarang ini malahan semakin menjadi-jadi. Dengan semakin banyaknya penemuan bayi-bayi yang tidak berdosa; kebanyakan yang ditemui sudah pun hanya tinggal jasad yang sangat sadis untuk disaksikan, roh bayi-bayi ini sudah pun kembali menghadap Ilahi, untuk mengadu nasibnya di hadapan Yang Menciptakannya. Apalah daya bayi-bayi kecil ini yang seharusnya keluar sahaja menjengah dunia, sepatutnya dipeluk cium dan didakap oleh hangatnya kasih ibu dan ayah, namun disambut pula dengan litupan hanyirnya sampah sarap dan pedihnya gigitan semut merah.
Semalam cuma kita membaca berita mengenai dua mayat bayi ditemui di Pulau Pinang. Satu daripadanya seorang bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemui di depan pintu tandas wanita di Tingkat Satu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar). Dan seperti yang lazimnya berlaku, bayi ini sudah pun kaku tidak bernyawa. Begitu juga dengan penemuan mayat bayi perempuan, dengan keadaan masih berdarah; terapung di perangkap sampah di dalam kolam Indah Water Konsortium (IWK), berhampiran Pusat Perniagaan Asas Murni Taman Sukun. Jangan pula anda lupa pada berita sadis lagi sedih seputar hujung bulan lepas, mengenai dua mayat bayi yang dijumpai pada hari yang sama, dengan salah satunya berdekatan pasar.
 Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati sebanyak 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah 83 kes itu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin.
Kabinet Hal Ehwal Wanita dan Mahasiswi (HEWI) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) amat memandang serius kepada permasalahan ini, kerana ia berkaitan dengan isu wanita dan juga keluarga. Inilah masanya untuk duduk bersama, bermuhasabah dan membincangkan secara serius mengenai ketempangan akhlak dan moral yang semakin meruncing ini, dan seterusnya setiap dari kita wajar membuat tindakan lanjutan ke arahnya dengan kadar yang segera dan termampu.
Siapa dari kita dapat menyangkal mengenai kepentingan institusi keluarga itu sendiri. Imam Al-Ghazali berkata: "Anak-anak adalah amanah atas ibubapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik, maka menderitalah dia dan binasa." Justeru, penting sekali untuk diingatkan kepada ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak-anak dengan baik. Ini bukanlah soal membalas dendam (sekiranya sewaktu kecil dahulu kita tidak dibesarkan dalam keluarga yang sejahtera), namun ini adalah berkaitan dengan soal pilihan. Pilihan justeru ada di tangan kita. Pilihlah yang baik dan sejahtera untuk kehidupan kita dan generasi kita selepas ini. Manakah suluhan yang lebih baik dari cahaya dan panduan agama itu sendiri? Justeru, rujuklah kembali kepada penyelesaian agama dalam membangun sebuah keluarga yang sakinah.
Demikian juga dengan tanggungjawab pemerintah dan pihak berwajib. Janganlah kerana terlalu taksub dan teruja dengan situasi politik yang ada sekarang sehingga mengabaikan tugas asasi yang terpikul di bahu masing-masing. Agenda pembangunan ummah dan kebajikan adalah perkara nombor satu yang harus diutamakan. Pada hemat kami, tentulah yang paling dipertanggungjawabkan dan harus cakna mengenai isu ini adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang mana portfolio bidang tugasnya adalah khusus mengenai hal-hal seumpama ini. Malahan juga, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan juga persatuan-persatuan yang banyak terdapat di laman kampus juga harus menggalas tanggungjawab ini, untuk mendidik masyarakat dan juga mahasiswa mahasiswi mengenai bahayanya gejala-gejala sosial seumpama ini. Kami insaf dengan tanggungjawab kami, dan dengan itu, kami dari pihak kabinet HEWI PMIUM akan menyokong penuh dan membantu pada segala cadangan dan gerakerja yang baik oleh kerajaan dan pihak berwajib.
Lebih dari segala-galanya, kesedaran individu itu adalah yang paling utama. HEWI PMIUM menggesa semua pihak khususnya seluruh wanita rakyat Malaysia, tidak kira bangsa dan agama agar sama-sama beringat dan berjaga-jaga. Jangan lagi kita sebagai wanita rela dan mudah diperlakukan sewenang-wenangnya. Bukan sedikit kes yang timbul akibat sifat terlalu 'mudah percaya' kepada individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Kukuhkan diri dengan jati diri wanita yang baik dan terpelihara. Kembalilah kepada ajaran agama, nescaya semuanya akan bahagia dan sejahtera.

SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
HEWI PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA 2008



 Share This Post =)

You May Also Like

0 Comments