SEBUAH KEBOBROKAN, SEJALUR KETOKOHAN, SEGUGUS HARAPAN

by - February 12, 2011

‘Ketokohan sesungguhnya akan diuji dengan kesabaran, ketabahan, kesungguhan dan amal yang berterusan’.

Sebaris mutiara kata mendalam penuh tersirat dari himpunan risalah Ikhwan al-Muslimin; sebuah gerakan dakwah dan islah yang membugar sehingga sekarang ini, amat baik dan tepat ditanggapi saat ini. Saat dewasa ini yang mana penuh kesirnaan dan kemiskinan nilai-nilai kepimpinan dan ketokohan. Entah di mana silapnya, entah di mana puncanya, entah di mana salahnya; fenomena ini semakin membarah dan membunuh jutaan ummat. Mulut boleh mencanang bahawa ‘aku mampu memimpin’ namun apabila di hadapan mata dan teruji maka semua ucapan dan janji mula melebur. Di dunia dengan mudah melakukan penyelewengan amanah; hidup di akhirat menjadi tidak mudah.

Meninjau lensa dunia kini, kebobrokan pemimpin menjadi-jadi. Bukan sahaja pemimpin bukan Islam yang nyatanya tidak mendapat suluhan aqidah tauhid, malahan yang amat memalukan adalah pemimpin-pemimpin Islam sendiri turut tidak terkecuali dari menyimpang. Contohnya, pemimpin-pemimpin Islam di negara-negara Arab dahulunya bersekongkol dengan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan sekutunya dengan melakukan pelbagai cara penindasan terhadap kehidupan rakyat di Palestin. Baru-baru ini Israel telah menyekat aktiviti sosial rakyat di Gaza dengan menutup pintu masuk dan menghalang kemasukan semua jenis bahan bakar termasuk gas dan petrol bagi kegunaan orang-orang Islam di sana. Akhirnya mereka terpaksa bergelap gelita dan tidur dalam kedinginan sedangkan pintu masuk melalui negara-negara Arab lain terus terkunci rapat sepertimana rapat terkatupnya mulut pemimpin-pemimpin Arab ini. Selain dari itu, amat menghairankan kita apabila baru-baru ini Mahmoud Abbas, seorang pemimpin bangsa Palestin sendiri telah menolak untuk memberikan kerjasama dalam membawa para pemimpin Israel ke Mahkamah Antarabangsa atas kejahatan mereka di Genting Gaza.

Negara kita Malaysia turut tidak terlepas dari penyakit ini. Pelbagai penindasan dan penyelewengan ada di mana-mana. Antaranya adalah korupsi, rasuah, pengkhianatan, politik wang, tiada qudwah dan pelbagai lagi penyakit pemimpin yang sangat menyeksakan bagi orang yang dipimpinnya. Malah, tidak salah untuk mengatakan bahawa isu panas di Perak baru-baru ini juga adalah natijah dari krisis kepimpinan yang jelek. Sifat penakut, tidak tetap pendirian serta tidak mempunyai harga dan maruah diri menghantui jiwa pemimpin; membuatkan rakyat merasa cukup loya dan tertekan dengan senario-senario seumpama di atas. 

Kembali kepada mutiara kata di atas, semua insan haruslah insaf bahawa ketokohan yang sejati semestinya akan sentiasa diuji dengan hal-hal bersangkutan kesabaran, ketabahan, kesungguhan dan amal yang berterusan. Inilah harga yang perlu dibayar oleh seorang pemimpin sejati. Hidupnya di dunia tampak seolah-olah penjara dan laman duri namun semestinya yang menunggu di akhirat adalah sebuah raudhah hijau yang siap sedia setia menantinya. Perkara ini sudah mula hakis dari masyarakat dewasa ini, sehingga yang tinggal dan tampak pada sebuah kepimpinan adalah semata-mata kemewahan, kemahsyuran, kesombongan, penindasan dan pembohongan.

Manusia khususnya pemimpin Muslim kini seakan-akan terlupa bahkan seperti tidak pernah mendengar mengenai amanah kepimpinan yang telah disabdakan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.”[1] Justeru, siapakah yang paling layak untuk dijadikan qudwah hasanah iaitu best role-model dari sudut kepimpinan? Semestinya ia adalah Baginda Muhammad S.A.W.; iaitu seorang manusia yang paling sempurna. Sepertimana firman Allah yang mana mafhumnya, ‘Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)’[2]

Itulah salah sebuah ayat yang menyatakan kemuliaan dan validitas serta prioriti Nabi Muhammad sebagai qudwah hasanah kepada setiap orang muslim. Malahan masih terdapat banyak lagi ayat-ayat Allah yang memerintahkan manusia supaya menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai suri teladan. Bahkan ramai orang non Muslim sendiri mengagumi Baginda S.A.W. Umpamanya adalah Sir George Bernard Shaw yang telah menulis dalam bukunya  ‘The Genuine Islam’. Beliau telah menyatakan bahawa jika ada agama yang akan menguasai Inggeris ataupun Eropah dalam abad yang mendatang, maka kemungkinan agama itu adalah Islam. Baginya, Muhammad juga adalah orang yang mengagumkan dan layak sekali disebut sebagai Penyelamat Manusia (the Savior of Humanity).[3] Mahatma Gandhi[4] pula, dalam pernyataannya yang diterbitkan dalam majalah ‘Young India’ pada tahun 1924 menyatakan bahawa bukanlah pedang yang telah menyebarkan Islam. Akan tetapi, ia disebabkan oleh kepedulian, keberanian, dan keimanan Nabi kepada Tuhannya.

