ISU PEPERIKSAAN UM AKAN DINILAI PANEL LUAR NEGARA

by - February 12, 2011

Isu mengenai ranking universiti-universiti di Malaysia tidak akan habis untuk diperbahaskan. Ini kerana, di samping kuantiti yang ada meliputi sama ada bilangan universiti yang diwujudkan di negara ini ataupun garaduan-graduan yang dilahirkan dari alam kampus, malahan penting sekali untuk dicermati bahawa aspek kualitatif merupakan satu sisi yang amat perlu diberikan perhatian dalam mana-mana hal sekalipun.

Justeru, baru-baru ini, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Rafiah Salim telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua peperiksaan Universiti Malaya bagi peringkat Sarjana Muda dan pasca siswazah akan dinilai panel dari universiti ternama luar negara. "Syarat kenaikan pangkat kepada taraf profesor juga tertakluk kepada penilaian antarabangsa," kata-kata ini diucapkan kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Canselor Universiti Malaya yang diadakan pada 7 April lepas.

Beliau menjelaskan lagi bahawa langkah itu bertujuan untuk memastikan kedudukan Universiti Malaya sebagai sebuah universiti yang ulung dipertingkatkan di peringkat antarabangsa sehingga setaraf dengan universiti-universiti ternama dunia. Selain itu, mengikut Datuk Rafiah lagi, panel itu bukan saja menilai kertas jawapan malah kertas soalan yang disediakan UM. Beliau berkata, Indeks Utama Prestasi (KPI) bagi kakitangan akademik UM akan dinilai berdasarkan prestasi masing-masing, termasuk mewajibkan penghasilan sekurang-kurangnya dua penerbitan akademik dalam setahun dalam jurnal akademik.

Ini merupakan antara langkah yang baik dan efisien dalam rangka usaha untuk memulihkan kembali imej universiti-universiti tempatan di mata dunia. Di peringkat Universiti Malaya sendiri, bonda Rafiah sendiri telahpun merangka dan memperkenalkan banyak perkara baru yang bermanfaat kepada universiti itu sendiri. Nyatalah, kami dapat melihat kesungguhan dan komitmen beliau yang amat padu dalam menangani hal ini.

Dengan borang aduan dan analisa khidmat pelanggan yang disediakan di setiap kaunter fakulti dan juga kaunter-kaunter perkhidmatan yang lain di Universiti Malaya, malahan juga dengan Sistem Penilaian Kursus dan Matapelajaran yang sudahpun ditingkatkan melalui dalam talian (online), kuliah matapelajaran Sains dan Matematik yang sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris, purata nilai gred yang sudahpun dinaikkan grafnya, membawalah kepada peningkatan laman web umum (umisisweb) yang dilihat semakin mesra pengguna dan sebagainya, maka semuanya dilihat sebagai beberapa siri usaha yang ternyata memang baik dan berkesan dalam meningkatkan mutu dan tahap profesionalisma di kalangan pentadbiran.

Kesimpulannya, saya mewakili warga Universiti Malaya dan keluarga besar PMIUM mengucapkan Selamat Maju Jaya dan terima kasih kepada bonda Rafiah yang mempunyai visi dan misi yang jauh dan luas dalam mengemudi halatuju universiti alaf baru.


SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
KETUA UNIT MEDIA DAN PENERBITAN
HAL EHWAL MAHASISWI (HEWI)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM) 2008


Share This Post =)

You May Also Like

0 Comments