 

Selain dari itu, Michael H. Hart pula dalam bukunya yang berjudul The 100-A Ranking of the Most Influential Persons In History’, telah meletakkan Nabi Muhammad di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia sekaligus mengalahkan Sir Isaac Newton dan Yesus. Menurut Michael H. Hart lagi, kebanyakan dari orang-orang besar dalam senarai itu menjadi terkenal karena kebetulan lahir di negara-negara maju yang telah menjadi pusat peradaban dunia. Sebaliknya, Nabi Muhammad lahir di kawasan yang mundur. Makkah sendiri adalah sebuah kota kecil di pinggiran yang jauh dari pusat perdagangan, seni, dan ilmu pengetahuan.

 

Memutarkan kembali sejarah, baginda bukanlah lahir langsung terus menjadi seorang pemimpin. Baginda adalah seorang anak kecil yatim piatu yang sangat miskin, hidup di tengah hempas pulas dan kancah masyarakatnya. Baginda Muhammad bergaul dengan ramai orang sedari kecil dan melakukan kerja-kerja yang berat seperti mengembala kambing dan mengambil upah membawa barang dagangan. Dari sinilah seorang pemimpin yang luhur dan ikhlas telah mula tumbuh dan mendapat tarbiyah secara terus dari Allah.

Imam Hassan Al-Banna[5] dalam hal kepimpinan menyatakan bahawa pemimpin haruslah yang ditarbiyah, bukan seseorang yang dipilih kerana alasan darurat atau diangkat dengan alasan tidak ada pemimpin. Inilah pokok pangkal pada permasalahan kepimpinan kini. Perkara ini adalah asas, sepertimana dalam kaedah sulbah[6] iaitu bermula dengan fard al-muslim (individu), seterusnya adalah bait al-muslim (keluarga), mujtama’ muslim (masyarakat), khilafah Islamiyyah (pemimpin) dan akhirnya adalah Daulah Islamiyyah (negara).

 

Justeru, generasi muda belia Islam hari ini yang merupakan pemimpin masa hadapan haruslah mempersiapkan diri dengan tarbiyyah dan fikrah yang kejap. Sepertimana nasihat Imam Hassan Al-Banna lagi, ‘Jadilah kamu hamba-hamba Allah sebelum menjadi pemimpin. Ibadah akan menghantarkan kamu kepada sebaik-baik kepimpinan.’  Selain dari itu, sejarah juga telah menunjukkan bahawa pemimpin besar yang namanya terukir dengan tinta emas adalah mereka yang memimpin rakyatnya dengan cinta dan kasih sayang, bukannya  menggunakan kekuatan senjata dan bukan pula yang hanya mengejar material dan populariti untuk kepentingan kelompoknya semata-mata. Selain dari itu, antara ciri-ciri utama pemimpin muslim sejati khususnya kontemporari ini adalah beriman dan adil, mengenali dakwah, mengenali jiwa, memberi perhatian kepada orang bawahan, teladan yang baik, pandangan yang tajam, kemahuan dan kekuatan yang utuh, hikmah dan matang dalam tindakan, optimis, mengamalkan syura, kombinasi nilai umara’ dan ulama’, mempunyai daya tarikan semulajadi, mempunyai kebersihan jiwa dan rohani, memiliki kesihatan badan dan kuat serta keupayaan mental dan pemikiran yang baik. Dan paling utama, generasi muda bakal peneraju kepimpinan ini haruslah memupuk keikhlasan sedari awal lagi. Sesungguhnya setiap generasi muda adalah rahsia kehidupan bangsa dan sumber kebangkitannya.




[1] Hadith Riwayat Muslim
[2] Surah Al-Ahzaab, Ayat ke 21
[3] Sir George Bernard Shaw, (1936) ‘The Genuine Islam,’ Vol. 1, No. 8
[4] Nama sebenar beliau adalah Mohandas Karamchand Ghandi, (2 October 1869 – 30 January 1948)
[5] Merupakan Murshidul Am pertama Ikhwanul Muslimin
[6] Kaedah Sulbah merupakan method yang Rasulullah pelopori dalam membawa kemunculan Islam di Mekah. Sulbah bermaksud tulang belakang (asas)

* Posting2 saya sebelum ini (di bawah2 ini) adalah himpunan-himpunan esei saya semasa saya masih bergelar mahasiswa Sarjana Muda: Suatu musim semi yang indah dan sentiasa mekar di hati.. dan khususnya semasa menjawat jawatan sebagai Exco Hewi PMIUM. Dan Esei ini merupakan penyertaan pertama saya dalam 'PERTANDINGAN MENULIS ESEI SEMPENA MAULIDURRASUL PERINGKAT UM, 1430H/2009M', dan Alhamdulillah, saya mendapat tempat pertama.. Subhaanallah..Alhamdulillah... Allahuakbar.. ini untuk Tuan Hamba Wahai Saidina Muhammad SAW... Belahan Jiwa Kami.... Nuhibbuka Fillah..Isytaqna Ilayka.... Nabi Muhammad SAW... seorang lelaki pemilik cinta saya yang paling teratas!... =') *

Hadiahnya comel sekali =) Syukran..!






Share This Post =)

You May Also Like

0 Comments